Langgan newsletter kami!

“Sampai Dah Mati Laki Aku, Orang Asyik Tanya Peti Ais” – Ina Naim

“Rumah saya sekarang sudah ada peti ais dan kelengkapan lain.”

Itulah respons tegas selebriti serta peserta program realiti Talk To My Manager, Ina Naim, apabila sekali lagi ditanya mengenai isu “peti ais” yang pernah tular dan kembali diperkatakan netizen di media sosial baru-baru ini.

Ina, atau nama penuhnya Nordiana Mohd Naim, 41 tahun, kini bertindak sebagai pengurus kepada anaknya, Hadie, yang turut bertanding dalam program Talk To My Manager siaran Astro.

Tidak Faham Isu Peti Ais Masih Dipersoalkan

Menurut Ina, dia sendiri hairan mengapa isu lama itu masih menjadi bualan walaupun sudah bertahun berlalu.

“Sampai dah mati laki aku, orang asyik tanya lagi isu peti ais. Sekarang rumah saya dah ada peti ais. Bukan itu sahaja, mesin basuh, televisyen, sofa pun ada,” katanya.

Jelas Ina, segala kelengkapan tersebut kini disediakan oleh suami baharunya dan dia amat bersyukur serta berterima kasih atas sokongan yang diberikan.

“Suami baru saya yang sediakan semua kelengkapan tersebut. Dahulu saya menolak ada sebab, kali ini saya terima pun ada sebab. Masa duduk di Kelantan dulu rumah kami sangat dekat dengan kedai. Tetapi sekarang rumah saya jauh dari kedai, jadi memang perlu ada peti ais,” tambahnya ketika ditemui di Konsert Talk To My Manager baru-baru ini.

Kehidupan Bersama Arwah Suhaimi di Kelantan

Mengimbas kehidupannya bersama arwah suami terdahulu, Suhaimi Saad, Ina menjelaskan bahawa ketiadaan peti sejuk pada waktu itu bukanlah suatu masalah besar.

“Semasa tinggal di Kelantan, rumah kami memang dekat sangat dengan kedai. Barang-barang dapur pula murah dan segar. Sayur satu ikat boleh dapat 50 sen sahaja, memang jauh beza dengan sekarang. Jadi walaupun tak ada peti ais, makanan kami tak pernah putus,” jelasnya.

Latar Belakang Keluarga

Untuk rekod, Ina dan Suhaimi berkahwin pada tahun 2007. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, termasuk Hadie yang kini mula mencipta nama dalam dunia hiburan.

Artikel berkaitan:  Biodata Aina Suzaily, Gadis Cantik Host Bolasepak Malaysia

Namun, pada 15 November 2023, Suhaimi menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan kuman pada paru-paru. Kisah keluarga mereka pernah tular suatu ketika dahulu kerana mengambil pendekatan homeschooling dengan tidak menghantar anak-anak ke sekolah, sebaliknya mendidik sendiri di rumah.

Fasa Kehidupan Baharu

Setahun selepas pemergian arwah suami, Ina membuka lembaran hidup baharu dengan mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama seorang jurutera, Mohd Khairul Rizal.

Kini, kehidupannya lebih stabil dengan sokongan keluarga, selain fokus memberi ruang kepada anak-anak untuk terus berkembang, termasuk Hadie yang sedang bersaing dalam Talk To My Manager.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *