Langgan newsletter kami!
Maksud Hibah Pemberian Hadiah

Maksud Hibah dan Penjelasan Tentangnya

Maksud Hibah

Apa itu hibah? Dari segi bahasanya, maksud hibah adalah hadiah. Selagi anda masih hidup dan bernafas, anda bebas untuk memberikan hibah kepada sesiapa pun mengikut formula yang anda kehendaki. Manakala mengikut istilah syarak, hibah merupakan suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan (‘iwad). Perlu diingat, kesan daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.

Kini, semakin ramai yang telah tahu fungsi dan maksud hibah yang sebenar dan berasakan ia adalah penyelesaian terbaik. Namun, hibah itu sendiri mempunyai ilmu yang meluas. Belajar dan bergurulah untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam. Apabila ilmu tidak ada, kita akan membuat keputusan yang kelak membuatkan ramai insan teraniaya. Apabila sesuatu harta sudah dihibah ketika pemberi hidup, kita tidak berhak mempertikaikannya.

Konsep Hibah Dalam Islam

Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 4)

“.. dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” (Surah al-Baqarah ayat 177)

Selain daripada dalil yang terdapat dalam al-Quran, pelaksanaan hibah juga disebut dalam hadis Rasulullah SAW. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud:

“Nabi SAW menerima dan membalas hadiah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rukun dan Syarat Hibah

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan setelah memenuhi rukun dan syarat seperti berikut:

1. Pemberi hibah (al-wahib)

Pemberi hibah perlu seorang ahliyyah yang sempurna akal, baligh dan rusyd. Mereka juga mestilah memiliki harta yang dihibahkan dan berkuasa penuh ke atas hartanya. Hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

2. Penerima hibah (al-mawhub lahu)

Penerima hibah mestilah mempunyai keupayaan untuk memiliki harta sama ada mukalaf atau bukan mukalaf. Sekiranya penerima hibah adalah bukan mukalaf seperti belum akil baligh atau kurang upaya, maka hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

3. Harta yang dihibahkan (al-mawhub)

Harta yang hendak dihibahkan itu mestilah harta yang halal, bernilai di sisi syarak, di bawah pemilikan pemberi hibah dan mampu diserahkan kepada penerima hibah. Ia juga perlu wujud ketika ia dihibahkan. Sebagai contoh, tidak sah hibah barang yang belum ada seperti menghibahkan anak lembu yang masih dalam kandungan atau hibah hasil padi tahun hadapan sedangkan masih belum berbuah dan sebagainya.

Harta yang hendak dihibahkan juga tidak bersambung dengan harta pemberi hibah yang tidak boleh dipisahkan seperti pokok-pokok, tanaman dan bangunan yang tidak termasuk tanah. Mengikut mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, hibah terhadap harta yang berkongsi yang tidak boleh dibahagikan adalah sah hukumnya. Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan dari penggadai atau peminjam.

4. Lafaz ijab dan kabul (sighah)

Lafaz ijab dan kabul merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

  1. Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.
  2. Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu.
  3. Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu. Hibah yang disyaratkan dengan tempoh tertentu seperti yang berlaku dalam al-‘umra dan al-ruqba adalah sah hukumnya tetapi syarat tersebut adalah terbatal.

Hukum Penarikan Semula atau Pembatalan Hibah

Terdapat persoalan, adakah pemberi hibah boleh menarik balik setelah hibah dilakukan? Perkara itu menjadi perselisihan dalam kalangan fuqaha’. Menurut pendapat mazhab Hanafi, hukum pemberi untuk menarik balik hibah yang telah diberikan adalah makruh dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd) kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad).

Ini berbeza dengan pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki iaitu penarikan balik hibah boleh berlaku sekiranya ijab dan kabul berlaku tanpa ada penyerahan harta hibah. Namun, sekiranya penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) berlaku, maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya.

Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya..” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keistimewaan Pemberian Hibah

1. Pemberian hibah tidak dihadkan kepada sekumpulan orang tertentu. Ia berbeza dengan sistem faraid yang memberikan hak hanya kepada ahli waris-waris tertentu, manakala wasiat mengecualikan waris sebagai penerima wasiat.

2. Kadar pemberian hibah adalah tidak terhad kepada jumlah tertentu. Ia berbeza dengan konsep wasiat iaitu harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi sepertiga daripada harta pusaka bersih dan faraid mengikut kadar-kadar tertentu seperti yang diturunkan di dalam al-Quran.

3. Pemberi hibah boleh menentukan sendiri kepada siapa harta dan jumlah hendak diagihkan dengan mengambil kira kesesuaiannya dari segi kedudukan ekonomi dan keperluan semasa waris-warisnya. Ini kerana, kebiasaannya keperluan seseorang individu dengan individu yang lain adalah berbeza.

Kesimpulannya, konsep dan maksud hibah boleh dianggap sebagai pelengkap kepada sistem pengagihan harta dalam Islam. Ia amat sesuai diamalkan oleh masyarakat terutama untuk mengagihkan harta kepada pihak-pihak yang tidak berkemampuan tanpa mengehadkan kepada kadar dan golongan tertentu.

Rujukan:

  1. Kosmo
  2. Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: