Langgan newsletter kami!

Resepi Asam Pedas Asli Johor

Asam Pedas Johor ialah sejenis masakan Melayu yang sangat terkenal di negeri selatan semenanjung Malaysia itu. Sebut sahaja asam pedas semua orang tahu bahawa masakan itu sangat sedap dan popular. Antara tempat yang sangat sinonim dengan masakan asam pedas johor adalah di Parit Jawa, Muar.

Gerai Medan Asam Pedas Parit Jawa Muar (Pak Yahya)

Resepi untuk membuatnya tidaklah terlalu rumit namun tidak pula terlalu mudah. Antara bahan yang biasanya ada dalam resepi asam pedas adalah ikan, cili kering, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, asam jawa, asam gelugur atau daun limau purut. Bolej juga ditambah kunyit hidup jika ingin menyedapkan lagi masakan. Bahan-bahan ini hendaklah mengikut sukatan masakan yang betul supaya tidak terlebih atau terkurang.

Kebiasaan masakan asam pedas bukan sahaja di hidangkan untuk keluarga di rumah malah masakan ini juga terdapat di kedai-kedai makan, restoran dan juga di hotel-hotel yang terkemuka di sekitar Melaka dan Johor.

Perbezaan Masakan Asam Pedas

Perbezaan di antara asam pedas utara Malaysia dan selatan Malaysia ialah penggunaan asam. Asam jawa yang pekat lebih biasa digunakan di negeri selatan dan asam gelugur atau asam keping lebih biasa di negeri-negeri di utara.

Variasi asam pedas juga berbeza bergantung kepada tempat. Asam pedas ikan adalah lebih popular di penempatan berhampiran laut di mana makanan laut adalah mudah didapati dan lebih segar. Walau bagaimanapun, asam pedas daging dan ayam juga terkenal di beberapa tempat dan biasanya bergantung kepada bahan mentah yang mudah didapati. (wikipedia)

Bahan-bahan Asli Untuk Resepi Asam Pedas

  • 1 ekor ikan merah sederhana besar – siap dibersihkan dan dipotong sederhana besar
    (Boleh juga gunakan ikan lain seperti mayong, kembong, pari, jenahak, tenggiri, parang, selar, terubuk, siakap atau lain-lain ikan mengikut citarasa masing-masing)
  • 1 ikat daun kesum
  • 1 batang serai (diketuk)
  • 3/4 cawan air asam jawa (3 sudu besar asam jawa, dibancuh dengan 1/2 cawan air)
  • Garam dan sedikit gula
  • Minyak untuk menumis

Bahan Kisar Untuk Asam Pedas

Kisar semua bahan di bawah sehingga menjadi pes halus dan basah.

  • satu cawan cili kisar
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci halia
  • 5 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • Air secukupnya (lebih kurang 4 cawan)

Bahan-bahan Tambahan Untuk Asam Pedas (optional)

  • 2 biji tomato (dibelah 4)
  • 1 batang bunga kantan (dibelah 2)
  • Sawi jeruk
  • Terung
  • 1/2 inci belacan (dibakar, untuk dicampurkan ke dalam bahan kisar)

Cara-cara Memasak Asam Pedas Asli Johor

  1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan kisar halus sehingga naik bau
  2. Masukkan cili kisar dan masak hingga terbit minyak
  3. Pastikan guna api yang sederhana semasa menumis dan sentiasa kacau perlahan-lahan
  4. Masukan 1 cawan air dan reneh sehingga mendidih
  5. Bila sudah mendidih, masukkan ikan dan jus asam jawa
  6. Gaul rata dan biarnya terus mendidih
  7. Tambah daun kesum
  8. Tambahkan 3 cawan air lagi. Perlu diingat, kadar kepekatan atau kecairan kuah, bergantung citarasa masing-masing
  9. Biarkan mendidih lagi
  10. Kemudian, masukkan garam dan sedikit gula
  11. Biarkan masak dengan api sederhana
  12. Boleh tambah tomato, bunga kantan, terung dan bendi jika suka walaupun Asam Pedas Johor Asli tidak perlu banyak bahan tambahan
  13. Bila sudah masak padamkan api, hidangkan bersama nasi putih

Selamat mencuba!

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: