Apa Itu Solat Tahajud (Tahajjud)
Solat Tahajud adalah salah satu amalan sunnah yang paling digalakkan oleh Rasulullah SAW. Boleh dikatakan tidak ada malam yang dilewati Baginda tanpa sholat tahajud di dalamnya. Seharusnya kita sebagai umat di akhir zaman menjadikan solat tahajud ini sebagai ibadah rutin harian.
Jadi apakah pengertian Solat Tahajud? Solat Tahajud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam iaitu minimum sebanyak 2 rakaat dan tiada jumlah had maksimum. Jadi lakukanlah seberapa banyak yang termampu.
Waktu Solat Tahajud
Waktu untuk melakukan Solat Tahajud adalah apabila terjaga daripada tidur malam walaupun tidur hanya sebentar. Waktunya adalah bermula dari waktu Isyak sehingga terbit fajar. Sebaik-baiknya dilakukan ketika satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga masuk waktu Subuh.
Hukum Solat Tahajud
Hukum melaksanakan solat tahajud adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat digalakkan dan jarang sekali ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.
Tatacara Solat Tahajud
1. Niat Solat Tahajud
أُصَلِّي سُنّةَ التَهَجُدِ رَكْعَتَيْنِ ِللَهِ تَعَاليَ
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Tahajud dua rakaat kerana Allah Taala”
2. Bacaan Solat Tahajud
Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
- Rakaat Pertama: Membaca surah al- Fatihah dan surah al-Kafirun
- Rakaat Kedua: Membaca surah al- Fatihah dan surah al-Ikhlas
Ringkasan Cara Mengerjakan Solat Tahajud
1. Rakaat Pertama
- Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat sunat tahajud
- Takbiratul Ihram
- Doa Iftitah
- Membaca surah al-Fatihah
- Membaca surah al-Quran
- Rukuk
- Iktidal
- Sujud
- Duduk antara dua sujud
- Sujud kali kedua
- Bangun untuk rakaat kedua
2. Rakaat Kedua
- Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
- Duduk untuk tahiyyat akhir
- Membaca tahiyyat akhir
- Memberi salam
Doa Selepas Solat Tahajud
Bacalah doa ini selepas anda selesai solat tahajud
Maksudnya:
“Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
Sumber: Panduan Qiamullail, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)