Langgan newsletter kami!
Roti Jala Sedap Homemade

Resepi Roti Jala Yang Terbukti Sedap dan Tahan Lama

Roti Jala adalah masakan yang versatile dan menjadi kegemaran ramai terutamanya rakyat Malaysia, Indonesia dan Singapura. Rasanya juga sangat sedap dan memang kena dengan citarasa penduduk tempatan. Ia sangat sesuai dihidangkan untuk apa jua jenis keadaan seperti jamuan hari raya, jamuan di pejabat atau sekolah, jamuan open house, majlis kesyukuran dan doa selamat malahan sehingga kepada menjamu tetamu yang berkunjung ke rumah.

Roti yang berbentuk seakan-akan jala dan berwarna kuning ini biasanya dimakan bersama kari ayam, daging atau kambing. Roti jala yang sedap adalah bergantung kepada tekstur rotinya yang lembut dan tahan lama kelembutannya dan ditambah pula dengan kari yang sedap, iaitu tidak terlalu pekat mahupun terlalu cair. Roti jala juga perlu dibuat supaya ia tahan lama dan lambat basi.

Bahan-bahan Membuat Roti Jala

  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 1/2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 biji telur
  • 3 cawan air dicampur santan / susu segar
  • Sedikit pewarna kuning / serbuk kunyit

**catatan: Roti jala tanpa telur – boleh keluarkan telur dari senarai bahan untuk mereka yang ada alahan dengan telur. Ia sebenarnya tidak banyak mencacatkan rasa roti jala. Begitu juga roti jala tanpa santan – boleh gantikan dengan susu segar.

Cara Membuat Roti Jala

  1. Kisar halus (blend) semua bahan di atas hingga sebati. Pastikan tidak berketul supaya adunan tidak tersumbat di dalam acuan.
  2. Jika perlu, tapiskan adunan menggunakan penapis santan supaya tidak berketul.
  3. Kalau nak tahu adunan dah boleh dijala atau belum, cuba masukkan sedikit adunan ke dalam acuan. Kalau keluarnya tak putus-putus maknanya adunan tersebut dah boleh guna untuk buat roti jala.
  4. Kalau adunan tersebut susah untuk keluar, tambahkan lagi sedikit air dan kacau sebati.
  5. Lakukan proses menjala menggunakan kuali non-stick. Boleh juga guna kuali leper biasa asalkan tidak melekat.
  6. Bakar adunan hingga sedikit garing di bawahnya.
  7. Apabila sudah masak, tak perlu dibalik, terus saja angkat dan gulung roti jala tersebut.
  8. Ulang proses 5-7 sehingga selesai.

Cara Menjala dan Menggulung Roti Jala

Sila tonton video di bawah untuk mendapatkan cara terperinci bagaimana membuat proses menjala dan menggulung agar anda dapat roti jala yang ‘perfect’ dari segi bentuknya.

Apabila telah siap, boleh hidangkan roti jala ini bersama kuah ayam masak kuzi, kari daging, kari kambing ataupun kuah gulai mengikut citarasa masing-masing.

Selamat mencuba!

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: