Pembelajaran Era Pendamik
Melihat dari sudut pengajaran dan pembelajaran matematik, kertas graf, penulisan formula mahupun jalan kerja di papan putih sudah tidak praktikal lagi kerana guru dan pelajar tidak bersemuka secara fizikal. Bagi guru dan pelajar yang sememangnya terbiasa dengan aktiviti di sekolah, pembelajaran matematik di rumah bukanlah sesuatu yang mudah. Guru perlu celik ilmu teknologi di samping menyesuaikannya dengan kemahiran matematik yang perlu diperolehi oleh pelajar. Manakala, pelajar perlu membiasakan diri dari segi mental dan fizikal tentang penggunaan teknologi dalam pembelajaran matematik. Dalam masa yang singkat, revolusi dari segi pembelajaran secara fizikal ke maya telah berlaku dengan penggunaan perisian seperti Excel dan GeoGebra bagi membolehkan matematik dilihat dari sudut yang mudah dipahami. Hasil revolusi ini boleh dilihat secara purata dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di mana Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin melaporkan berlaku peningkatan prestasi bagi mata pelajaran Matematik.
Keberkesanan Pembelajaran Maya
Namun timbul persoalan adakah pembelajaran matematik secara maya berkesan kepada pelajar yang belum mahir dalam kemahiran asas matematik seperti murid-murid di tadika dan sekolah rendah. Pembelajaran secara maya lebih tertumpu kepada kecerdasan visual dan audio. Manakala kecerdasan kinestetik lebih kepada usaha pelajar itu sendiri untuk mengikuti pembelajaran dan mengaplikasikannya dalam penyelesaian masalah. Bagi pelajar yang mempunyai kecerdasan visual dan audio serta mempunyai peranti yang lengkap dan beroperasi dengan baik, secara logiknya mereka mempunyai minat yang tinggi untuk menyelesaikan permasalahan matematik kerana mereka memahami pembelajaran konsep matematik secara maya. Tetapi bagi pelajar yang ketinggalan, mereka mudah hilang motivasi untuk mencuba menyelesaikan soalan-soalan berkaitan. Kondusi persekitaran juga akan menarik lagi pelajar-pelajar lemah ini untuk melupakan kemahiran asas matematik yang menjadi teras kepada konsep-konsep matematik yang lain.
Matematik dalam era pendamik bukanlah sesuatu perkara yang harus dipandang remeh kerana pengaplikasian matematik dalam kehidupan harian sangatlah meluas. Kelemahan dalam kemahiran ini jika dibiarkan secara berterusan mampu meruntuhkan institusi profesional yang menjadi penjana ekonomi negara. Kesimpulannya, segenap lapisan masyarakat perlulah berganding bahu untuk menerapkan nilai-nilai positif terhadap matematik dalam era pendamik ini supaya pengetahuan ini terus bersemadi dalam setiap individu rakyat Malaysia.
Oleh:
Suraiza Samsudin,
Centre Foundation Studies,
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
Sumber Rujukan:
1. Kronologi Covid-19 di Malaysia. 17 Mac 2020, 1.14pm, Berita Harian Online
2. Pencapaian SPM 2020 terbaik dalam tempoh 5 tahun. 10 Jun 2021, 10.27am, Bernama.