Perkahwinan Erra Fazira dan Ezwan Zain
Pernikahan Erra Fazira bersama Ezwan Zain bukan sahaja diraikan peminat, malah turut mendapat perhatian dan ucapan tahniah daripada rakan-rakan industri hiburan. Media sosial dibanjiri dengan ucapan selamat pengantin baharu serta doa agar rumah tangga pasangan tersebut kekal bahagia.
Selepas sebelum ini mantan tunang Erra, Datuk Awie, meluahkan rasa syukur melihat Erra kembali menemui jodoh selepas dua kali melalui kegagalan rumah tangga, penyanyi tersohor Ziana Zain turut meluahkan rasa gembira dengan penyatuan sahabatnya itu.
“Saya Gembira Bila Erra Gembira”
Sebagai seorang ibu tunggal dan sahabat rapat Erra, Ziana Zain mengakui dia menumpang bahagia melihat ‘adiknya’ kembali melangkah ke alam perkahwinan. Menurut Ziana, setiap insan mempunyai perjalanan dan kebahagiaan masing-masing.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira untuk Erra. Saya doakan mereka kekal hingga ke jannah. Setiap orang ada kebahagiaan masing-masing.
“Saya gembira bila tengok ‘adik’ saya gembira kerana sebelum ini ada juga kami berbual tentang jodoh dan kehidupan sendiri,” katanya ketika ditemui pada sidang media Sembilu The Reunion Live In Concert.
Tidak Sabar Hadiri Majlis Resepsi
Ziana yang terkenal menerusi lagu Madah Berhelah turut berkongsi keterujaannya untuk menghadiri majlis resepsi Erra dan Ezwan yang dijadualkan berlangsung pada 27 Disember ini.
Bagaimanapun, Ziana menegaskan kehadirannya nanti adalah sebagai tetamu dan sahabat, bukan sebagai penghibur.
“Saya tak mahu menyanyi dan tidak membuat persembahan. Saya hanya mahu duduk dan menikmati kebahagiaan majlis mereka,” ujarnya.
Selesa Hidup Bersendirian Bersama Anak-Anak
Mengulas mengenai soal jodoh dirinya sendiri, Ziana yang bergelar ibu tunggal sejak tahun 2018 mengakui buat masa ini dia selesa menjalani kehidupan bersendirian bersama anak-anaknya.
Namun, sebagai manusia biasa, Ziana tidak menolak kemungkinan soal jodoh adalah ketentuan Allah yang tidak mampu dirancang oleh sesiapa.
“Saya tidak boleh kata tidak mahu atau sebaliknya. Ini semua kerja dan rahsia Allah. Tapi buat masa ini saya selesa hidup bersama anak-anak,” jelasnya.
Erra Fazira Selamat Bernikah Buat Kali Ketiga
Terdahulu, Erra Fazira dan Ezwan Zain selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada 12 Disember 2025. Perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan ketiga buat Erra, manakala kedua bagi Ezwan.
Menariknya, kedua-dua pasangan masing-masing memiliki seorang anak perempuan yang kini berusia 16 tahun, sekali gus menjadikan penyatuan mereka lebih bermakna dengan kehadiran keluarga yang seimbang.
Azhan.co Info Semasa, Tepat & Boleh Dipercayai

