Bunuh diri adalah sebuah tindakan yang dilakukan seseorang untuk mengakhiri hidupnya dengan harapan bahawa segala semua urusan dan masalah yang menimpanya akan berakhir setelah dia meninggal dunia. Pelbagai perkara yang boleh menjadi penyebab seseorang itu nekad untuk bunuh diri, termasuklah berputus asa dalam menghadapi sesuatu masalah seperti masalah kewangan, masalah rumah tangga, masalah cinta, masalah yang melibatkan maruah dan sebagainya.
Dalam Islam perbuatan membunuh diri adalah termasuk dalam salah satu dosa besar dan sangat dilarang keras. Larangan terhadap bunuh diri juga dicatat dalam kenyataan-kenyataan hadis yang tulen. Kita dilarang melakukan perkara terkutuk ini kerana manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah dan diutamakan melebihi makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Orang yang membunuh diri adalah orang yang lari dari tanggungjawab kemanusiaannya. Lebih parah daripada itu, perbuatan tersebut menunjukkan kurangnya kepercayaan seseorang itu terhadap takdir Allah S.W.T sedangkan Islam mengajarkan umatnya tentang kepentingan sabar dan tawakkal serta melarang daripada sifat berputus asa dan sebagainya.
Orang yang beriman tidak boleh membunuh dirinya sendiri dengan sebarang alasan kerana Allah S.W.T pernah berfirman yang maksudnya:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.
[QS. An-Nisa’ ayat 29]Dan barangsiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[QS. An-Nisa’ ayat 30]
Na’udzubillahi min dzalik! Minta dijauhkan. Rasulullah juga pernah bersabda,
Siapa yang menjatuhkan dirinya dari gunung hingga mati maka di neraka jahanam dia akan menjatuhkan dirinya, kekal di dalamnya selamanya. Siapa yang menegak racun sampai mati, maka racun itu akan diberikan di tangannya, kemudian dia minum di neraka jahanam, kekal di dalamnya selamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan senjata tajam maka senjata itu akan diberikan di tangannya kemudian dia tusuk perutnya di neraka jahanam, kekal selamanya.
[HR. Bukhari 5778 dan Muslim 109]
Ketetapan dalam ajaran Islam bahawa seseorang Islam yang mati membunuh dirinya sendiri, maka dia pasti tidak akan dapat syurga di akhirat kelak. Di akhirat nanti, Allah akan berfirman kepadanya mengapakah tergesa-gesa hendak mati walhal belum ditentukan oleh Allah secara semulajadi mati ketika sampai ajalnya.
Dalam hadith berikut pula kita diberitahu bahawa mayat seseorang Islam yang mati kerana membunuh diri itu tidak boleh disolatkan. Menceritakan hadith oleh Zuharun, hadith dari Simakin, hadith dari Jabir b Samurah berkata:
Didatangkan kepada Nabi s.a.w dengan mayat seorang lelaki yang membunuh dirinya dengan sebilah gunting, tidak disolatkan atas jenazahnya.
[Hadith Muslim, Kitab Jenazah]
Hadith di atas menyebutkan ketetapan Islam bahawa orang yang asalnya Islam dan matinya pun Islam, yang membunuh dirinya, tidak boleh disolatkan jenazahnya. Hari ini adakah ketetapan ini dipatuhi oleh para alim ulama’ Islam? Rasanya tidak. Asalkan dianggap Islam, walaupun mati kerana bunuh diri, tetap disolatkan. Adakah kerana dikatakan belum pasti atau terbukti bunuh diri, maka disolatkan? Kalau dia benar-benar bunuh diri, bagaimana? Maka berdosalah orang-orang yang terlibat kerana melanggar ketetapan Islam bahawa mayat orang yang bunuh diri tidak boleh disolatkan.