Langgan newsletter kami!

Zack X-Factor Pilih Jadi Suri Rumah (Househusband)

Zack X-Factor Galas Tanggungjawab Berbeza

Sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, pelakon dan penyanyi Zachery Francis Ubu atau lebih dikenali sebagai Zack X-Factor, kini selesa menggalas tanggungjawab berbeza — iaitu menjadi suri rumah sepenuh masa.

Zack, 48, mendedahkan keputusan itu dibuat selepas beberapa kejadian tidak diingini menimpa anaknya ketika dihantar ke pengasuh.

“Isteri saya sangat sibuk, jadi saya terpaksa berkorban untuk menjadi suami rumah tangga. Bila hantar anak ke pengasuh, macam-macam yang berlaku. Ada lebam sana sini dan saya tak boleh terima itu.

Isteri saya cakap sama ada dia atau saya yang kena uruskan anak. Akhirnya saya pilih untuk jaga sendiri. Jujur, bukan mudah. Kalau diberi pilihan, lebih senang bekerja, sebab menjaga anak 24 jam sangat mencabar,” katanya.

Keputusan berat, tapi ikhlas berkorban

Mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk membuat keputusan itu, Zack berkata beliau bimbang mengenai keadaan kewangan kerana hanya isterinya yang keluar mencari nafkah.

Artikel berkaitan:  Drama 7 Hari Mencintaiku 2 (TV3)

Namun, dia bersyukur kerana isterinya yang berkhidmat sebagai anggota tentera mampu menyediakan keperluan asas buat keluarga mereka.

“Pada awalnya memang berat sebab tak tahu perjalanan macam mana, lebih-lebih lagi bab kewangan. Tapi syukur, isteri saya seorang tentera darat.

Dari segi rumah pun tak jadi masalah sebab boleh tinggal dalam kem. Dulu masa kecil saya pun pernah duduk dalam kem, jadi sudah biasa. Saya tak peduli pandangan orang, sebab inilah peluang saya menjaga anak sendiri,” ujarnya.

Tolak tawaran seni demi keluarga

Walaupun masih menerima pelbagai tawaran berlakon, Zack memilih untuk mengutamakan keluarga. Katanya, dia pernah cuba menerima satu tawaran, namun terpaksa berkejar-kejar menguruskan anak hingga mengganggu jadual produksi.

“Banyak saja tawaran datang, tapi saya terpaksa tolak. Pernah sekali saya cuba ambil ‘job’, tapi akhirnya kelam-kabut nak ambil anak sekolah dan uruskan hal lain. Jadi saya tak mahu menyusahkan produksi,” jelasnya.

Househusband: Peranan moden dalam rumah tangga

Fenomena suami menjadi suri rumah atau dikenali sebagai househusband atau stay-at-home dad, kini semakin diterima dalam masyarakat moden. Dalam keadaan ini, suami mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga, manakala isteri menjadi pencari nafkah utama.

Artikel berkaitan:  Biodata Shahir, Bintang Kelahiran AF8

Zack mendirikan rumah tangga bersama Jennifer Carterina pada tahun 2013, dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata berusia 10 tahun dan 2 tahun.

Bagi Zack, meskipun kehidupannya berubah 360 darjah, dia tetap melihat pengorbanan ini sebagai satu bentuk kasih sayang untuk memastikan anak-anak membesar dalam keadaan selamat dan penuh perhatian.

“Biar orang kata apa pun, yang penting saya tahu apa yang saya buat ini untuk keluarga. Itu lebih utama,” tegasnya.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *