Langgan newsletter kami!

Senarai Lagenda Sukan Terhebat Sepanjang Zaman

Berikut adalah senarai pemain sukan terhebat dalam acara masing-masing.

PELE (Lagenda Bola Sepak)
Pele atau nama sebenar Edison Arantes do Nascimento telah dilahirkan pada 23 Oktober 1940, di Três Coracoes, Brazil. Beliau dianggap sebagai legenda dunia sepanjang sejarah sepak bola dan telah membawa pasukan Brazil memenangi trofi Piala Dunia sebanyak tiga kali. Aksinya yang lincah menggelecek bola, kawalan bola yang luar biasa di samping ketajamannya menjaringkan gol menjadikan beliau sangat digeruni di atas padang. Untuk rekod, Pele telah bermain dalam 1,363 perlawanan dan berjaya menjaringkan 1,281 gol.

Pele dan Neymar - Dua Pemain Hebat

MUHAMMAD ALI (Lagenda Tinju)
Dikenali sebagai ‘Yang Terhebat’ dan berhak menerimanya, Ali menggegarkan dunia dengan mengejutkan Sonny Liston untuk menjadi juara heavyweight pada 1964 ketika berusia 22 tahun sebelum mendominasi divisyen berkenaan menerusi kesempurnaan gabungan unik kepantasan dan kekuatan yang dimilikinya. Bagaimanapun selepas lesennya digantung apabila enggan menyertai tentera Amerika Syarikat untuk Perang Vietnam, prestasinya tidak sehebat dulu meskipun menjulang gelaran dua kali selepas itu.

USAIN BOLT (Lagenda Olahraga)
Sebagai manusia terpantas dalam sejarah, Usain Bolt bukan saja memecah rekod dunia malah memadamkannya beberapa kali. Malah catatannya untuk acara 100m (9.58 saat) dan 200m (19.38) masih gagal dipecahkan sehingga kini. Pelari Jamaica itu juga memenangi 6 pingat emas Olimpik dan sukar digugat dalam tempoh lapan tahun ini. Biarpun prestasinya dikatakan merosot tahun beberapa tahun kebelakangan ini, dia kemudiannya bangkit untuk memenangi pingat emas kesembilan, ke-10 dan ke-11 dalam Kejuaraan Dunia.

Usain Bolt Arrow

JUAN MANUEL FANGIO (Lagenda Formula Satu)
Michael Schumacher mungkin menjuarai lebih banyak kejuaraan dunia (tujuh) tetapi pelumba Jerman itu masih gagal menyamai konsistensi Fangio apabila pelumba Argengtina itu menjulang lima kejuaraan dan dua naib juara sepanjang tujuh tahun bersama F1. Apa yang lebih menakjubkan, Fangio cemerlang dengan empat pasukan berbeza, satu rekod yang masih bertahan hingga ke hari ini. Malah sewaktu menjulang trofi itu buat kali terakhir pada 1957, ‘El Maestro’ berusia 46 tahun, bersaing dan berjaya mengatasi pelumba separuh daripada usianya.

ROGER FEDERER (Lagenda Tennis – Lelaki)
Roger Federer ialah pemain paling berjaya sepanjang zaman memenangi 17 gelaran utama dan biarpun pada usia 34 tahun, dia dilihat masih mampu menambah gelaran. Bagaimanapun tidak dinafikan pemain Switzerland itu berada di era kemuncaknya dari 2004 hingga 2007, di mana dia menjulang 10 gelaran utama, beraksi dalam 13 daripada 16 perlawanan akhir sepanjang tempoh itu.

STEFFI GRAF (Lagenda Tenis – Wanita)
Pemain-pemain baru mungkin mendominasi tenis wanita ketika ini namun Steffi Graf memiliki lebih banyak kejuaraan daripada yang dicapai oleh mana-mana pemain sebelum ini. Belaiau bagaimanapun bersara pada usia 30 tahun. Pemain Jerman itu telah memenangi 22 gelaran utama (terbanyak sepanjang era Terbuka) dan satu-satunya pemain tenis yang merangkul ‘Golden Slam’ dengan memenangi kesemua empat gelaran utama dan Olimpik pada tahun sama.

MICHAEL JORDAN (Lagenda Bola Keranjang)
Ramai pemain hebat hadir sebelum Michael Jordan namun tiada seorang pun di antara mereka menjadi fenomena global seperti dilakukan ‘His Airness’ dengan membawa Chicago Bulls menjulang tiga Kejuaraan NBA berturut-turut pada awal 1990-an. Biarpun mencuba nasib dalam besbol, Jordan kemudiannya kembali ke pangkuan Bulls pada 1995 dan menjulang tiga lagi gelaran. Biarpun Jordan menjulang rekod jaringan terbanyak, apa yang sering dilupakan adalah kemampuannya selaku pertahanan dan bakat serba boleh itulah yang menjadikannya pemain bola keranjang paling dominan.

JACK NICKLAUS (Lagenda Golf)
The Golden Bear” memenangi 18 gelaran utama, menjulang gelaran terakhir pada usia 46 tahun. Namun kegemilangan Nicklaus bermula apabila menjulang gelaran utama perdana pada Terbuka AS 1962, kurang daripada setahun selepas bergelar pemain profesional dan melengkapkan grand slam ketika berusia 26 tahun. Pencapaian itu dilakukan ketika bersaing hebat dengan seorang lagi pemain Dewan Kemasyhuran, Arnold Palmer.

MICHAEL PHELPS (Lagenda Renang)
Michael Phelps bukan saja memenangi lebih banyak pingat Olimpik daripada mana-mana atlet dalam sejarah (22 pingat) malah turut menjulang pingat emas lebih banyak dalam sejarah (18 pingat). Perenang AS itu bukan saja mendominasi satu edisi Olimpik tetapi tiga, merangkul lapan pingat emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

VALENTINO ROSSI (Lagenda MotoGP)
Menggunakan jentera motorsikal bernombor 46, pelumba berkarisma yang digelar “The Doctor” dari Itali ini dianggap sebagai pelumba paling berjaya sepanjang zaman, hasil prestasi hebatnya dari tahun 2002 hingga 2009 yang menyaksikannya menjulang 6 kejuaraaan dunia. Selain itu, tiada pelumba lain yang memenangi lebih banyak perlumbaan daripadanya (86 perlumbaan) dalam kategori 500cc dalam MotoGP berbanding pelumba berusia 36 tahun ini.

Rossi bergaya dengan superbike

SACHIN TENDULKAR (Lagenda Kriket)
Sachin Tendulkar ditakdirkan untuk mencapai kegemilangan sebaik membuat penampilan Test (mewakili negara) pertama pada 1989 ketika berusia 16 tahun. Dia mencatat larian lebih banyak dalam One Day Internationals dan Test berbanding pemain lain, selain membawa India menjulang kejuaraan pada Piala Dunia 2011.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: