Langgan newsletter kami!
Islamic Wallpaper Gambar Masjid

Kelebihan Pahala Berganda Bulan Ramadhan

Sempena bulan Ramadhan ini, mari kita sama-sama hayati kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan yang merupakan penghulu segala bulan. Rasulullah SAW bersabda:

“Penghulu segala bulan adalah bulan Ramadhan dan penghulu segala hari adalah hari Jumaat”
(HR Thabrani dan Baihaqi)

Kelebihan / Keistimewaan Bulan Ramadhan

1. Bulan Kemenangan Bagi Umat Islam

Pada bulan Ramadhan berlakunya kemenangan terbesar yang berjaya dicapai oleh umat Islam ialah di dalam perang Badar al-Kubra. Peristiwa ini berlaku pada 17 Ramadhan bersamaan hari Jumaat tahun 2 H iaitu tahun pertama disyariatkan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Seperti yang kita sedia maklum Allah SWT telah mengurniakan kemenangan kepada umat Islam walaupun bilangan tentera Islam amat sedikit iaitu hanya berjumlah 313 orang berbanding orang kafir seramai 1,300 orang.

Satu lagi peristiwa agung yang berlaku pada bulan Ramadhan ialah berlakunya peristiwa Fathul Makkah. Fathu Makkah atau Futuhul Makkah dikenali sebagai kisah pembebesan atau penaklukan kota Makkah pada tahun 630 atau tepatnya pada tanggal 10 Ramadhan 8 H, di mana Nabi Muhammad SAW beserta 10,000 pasukan bergerak dari Madinah menuju Mekah, dan kemudian menguasai Mekah secara keseluruhan tanpa pertumpahan darah sedikitpun, sekaligus menghancurkan berhala yang ditempatkan di dalam dan sekitar Kaabah.

2. Bulan Yang Penuh Keberkatan

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut sebagai permulaan adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulallah SAW bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian daripada hadith ini yang dipetik dari JAKIM adalah:

  • Semua pintu syurga dibuka dan orang yang telah meninggal dunia dihentikan azab mereka buat sementara.
  • Pintu-pintu neraka pula ditutup, oleh itu orang yang mati di bulan Ramadhan terlepas daripada azab kubur.
  • Pada bulan Ramadhan juga dirantai serta dibelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu dan menggoda orang yang berpuasa.

3. Amalan Sunat Diberi Pahala Fardhu dan Amalan Fardhu Diganda 70 Kali

Bagi sesiapa yang menunaikan amalan sunat akan diberi balasan pahala fardhu dan bagi mereka yang melaksanakan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Sebagai contoh solat Jumaat, sekiranya ada 5 kali Jumaat pada bulan itu, maka 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadhan, bersamaan 7 tahun solat Jumaat. Pahala solat Jumaat sama dengan pahala haji bagi orang miskin yang tidak mampu mengerjakan haji. Solat Jumaat pada minggu akhir Ramadhan adalah solat Jumaat yang istimewa. Qadha solat fardhu juga diberi 70 kali ganda pahala. Sedekah RM1 dalam bulan Ramadhan adalah sama dengan RM70 di luar Ramadhan.

Daripada Salman RA ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya: Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajiban dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW, sabdanya:

“Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan, menyerulah malaikat katanya: Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan)”
(Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

4. Tawaran Pengampunan Dosa Yang Lalu

Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda

“Barangsiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.
(Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah RA berkata: Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda:

“Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang”

5. Pintu Rahmat Terbuka Luas

Pada bulan Ramadhan pintu-pintu rahmat dibuka. Allah SWT meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila tiba bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu rahmat”
(Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1079)

6. Pintu Langit Terbuka Luas

Allah SWT membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-Nya kepada sekalian hamba-hamba-Nya serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-Nya akan naik secara terus kepada-Nya.

7. Pintu Syurga Terbuka Luas

Pada bulan Ramadhan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah Allah SWT. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah Allah SWT melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga.

8. Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat

Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadhan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba Allah yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-Nya terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

9. Dikurniakan Malam Lailatul Qadar

Umat Nabi Muhamad SAW merupakan umat yang sangat istimewa kerana dikurniakan satu malam yang mempunyai pahala melebihi 1,000 bulan beribadah iaitu malam lailatul qadar.

Bila berlakunya malam lailatul qadar? Saat pasti berlangsungnya malam lailatulqadar ini tidak diketahui tetapi menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan, iaitu pada salah satu daripada malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Ini merupakan pandangan jumhur ulama sendiri.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, janganlah kita mensia-siakan peluang bertemu bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Kita tidak tahu sama ada mungkin ini merupakan Ramadhan kita yang terakhir. Jadi selamat beramal dan semoga amal kita semua diterima oleh Allah SWT.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: