Legacy 30 Siti Nurhaliza
Biduanita negara dan ikon muzik Asia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bakal mencipta satu lagi detik bersejarah dalam kerjayanya apabila tampil dengan sebuah konsert mega bertajuk Legacy 30 Siti Nurhaliza pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi menjadi kemuncak sambutan 30 tahun perjalanan seni beliau yang penuh warna-warni, menandakan dedikasi, keikhlasan, dan cinta Siti terhadap dunia muzik serta sumbangannya dalam mengangkat seni Malaysia ke pentas antarabangsa.
Stadium Nasional Bukit Jalil Lokasi Ideal
Dengan kapasiti hampir 60,000 penonton, Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai lokasi paling ideal untuk menghimpunkan peminat dari seluruh negara malah rantau Asia.
Menurut pihak penganjur, SN Legacy Sdn. Bhd, pemilihan lokasi ini bukanlah semata-mata untuk memecah rekod kehadiran penonton yang pernah dicatatkan menerusi Konsert Fantasia Tour 2004 dengan angka 70,000 penonton. Sebaliknya, ia adalah hasil perancangan teliti bagi memastikan setiap pengunjung dapat menikmati pengalaman konsert yang selesa, epik, dan penuh makna.
Siti Nurhaliza: Simbol Perjalanan Seni
Bagi Siti, Legacy 30 adalah sebuah refleksi terhadap perjalanan panjangnya dalam industri muzik sejak mula dikenali pada pertengahan 1990-an.
“Legacy 30 bukan sekadar konsert tetapi sebuah simbol perjalanan, pengorbanan, dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun. Saya mahu peminat yang selama ini menyokong saya dapat bersama-sama meraikan detik istimewa ini, menyelami semula karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan dan sejarah karier,” ujar Siti yang telah menghasilkan lebih 20 album sepanjang kerjayanya.
Konsert ini dijangka menjadi sebuah persembahan penuh emosi, merangkumi hit klasik hingga karya terbaru yang telah membentuk legasi beliau sebagai penyanyi nombor satu negara.
Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026
Menariknya, konsert mega ini juga berlangsung seiring dengan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Momentum ini diyakini mampu menarik peminat Siti bukan sahaja dari Malaysia, malah dari negara-negara jiran dan komuniti Asia lain. Kehadiran mereka bukan sahaja untuk meraikan karya seni, tetapi juga untuk menyokong promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.
Cuckoo & Affin Bank
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza dibawakan khas oleh Cuckoo dengan Affin Bank sebagai penganjur utama.
Sebagai penghargaan kepada pelanggan setia, Pra-Jualan Eksklusif AFFIN dibuka bermula 12 tengah hari, 2 Oktober hingga 12 tengah hari, 3 Oktober 2025, khusus untuk pemegang Kad Debit dan Kad Kredit Affin.
Manakala jualan tiket umum akan bermula pada 3 Oktober 2025, jam 3 petang menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.
Harga Tiket & Kategori Tempat Duduk
Harga tiket ditawarkan pada julat yang luas bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan peminat, bermula daripada RM69 hingga RM1,599.
Beberapa kategori tempat duduk akan disediakan, termasuk:
- Kategori mampu milik bagi peminat setia yang mahu turut serta meraikan detik bersejarah ini.
- Kategori premium & eksklusif dengan pengalaman lebih dekat bersama Siti serta kemudahan tambahan untuk keselesaan penonton.
Manifestasi Cinta & Syukur
Lebih daripada sekadar konsert, Legacy 30 adalah sebuah manifestasi rasa syukur dan cinta Siti Nurhaliza kepada para peminat yang telah menjadi tulang belakang sepanjang tiga dekad kariernya.
Ia bakal menjadi sebuah malam penuh magis, mengimbau nostalgia sambil meraikan kejayaan seorang biduanita yang tidak pernah lekang dihati rakyat Malaysia dan pencinta muzik serantau.
Dengan persiapan rapi, lokasi berprestij, dan sokongan padu peminat, Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza diyakini bakal tercatat sebagai antara acara hiburan paling ikonik dalam dekad ini.