Langgan newsletter kami!
Tips Selepas Bersalin

Cara Mengembalikan Keyakinan Diri Selepas Bersalin

Kajian di British mendapati 9 daripada 10 wanita hilang keyakinan diri selepas melahirkan anak. Perubahan fizikal, kekurangan waktu tidur, hubungan intim yang jarang dan kurangnya waktu untuk diri sendiri menjadi faktor hilangnya keyakinan diri terutamanya bagi ibu yang pertama kali melahirkan anak.

Tekanan ini mungkin tidak dapat dielakkan kerana pengaruh hormon dan emosi yang tidak stabil tetapi boleh diatasi dengan langkah-langkah berikut.

Dapatkan nasihat penjagaan diri selepas bersalin

Selepas bersalin, ibu-ibu perlu menjaga diri dengan lebih rapi kerana tubuh badan berada dalam keadaan yang lemah. Dapatkan nasihat daripada mereka yang berpengalaman tentang penjagaan khusus selepas bersalin. Apabila tubuh sudah kembali segar dan kuat, ibu-ibu akan berasa lebih baik untuk menjalani kehidupan seharian.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh ibu-ibu adalah menu makanan yang sesuai dan berkhasiat, amalan-amalan memanaskan badan seperti bertungku dan mandi rempah serta bermacam-macam lagi.

Tidur siang bersama bayi

Kebanyakan ibu mengalami masalah kurang tidur kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan bayi yang selalu terjaga pada waktu malam. Oleh itu, ibu-ibu boleh mengambil masa pada waktu siang untuk tidur bersama bayi agar tidak terlalu mengantuk.

Bincang dengan pasangan

Bagi pasangan yang pertama kali menyambut kelahiran anak, mungkin hubungan menjadi kekok dalam tempoh si ibu berpantang. Oleh itu, ibu-ibu haruslah berbincang dengan suami untuk mencari jalan supaya hubungan kekal intim dan ibu-ibu berasa tetap disayangi. Apabila rasa disayangi, kaum ibu dapat lebih menghargai kelahiran orang baru di dalam keluarga.

Jangan abaikan masa untuk diri sendiri

Hebatnya seorang wanita itu, Tuhan menjadikannya tabah dalam menguruskan keperluan seisi rumah. Kadang-kala, kaum ibu terlalu sibuk sehingga terlupa untuk meluangkan masa untuk dirinya sendiri.

Jangan begitu, kerana ibu juga perlu melakukan perkara yang disukai agar dapat mengekalkan kepuasan diri. Minta pasangan untuk tengokkan bayi sebentar sementara si ibu melakukan hobi masing-masing.

Yang penting, kaum ibu mesti bersikap positif dalam menjalani kehidupan baru dengan kelahiran bayi yang merupakan satu rahmat daripada Ilahi. Belajar untuk tidak membiarkan hal-hal di sekeliling menyakiti hati dan perasaan. Ingatlah, anda beruntung menjadi ibu kerana dikurniakan zuriat yang dapat menyerikan lagi hidup ini.

About Leen

Graduan Komunikasi dan Media Massa ini pernah menjadi jurukecantikan dan instruktur senaman. Sekarang seorang penulis bebas, harapannya adalah untuk mengajak orang ramai memperbaiki kesejahteraan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: