Langgan newsletter kami!
Gaya Rambut Baru Zizan Razak

Selain Kahwin, Ini 9 Azam Baru 2017 Zizan Razak

Jika sebelum ini kami kongsikan dengan anda mengenai biodata Zizan Razak dan fakta menarik mengenai beliau, pada kali ini kami senaraikan 9 azam baharu bintang filem Polis Evo itu untuk tahun ini yang turut di muatnaik menerusi saluran YouTubenya di Zizanalogy.

Apa tunggu lagi, jom kita semak!

  1. Nak Menang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM)

Pada tahun ini, Zizan berazam untuk memenangi salah satu anugerah di FFM 29 bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Anak jati Terengganu itu pernah tersenarai di kategori Pelakon Lelaki Terbaik di FFM 28 menerusi filem Polis Evo namun tewas di tangan Pekin Ibrahim melalui filem Mat Motor: Kami Mat Motor Bukan Mat Rempit.

  1. Nak Kahwin

Bekas pengacara Melodi itu juga berazam ingin menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini.  Nak kahwin dengan siapa tu? Jeng.. Jeng.. Jeng..

“Rancangan (berkahwin) itu ada tetapi orangnya tidak ada, macam mana? Itu masalahnya. Kalau ada, doakanlah untuk saya, Insya Allah. Tidak tahulah, sekarang sibuk dengan kerja. Kalau ada peluang Insya Allah. Saya pun berniat juga (untuk berkahwin). – themalaymailonline.com

Tidak terlalu mementingkan kecantikan rupa paras, sebaliknya pelantun lagu Bawaku Pergi itu lebih mementingkan keturunan dan agama wanita itu.

Beliau sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan dengan pelakon kacukan Melayu-Scotland, Emma Maembong dan juga Juliana Evans.

  1. Berjaya Dalam Motorsports

Sukan permotoran merupakan antara minat Zizan sejak dahulu lagi. Ketika di kampung dahulu di Terengganu, beliau sering berlumba motor dan kereta bersama-sama rakan-rakannya di trek yang disediakan.

Dia pernah mewakili pasukan lumba kereta Mayhem-FX bersama-sama dengan Keifli Othman, Tengku Djan Ley dan Faye Kusairi untuk perlumbaan Sepang 1,000 KM Endurance Race pada 4 September 2016 yang lalu. Menerusi pertandingan itu, pasukannya meraih tempat pertama dan membawa pulang wang tunai bernilai RM25,000.

Kemenangan tersebut, sedikit sebanyak meniup semangat buat Zizan untuk meneruskan cita-cita menjadi seorang pelumba handal. Untuk rekod, Zizan pernah menang sebanyak 10 kali dalam sukan berkenaan.

  1. Tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM)

Selain bidang lakonan dan pengacaraan, Zizan juga berbakat dalam bidang nyanyian dan rapper.

Untuk tahun ini, naib johan program Raja Lawak musim pertama itu ingin menghasilkan beberapa lagu yang hebat seperti lagu-lagunya yang sebelum ini iaitu Selamat Tinggal (berduet dengan Dina) serta Bawaku Pergi dan Infiniti Cinta (berduet dengan Kaka).

Malahan, beliau juga berhasrat untuk tercalon di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun ini.

  1. Fokus pada Bisnes

Pada tahun 2017, beliau ingin melebarkan lagi sayap perniagaannya iaitu BurgerByte dengan membuka beberapa cawangan terutamanya di negeri kelahirannya.

BurgerByte yang dilancarkan pada 2013 menawarkan kepelbagaian menu masakan Barat dan pada masa sama turut mempunyai menu citarasa masyarakat Malaysia.

Sehingga kini, BurgerByte mempunyai 14 cawangan termasuklah di Bangsar, Cheras, Sentul, Kluang dan Johor Bahru.

  1. Nak Bawa Peminat Bercuti

Wow, tak sabarnya! Ekoran sibuk dengan karier seninya beberapa tahun yang lalu, Zizan turut berhasrat untuk membawa peminat-peminatnya terutamanya kelab peminatnya iaitu Zizan’s True Fans (ZTF) bercuti bersama-sama.

Zizan juga mengajak para peminatnya mengundi dimana tempat yang bakal menjadi lokasi percutiaan nanti. Tunggu!

  1. Menjadi ‘Abang Sado’

Dalam masa terdekat, Zizan perlu menjalani proses untuk kelihatan sado bagi menjalani penggambaran filem terbaharunya iaitu Polis Evo 2.

Untuk merealisasikan impian itu, Zizan hanya mempunyai masa sekitar tiga bulan untuk ‘work out’ dan dapatkan susuk tubuh yang sado. Disebabkan kekangan masa yang agak terhad, beliau juga telah meminta pihak pengurusannya mengurangkan aktiviti seni kerana ingin memberikan fokus kepada filem terbaru nanti.

“Jujurnya saya bukanlah seorang yang terlalu taksub untuk memiliki badan tegap dan berotot tetapi demi menjayakan watak dalam Polis Evo 2 nanti saya anggap ini sebagai satu tanggungjawab.” – mStar.

  1. Berharap Polis Evo 2 Meletop

Mendapat sambutan luar biasa daripada peminat filem Melayu pada tahun lalu, Polis Evo bakal kembali buat kali kedua. Bakal menjalani penggambaran nanti, Zizan memohon kepada para peminat agar mendoakan filem itu berjaya dan menjadi fenomena.

“Polis Evo sangat diminati ramai dan untuk naskhah terbaharu itu nanti saya kena betul-betul bersedia. Saya berbuat demikian kerana sedar harapan penonton dan peminat sangat tinggi untuk Polis Evo 2 jadi saya tidak boleh main-main.” –mStar.

Paling menarik, pihak produksi Polis Evo 2 turut mengadakan uji bakat bagi mencari pelakon tambahan bagi menjayakan filem tersebut baru-baru ini.

  1. Nak Jadi Pengarah

Bintang filem KL Gangster juga bercita-cita untuk menjadi seorang pengarah di mana beliau ingin menulis skrip dan mengarahkan cerita itu sendiri. Ketika di set penggambaran drama atau filem, Zizan akan mengambil kesempatan untuk belajar selok-belok kerja di belakang tabir.

“Ya, macam-macam benda yang saya impikan dan inilah antara yang saya rancang untuk memperolehnya. Sekarang ini saya sedang mempelajari kerja-kerja di belakang tabir dan akan menubuhkan sebuah produksi untuk menerbitkan karya-karya filem tempatan.”- mStar

  1. Tunai Impian Peminat dan Bantuan Kemasyarakatan

Beliau juga berhasrat untuk menunaikan impian peminat dan membantu meringankan beban masyarakat yang memerlukan sama ada di dalam atau di luar negara.

Sebelum ini, pengacara Akademi Fantasia (AF) itu bersama 11 Street dan We Love Charity turut melancarkan projek #sepasangkasutsekolah di mana mencari seberapa banyak pelajar kurang bernasib baik dengan menghadiahkan mereka sepasang kasut sekolah.

“Projek ini sebenarnya idea daripada ZTF dan We Love Charity bersempena ulang tahun keempat kelab peminat saya dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan baik daripada ahli dan penaja. Buat permulaan kami mula dengan kasut sekolah dahulu kerana ia adalah benda penting untuk pergi ke sekolah dan syukur 11 Street pun sudi menyumbangkan 160 pasang kasut untuk didermakan kepada golongan memerlukan.” – MyNewsHub.

About Azlan Jusoh

Memulakan kerjaya penulisan sebagai wartawan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tempatan selama dua tahun dan di sebuah portal berita selama setahun lebih. Kini, berjinak-jinak sebagai penulis sambilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: