Apakah Kesihatan Mental
Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak berita berkaitan kesihatan mental. Seiring perkembangan dunia yang semakin pesat, masalah kesihatan mental atau juga dikenali sebagai penyakit mental telah semakin bertambah dan semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Apakah yang dimaksudkan dengan kesihatan mental? Kesihatan mental adalah satu keadaan yang di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ini bermaksud, kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara efektif. Kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.
Memahami Ujian Kesihatan Mental
Adakah anda mempunyai simptom-simptom penyakit mental? Sejauh manakah simptom tersebut telah mengganggu perjalanan kehidupan harian anda? Ini adalah tips untuk anda.
1. Mengenal pasti simptom yang dialami
Terdapat pelbagai jenis penyakit berkaitan kesihatan mental. Oleh itu, amat penting untuk kita membuat bacaan atau kajian tentang simptom untuk sebarang penyakit daripada laman web yang sahih seperti laman web KKM. Jika simptom yang dialami telah mengganggu kehidupan harian, anda disarankan untuk mendapatkan bantuan daripada hospital yang berhampiran.
2. Mengenal pasti alat ujian yang bersesuaian
Setelah mengenal pasti simptom tersebut, anda boleh membuat carian tentang alat ujian yang bersesuaian. Sebagai contoh, sekiranya anda mempunyai simptom yang berkaitan dengan stress dan kemurungan, anda boleh membuat penilaian dan saringan dengan menggunakan ujian Depression Anxiety Stress Scale (DASS). Selain itu, alat ujian yang dipilih juga mestilah alat ujian yang boleh dilakukan secara kendiri. Hal ini kerana, terdapat ujian yang hanya boleh digunakan oleh pakar untuk membuat diagnosis.
3. Memastikan alat ujian berasal dari sumber yang sahih
Sebelum melakukan ujian saringan tersebut, anda hendaklah membuat bacaan atau mencari maklumat yang sahih tentang ujian yang ingin diambil. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat daripada laman web yang sahih atau individu yang lebih berpengetahuan
4. Alat ujian mestilah versi yang terkini
Terdapat juga alat ujian yang mempunyai beberapa versi dimana setiap versi mempunyai perbezaannya yang tersendiri. Versi yang terkini adalah versi yang telah ditambah baik selari dengan DSM yang terkini
5. Mengetahui cara untuk mengira/ mentafsir keputusan
Setiap ujian saringan kesihatan mempunyai cara pengiraan dan tafsiran yang tersendiri. Adalah amat penting untuk mengetahui maklumat tersebut untuk mengelakkan kesalahan ketika mentafsir keputusan ujian.
6. Mendapatkan nasihat pakar terutama apabila keputusan anda di tahap membimbangkan
Jika keputusan anda menunjukkan kesihatan mental anda berada pada tahap yang berbahaya, anda tidak perlu berasa panik. Anda digalakkan untuk berjumpa pakar psikologi/ psikiatri untuk pemeriksaan lanjut.
Kesimpulan
Sekiranya anda merasakan tergolong dalam kumpulan yang mempunyai masalah kesihatan mental segeralah mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital berdekatan. Semua klinik kesihatan milik kerajaan di seluruh Malaysia menyediakan perkhidmatan saringan untuk kesihatan mental dan penyakit mental menggunakan soal-selidik tertentu. Mana-mana individu yang berhasrat melakukan penilaian kesihatan mental boleh berbuat demikian. Pengesanan awal adalah sangat perlu.
Artikel oleh:
Nur Afiqah Binti Fauzi
Pelajar Ijazah Sarjana,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)