Langgan newsletter kami!
Pantun

Koleksi Pantun Melayu Terbaik Untuk Pengacaraan Majlis

Koleksi Pantun Pengacaraan Majlis. Pantun adalah sejenis puisi tradisional masyarakat Melayu yang wujud sejak zaman berzaman lagi. Mengikut sejarah, pantun dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan buah fikiran dan perasaan terhadap seseorang ataupun mengenai sesuatu perkara di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka atau memberi nasihat.

Pantun sering digunakan dalam pengacaraan majlis khususnya majlis rasmi kerana bahasa dan struktur perkataan yang digunakan amat indah dan tersusun dengan keindahan bahasa yang berseuaian. Asas pantun terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama di hujungnya. Setiap rangkap tidak dapat berdiri sendiri dan biasanya rangkap-rangkap tersebut memerlukan beberapa rangkap lain untuk melengkapkan keseluruhan idea.

Berikut dikongsikan himpunan terbaik koleksi pantun sesuai dengan tujuan dan aktiviti di dalam sesuatu majlis.

Pantun Pembuka Acara

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Ingin rasa memakan kari,
Kari cendawan batang keladi;
Girang rasa tidak terperi,
Bertemu tuan yang baik budi.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiringi restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

Assalamualaikum salam sejahtera
Pembuka kata lidah bicara
Izinkan saya mulakan acara
Semoga majlis disambut ceria

Kompang bergema pusaka bangsa
Dipalu oleh si anak muda
Hadir tuan meriah suasana
Kami menyambut penuh gembira

Ulik Mayang nyanyian asli
Dilagu si gadis merdu sekali
Terima Kasih sekalung budi
Sudi datang ke majlis merai

Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara

Pantun Bacaan Doa

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Garam ada kicap pun ada,
Sayang lada terlupa bagi;
Pantun ada ucapan ada,
Sayang tiada berdoa lagi.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Anugerah di kecap si anak watan
Mengangkat senjata bidalan suara
Menadah tangan memohon keberkatan
Mendapat restu hidup sejahtera

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati

Tangan ditadah penuh inayah,
Majlis dibuka penuh rahmatNya,
Mohon keberkatan serta hidayah,
Moga tercerna minda kelas pertama.

Pantun Ucapan Kata Aluan

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

Bukan rumput sebarang rumpun,
Rumput penghias tepi halaman;
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam;
Padamu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

Pantun Ucapan Perasmian

Daun semulur di pekan sari,
Batang jerami rebah ke bumi;
Madah dihulur sembah diberi,
Kata perasmi hajatnya kami.

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang jerami;
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan kata perasmi.

Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami;
Kepada tuan sembah diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.

Jangan tertawan alpa duniawi,
Hanya indah serupa mimpi;
Duhai pahlawan ksatria pertiwi,
Hulurkan madah kata perasmi.

Bunga selasih di dalam taman
Harum melati penyeri intan
Terima kasih ucapan tuan
Kekal bersemi dalam ingatan

Tuah tersenyum pada Si Teja,
Duduk bersimpuh sambil bersila,
Kain ditenun bersama reja,
YDP PIBG hormat dipersila.

Pantun Persembahan

Pakaian dipakai cantik berseri,
Majlis keraian kita semua,
Majlis kita takkan berseri,
Tanpa persembahan multimedia

Dari Kedah ke Kuala Perlis
Singgah bersantai di tepi jeti
Persembahan pembukaan memeriahkan majlis
Semoga hadirin terhibur di hati.

Sehabis merah daun yang sihat
Dahan melebar bercerita sakan
Majlis anugerah mohon berehat
Persembahan pelajar kita saksikan

Pantun Jemput Makan

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

Pantun Anugerah

Terbang tinggi si burung helang
Berkicau kenari sambil berterbangan
Insan cemerlang negara terbilang
Anugerah diberi tanda kecemerlangan.

Warga cemerlang tersenyum manis
Hadir bersama ibu bapa wibawa
Sambutan anugerah penyeri majlis
Sematkan gagah di dalam jiwa

Berkebaya batik berwarna merah
Diserikan dengan permata berlian
Tibalah masa penyampaian anugerah
Penerima teruja menunggu giliran

Ikan sembilang, sepat dan kelah
Guna bubu biasa di hujung
Pencapaian cemerlang dapat hadiah
Petanda ilmu sentiasa dijunjung

Pantun di Akhir Majlis / Penutup Acara

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara;
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Di lain masa bersua lagi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Kedah ke Pekan Sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

Akar keladi melilit selasih
Selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
Mesra kenangan sepanjang zaman

Tenang-tenang air di kali
Tempat mandian putra puteri
Sempurna sudah majlis dirai
Salah dan silap harap dimaafi

Bersyukur kini kami panjatkan,
Majlis anugerah telah disempurnakan,
Sekalung penghargaan kami hulurkan,
Segulung tahniah kami ucapkan

Merdu bertingkah alunan suara
Kadang tak sedar tersilap kata
Andai terlanjur patah bicara
Serendah hati kemaafan dipinta

Dari Rokan ke Indragiri,
Membawa tinta ke Kuala Linggi;
Baliklah tuan rehatkan diri,
Esok kita bersua lagi.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: