Langgan newsletter kami!
Dad Reading Books With Kids

10 Tips Mendidik Anak Suka Membaca

1. Berikan anak anda kuasa memilih

Rancang suatu tarikh dan masa yang paling sesuai bersama-sama keluarga. Bawa keluarga anda ke perpustakaan awam atau mana-mana perpustakaan yang sesuai. Berbincang dengan pustakawan tentang rancangan anda untuk memberi kebebasan anak-anak anda memilih buku yang mereka suka. Hal ini pasti mendapat perhatian anak-anak yang berasa sangat dihargai diberi kebebasan memilih buku yang mereka suka.

 

2. Baca bersama anak anda secara kuat

Mengapa tidak? Buat cabutan ikut giliran siapa akan membaca muka surat yang berikutnya. Pasti ini akan membuat mereka teruja ingin mengetahui giliran siapa yang akan membaca.

 

3. Bincang semula apa yang telah dibaca

Selepas satu sesi membaca bersama-sama, bawa keluarga anda ke kedai makan yang agak tenang. Sambil menunggu pesanan makanan siap, berbincanglah secara santai tentang buku yang telah dibaca dan akan dibaca seterusnya, antaranya.

  • Judul buku
  • Warna buku
  • Tentang apa
  • Apa yang menarik
  • Buku yang bagaimana mereka suka

 

4. Jadilah suri teladan

Ini adalah langkah terbaik daripada semua langkah sebelum ini, mungkin juga yang akan datang. Siapalah lagi yang bakal menjadi idola mereka jika bukan ibu bapa mereka sendiri. Pastikan anda menjadi penggemar suratkhabar dan majalah tertentu pada setiap bulan. Jika anda melanggan surat khabar, boleh minta mereka tolong ambilkan surat khabar untuk dibaca. Jika melanggan majalah bulanan, pastikan giliran mereka ke peti surat mengambil majalah yang anda langgan. Tanyakan apa fokus utama pada muka depan majalah tersebut. Sebagai ketua keluarga, keghairahan anda membaca dengan niat yang betul akan menjadi penyebab utama mengapa anak-anak anda juga ingin membaca. Pastikan anak-anak anda nampak yang anda seorang yang rajin membaca. Bacalah apa bahan sama ada majalah, suratkhabar, novel, antologi cerpen, buku manual komputer, buku manual kereta, buku resepi.. apa sahaja!
 

5. Libatkan anak anda dalam aktiviti

Penglibatan dalam sesuatu aktiviti yang membolehkan anak anda berasa bangga memberi sumbangan membaca. Rancang suatu masa memasak resepi kegemaran mereka. Minta mereka bacakan resepi tersebut. Sedang anda memasak, anda akan dapati anak-anak anda sangat teruja. Sesekali sengajakanlah membuat kesalahan agar mereka mengulang bacaan dan mempertahankan bahawa apa yang mereka baca adalah betul, dan anda yang salah mendengar!

 

6. Memberi hadiah atau ganjaran dengan buku

Walau apapun pencapaian mereka dalam apa juga acara, hadiahkan sebuah buku. Hal ini lambat laun akan memberikan isyarat kepada mereka bahawa buku adalah dunia mereka. Biarlah mereka tidak menyukai pada awalnya. Tetapi lambat laun mereka akan faham, mengapa buku menjadi hadiah dalam setiap kejayaan yang mereka capai.

 

7. Bawa buku ke mana-mana sahaja

Ibu bapa adalah contoh hidup. Bawalah senaskah buku atau majalah walau di mana anda berada. Andaikata anda sedang menunggu anak anda balik dari sekolah, pastikan masa menunggu anda diisi dengan membaca. Terdapat banyak Bahan bacaan yang pelbagai genre di pasaran. Jangan menipu diri sendiri dan anak anda dengan membaca media sosial di telefon bimbit anda. Mereka juga akan menipu anda suatu masa kelak, atau menipu anak mereka suatu masa nanti. Jika mereka melihat ibu ada bapa mereka khsuyuk membaca buku, walau di mana dan jika ada kesempatan, pasti mereka akan menghargai usaha anda. Anda akan berasa sungguh terhibur apabila mereka juga akan membaca buku tanpa disuruh.

 

8. Dalam sehari tutup semua peralatan elektronik

Tutup semua peranti elektronik seperti televisyen, radio dan telefon bimbit anda. Duduk bersama-sama dan pastikan aktiviti membaca berlaku. Disiplinkan diri anda. Jangan ke mana-mana sehingga selesai atau tamat masa yang telah dipersetujui bersama-sama.

 

9. Bersama-sama membaca dan menyelak helaian muka surat

Lakukan hal ini dengan penuh kasih sayang dan bersungguh-sungguh. Membaca bersama-sama sebuah buku merupakan suatu usaha murmi yang banyak memberi impak positif. Fikiran kita akan disatukan oleh bahan bacaan yang kita baca. Ketika itu tautan kasih sayang bertambah erat. Pemahaman terhadap sesuatu isu bakal menyuntik kebersamaan yang padat. Jika ada persoalan yang melanda, cuba bawa berbincang dengan santai dan berhemah.
 

10. Gunakan jari anda untuk menunjuk gambar atau teks yang dibaca

Kaitkan gambar tersebut dengan sesuatu yang berkaitan dengan kehidupan anda dan anak-anak anda. Tanyakan sesuatu kepada anak anda berdasarkan gambar tersebut. Raikan pendapat mereka. Jangan mengatakan salah. Minta mereka meramalkan apakah yang bakal berlaku jika isu dalam rencana tersebut perlukan suatu perbincangan lanjut. Rangsang mereka dengan beberapa klu agar mereka meneruskan perbincangan terhadap gambar atau teks yang kita baca bersama-sama.

About Cikgu Salleh

Seorang guru yang berpengalaman luas dalam menulis buku kerja sekolah, cerpen, puisi dan novel. Pernah memenangi Anugerah Sastera Johor 2016 (Puisi Siber).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: