Pernahkah anda makan telur separuh masak di kopitiam, RnR atau hotel? Memang sedap dan gebu teksturnya. Tidak terlalu keras dan tidak pula terlalu cair ataupun mentah. Ada juga yang panggilnya telur setengah masak ataupun telur goyang. Tak kiralah apapun, tapi hakikatnya ia memang sedap jika dimakan ketika sarapan dan dicicah pula dengan roti bakar.
Tetapi yang menjadi masalah apabila kita cuba buat sendiri di rumah, susah untuk tahu jangkamasa yang sesuai untuk mendapatkan telur separuh masak yang betul-betul perfect.
Jangan risau, sebenarnya ada teknik yang perlu kita tahu agar ianya sempurna dan sentiasa konsisten. Tak susah mana pun sebenarnya.
Jom kita cuba cara buat telur separuh masak yang perfect seperti di bawah ini.
Cara Buat Telur Separuh Masak Yang Sempurna
1. Masak Air Sehingga Mendidih
Pertama sekali, anda perlu memasak air sehingga mendidih. Jangan masukkan telur dahulu. Pastikan kuantiti air adalah mencukupi untuk merendam keseluruhan telur ke dalam air.
Tak kira berapa banyak telur separuh masak yang anda hendak sediakan, tapi pastikan air yang telah mendidih adalah cukup.
2. Matikan Api & Masukkan Telur
Setelah air mendidih, matikan api / gas terlebih dahulu. Kemudian masukkan kesemua telur ke dalam periuk panas berisi air mendidih tadi. Pastikan telur tersebut telah dibersihkan terlebih dahulu supaya kotoran pada kulit telur tidak memberikan ‘zat’ tambahan kepada kita.
Anda boleh gunakan telur ayam biasa ataupun telur ayam kampung. Maklumlah telur ayam kampung ini banyak kelebihannya.
3. Setkan Masa Selama 7 Minit
Selepas telur dimasukkan, setkan masa selama 7 minit. Bahagian ini adalah paling PENTING. Ingat 7 minit sahaja tau, jangan terlebih atau terkurang.
Jika anda mempunyai stopwatch atau telefon bimbit, gunakan kemudahan ini supaya kita tidak lalai dengan timer 7 tersebut.
Sambil-sambil menunggu telur masak, bolehlah bancuh kopi atau bakar roti untuk dihidangkan bersama nanti.
4. Telur Separuh Masak Siap!
Nah! Sekarang telur separuh masak anda telah siap. Sekiranya masih panas, boleh lalukan sekejap di bawah air paip untuk menyejukkannya.
Sedikit tips, anda boleh makan telur separuh masak ini dengan sedikit tambahan kicap masin dan serbuk lada hitam.
Selamat mencuba! Jika sedap boleh kongsi dengan kawan-kawan.