Solat Sunat Dhuha atau juga dikenali sebagai solat Duha adalah solat sunat ketika matahari baru naik pada waktu pagi sekadar satu galah tingginya, sekurang-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 12 rakaat (enam salam). Ia merupakan amalan sunat yang digalakkan untuk kita amalkan. Ia juga dikatakan sebagai “pembuka rezeki” sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w. Dalam satu riwayat Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :
Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Panduan dan Tatacara Solat Sunat Dhuha
Bilangan Rakaat Solat Dhuha
- Minumum 2 rakaat dan maksimum 12 rakaat
- Dikerjakan secara 2 rakaat 1 salam setiap satu
Waktu Solat Dhuha
Sesuai dengan namanya Dhuha yang bermaksud pagi, jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fekah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing iaitu kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7:30 pagi hingga 1:00 tengah hari. Waktu afdalnya adalah ketika sinar matahari kian panas. Berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam, Rasulullah s.a.w. menjelaskan:
Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.
Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab Al-Majmu;’ karangan Imam Nawawi).
Niat Solat Dhuha
Niat Dalam Arab/Jawi
Usolli sunnatan dhuha raqa ataini lilahi ta’ala
Niat Dalam Rumi
Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta’ala
Bacaan Surah Dalam Solat Dhuha
Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah: a. Solat sunat Dhuha dua rakaat:
- Ayat al-Kursi 10 kali dan Al-Ikhlas 10 kali atau;
- As-Syams dan Ad-Dhuha. atau;
- Al-lail dan Al-Insyirah.
b. Solat Dhuha lebih daripada 4 rakaat;
- Solat Pertama: As-Syams dan Ad-Dhuha.
- Solat Seterusnya: Surah al-Kafirun dan Al-Ikhlas
Ringkasan Cara Mengerjakan Solat Dhuha
Rakaat Pertama
- Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha
- Takbiratul Ihram
- Doa Iftitah
- Membaca surah al-Fatihah
- Membaca Surah al-Qur’an
- Rukuk
- Iktidal
- Sujud
- Duduk antara dua sujud
- Sujud kali kedua
- Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
- Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
- Duduk untuk tahiyyat akhir
- Membaca tahiyyat akhir
- Memberi salam
Doa Solat Dhuha
Setelah selesai solat Dhuha maka bacalah doa dhuha seperti di bawah. Untuk doa dhuha dalam versi rumi boleh rujuk sini.
Nota
- Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua, boleh dibaca apa-apa surah. Yang penting niat kita adalah ikhlas untuk Allah SWT.
- Berkenaan doa pula, boleh baca mana-mana doa yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat Dhuha yang khusus. Doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari Ilahi.