Langgan newsletter kami!
Dress Code Almari Baju

Cara Berpakaian Yang Sesuai Dengan Majlis

Sesetengah individu mungkin tidak peka akan kepentingan menyesuaikan pakaian dengan majlis yang dihadiri, namun sebenarnya itulah etika atau adab yang perlu anda ambil tahu kerana pakaian mencerminkan peribadi seseorang. Melalui pakaian, masyarakat akan mendapat tanggapan tentang diri anda sama ada anda seorang yang berperibadi tinggi atau tidak.

Mari saya tunjukkan bagaimana anda dapat menyesuaikan pakaian anda dengan majlis yang anda hadiri.

Cara Berpakaian Ke Majlis Perkahwinan

Jika suatu ketika dahulu kaum perempuan hanya akan memakai baju kurung atau kebaya ke majlis perkahwinan, sekarang pilihannya lebih meluas termasuk gaun panjang dan blaus yang dipakai bersama skirt.

Untuk majlis pada waktu siang, elakkan memakai pakaian yang sarat dengan manik dan sequin. Pilih pakaian daripada material kapas, terutamanya jika majlis dibuat di kawasan yang panas.

Untuk majlis pada waktu malam pula, anda boleh mengenakan gaun panjang dengan sedikit kilauan dalam material sutera atau campuran sutera. Yang penting, jangan berpakaian dan bersolek mengalahkah pengantin!

Kaum lelaki pula mestilah memakai kemeja, bukannya t-shirt apatah lagi round neck yang kelihatan selekeh untuk sebuah majlis perkahwinan.

Cara Berpakaian Ke Majlis High Tea

Kod pakaian bagi majlis high tea adalah dressy casual, iaitu anda digalakkan untuk memakai gaun yang bersifat kasual. Walau bagaimanapun, anda bebas untuk memilih sebarang baju yang memiliki sedikit perincian dan memadankannya dengan skirt atau seluar yang sesuai bersama kasut tumit tinggi atau pun kasut flats yang comel.

Cara Berpakaian Ke Majlis Makan Malam

Untuk majlis makan malam, anda mestilah bertanya kepada penganjurnya tentang kod pakaian yang telah dirancang. Anda tidak mahu hadir ke majlis tersebut dengan pakaian yang menimbulkan ketidakselesaan pada tetamu lain mahupun diri anda sendiri.

Cara Berpakaian Ketika Menghadiri Temuduga Kerja

Bagi kebanyakan syarikat, terutamanya untuk jawatan yang profesional, mereka ingin melihat anda berpakaian suit.

“Tidak ada pakaian yang lebih sesuai selain suit kerana ia menggambarkan bahawa seseorang itu benar-benar berminat dengan jawatan yang dipohon,” kata seorang pengurus di syarikat firma guaman.

Walau bagaimanapun, bagi jawatan dan bidang artistik, adalah penting untuk anda menonjolkan sedikit cita rasa peribadi anda melalui pakaian yang dipilih. Bagi kaum perempuan, tambahkan sedikit aksesori pada pakaian anda seperti rantai dan tali pinggang.

Apa yang penting, pakaian untuk temuduga kerja mestilah muat dengan tubuh badan anda, bersih dan diseterika rapi.  Jangan memakai pakaian yang terlalu kecil atau yang londeh!

Cara Berpakaian Ke Majlis Pengkebumian

Akhir sekali, etika berpakaian ke majlis pengkebumian. Ramai yang kurang prihatin dengan majlis yang satu ini, mungkin kerana ia bukan sesuatu yang glamor sehingga anda akan bergambar. Sebenarnya, anda mestilah menghormati majlis pengkebumian! Pakai pakaian dalam tona neutral yang berwarna gelap untuk menunjukkan suasana muram, bukannya pakaian berwarna warni dan terang yang kelihatan ceria.

Prihatinlah pada Keterampilan Diri

Semoga artikel ini dapat anda aplikasikan dalam kehidupan seharian. Tujuan berpakaian sesuai mengikut majlis bukanlah untuk menunjukkan anda seorang yang fashionable tetapi untuk menunjukkan anda seorang yang prihatin pada keterampilan diri, satu kualiti yang perlu ada dalam diri seorang insan cemerlang.

About Leen

Graduan Komunikasi dan Media Massa ini pernah menjadi jurukecantikan dan instruktur senaman. Sekarang seorang penulis bebas, harapannya adalah untuk mengajak orang ramai memperbaiki kesejahteraan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: