Langgan newsletter kami!
Pengacara

Himpunan Pantun Penyeri Majlis

Pantun adalah satu puisi Melayu yang mempunyai dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama di hujungnya. Ia merupakan suatu warisan adat dan kesopanan Melayu. Pantun boleh diucapkan dalam dua, empat, enam ataupun lapan baris tetapi pantun empat kerat merupakan yang paling popular.

Dalam sesuatu majlis formal seperti majlis jamuan, majlis perpisahan, majlis persaraan, perhimpunan bulanan pekerja sektor awam dan sebagainya, pantun kerap diucapkan oleh pengacara majlis sebagai penyedap ayat dan penyeri ucapan.

Berikut disertakan himpunan pantun untuk majlis dan acara rasmi sebagai rujukan dan panduan.

PANTUN PEMBUKA ACARA

[infobox style=”alert-success”]

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara,
Assalammualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

 

Ingin rasa memakan kari,
Kari cendawan batang keladi,
Girang rasa tidak terperi,
Bertemu tuan yang baik budi.

 

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

 

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali,
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiring restu Ilahi.

 

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah,
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

 

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara,
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

 

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara,
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

[/infobox]

 

PANTUN BACAAN DOA

[infobox style=”alert-info”]

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat,
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

 

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat,
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa dipohon biar selamat.

 

Garam ada kicap pun ada,
Sayang lada terlupa bagi,
Pantun ada ucapan ada,
Sayang tiada berdoa lagi.

 

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa,
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

 

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat,
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa dipohon biar selamat.

[/infobox]

 

PANTUN JEMPUT MAKAN

[infobox style=”alert-success”]

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara,
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

 

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara,
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

 

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih,
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

 

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman,
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

[/infobox]

 

PANTUN UCAPAN ALU-ALUAN

[infobox style=”alert-info”]

Bukan rumput sebarang rumpun,
Rumput penghias tepi halaman,
Bukan jemput sebarang jemput,
Jemput memohon kata aluan.

 

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan,
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

 

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam,
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

 

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan,
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

[/infobox]

 

PANTUN JEMPUTAN UCAPAN

[infobox style=”alert-success”]

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang selisih,
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan pengikat kasih.

 

Besar langit di tepi busut,
Besar tak muat di dalam peti,
Besar hajat kami menjemput,
Besar niat di dalam hati.

 

Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam,
Pada mu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.

 

Terbang di awan burung jentayu,
Kerana penat gugur ke bumi,
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama amanat bekalan kami.

 

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa,
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

[/infobox]

 

PANTUN UCAPAN PERASMIAN

[infobox style=”alert-info”]

Terbang di awan burung jentayu,
Di atas papan batang jerami,
Tampillah tuan kami merayu,
Bersama ucapan kata perasmi.

 

Daun semulur di pekan sari,
Batang jerami rebah ke bumi,
Madah dihulur sembah diberi,
Kata perasmi hajatnya kami.

 

Jangan tertawan alpa duniawi,
Hanya indah serupa mimpi,
Duhai pahlawan ksatria pertiwi,
Hulurkan madah kata perasmi.

 

Kalau tuan pikat kenari,
Jangan patahkan batang jerami,
Kepada tuan sembah diberi,
Mohon rasmikan majlis kami.

[/infobox]

 

PANTUN DI AKHIR MAJLIS

[infobox style=”alert-success”]

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini,
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.

 

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

 

Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara,
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan negara.

 

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi,
Salam perpisahan untuk semua,
Di lain masa bersua lagi.

 

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan,
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

 

Dari Rokan ke Indragiri,
Membawa tinta ke Kuala Linggi,
Baliklah tuan rehatkan diri,
Esok kita bersua lagi.

 

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi,
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

[/infobox]

 

PANTUN BUAT WARGA EMAS

[infobox style=”alert-info”]

Bulan purnama ke pekan Kuah,
Di tengah hari membeli ragi,
Dirimu umpama nyiur bertuah,
Padat sari harum mewangi.

 

Curah serbat di atas lantai,
Basah tikar lupa disidai,
Dikau ibarat karang di pantai,
Tak pernah gentar dipukul badai.

 

Pohon sena tepi perigi,
Tepi paya si pohon jambu,
Hadirmu laksana suria pagi,
Menyinar maya tak pernah jemu.

 

Anak dara ke Tanjung Batu,
Janji bertemu di Teluk Bayu,
Walau usia dimamah waktu,
Cekal hatimu tak pernah layu.

 

Bukan gua sebarang gua,
Gua penuh pusaka bonda,
Bukan tua sebarang tua,
Tua penuh ilmu di dada.

 

Pergi ke Nilai membeli jamu,
Jamu rasa dari tenggara,
Tidak ternilai jasa baktimu,
Kepada bangsa juga negara.

 

Tidak goyah pancang seribu,
Tika masih badai menderu,
Engkau ayah engkaulah ibu,
Menumpang kasih mengubat rindu.

 

Pohon beringin tepi keramat,
Dengar siulan di ufuk barat,
Kalau ingin hidup selamat,
Buat bekalan untuk akhirat.

 

Beli keladi di Pekan Lidup,
Sayang rasa lemaknya kurang,
Taburlah budi ketika hidup,
Kelak jasa dikenang orang.

 

Pintal kapas menjadi benang,
Tenun benang menjadi sari,
Barang yang lepas jangan dikenang,
Kalau dikenang meracun diri.

 

Pohon senduduk baru ditanam,
Sayang mati dipijak pak tani,
Dari duduk baik bersenam,
Senang hati sihat jasmani.

 

Apa guna si parang panjang,
Kalau tidak dengan tujuan,
Apa guna berumur panjang,
Kalau tidak dengan amalan.

 

Timba suasa di tepi kali,
Buat menyimbah si tuan puteri,
Berputus asa jangan sekali,
Jadikan tabah pakaian diri.

 

Betik muda buat halwa,
Kelapa muda santan dirasa,
Biar muda di dalam jiwa,
Dari tua sebelum masa.

[/infobox]

 

PANTUN ANUGERAH

[infobox style=”alert-success”]

Terbang tinggi si burung helang,
Berkicau kenari sambil berterbangan,
Insan cemerlang negara terbilang,
Anugerah diberi tanda kecemerlangan.

 

 

Warga cemerlang tersenyum manis,
Hadir bersama ibu bapa wibawa,
Sambutan anugerah penyeri majlis,
Sematkan gagah di dalam jiwa.

 

 

Berkebaya batik berwarna merah,
Diserikan dengan permata berlian,
Tibalah masa penyampaian anugerah,
Penerima teruja menunggu giliran.

 

 

Ikan sembilang, sepat dan kelah,
Guna bubu biasa di hujung,
Pencapaian cemerlang dapat hadiah,
Petanda ilmu sentiasa dijunjung.

[/infobox]

 

PANTUN PERSEMBAHAN

[infobox style=”alert-info”]

Pakaian dipakai cantik berseri,
Majlis keraian kita semua,
Majlis kita takkan berseri,
Tanpa persembahan multi media.

 

 

Dari Kedah ke Kuala Perlis,
Singgah bersantai di tepi jeti,
Persembahan pembukaan memeriahkan majlis,
Semoga hadirin terhibur di hati.

 

 

Sehabis merah daun yang sihat,
Dahan melebar bercerita sakan,
Majlis anugerah mohon berehat,
Persembahan pelajar kita saksikan.

[/infobox]

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: