Langgan newsletter kami!
Manuka Honey

Rahsia Kecantikan Dengan Madu Manuka

Anda tentu pernah dengar tentang penggunaan madu sebagai ubat dan produk kecantikan. Keajaiban bahan semula jadi ini memang terkenal sejak zaman purba sehingga kini. Ada pelbagai jenis madu di pasaran dan madu manuka (manuka honey) dikatakan sebagai madu yang paling berkhasiat dan berkualiti.

Dihasilkan di New Zealand, madu manuka digunakan dalam kedua-dua rawatan moden dan tradisional kerana kandungan antibakteria yang tinggi di dalamnya. Walaupun kesemua jenis madu mengandungi antibakteria methylglyoxal (MG), madu manuka mengandungi 100 kali ganda MG di dalamnya.

Eksperimen makmal mendapati madu manuka dapat membunuh bakteria berikut:
1. Helicobacter pylori – bakteria penyebab ulser usus
2. Staphylococcus aureus – bakteria yang semakin kuat dengan pengambilan antibiotik
3. Escherichia coli – bakteria punca keracunan makanan
4. Streptococcus pyogenes – bakteria punca sakit tekak

Dari segi kecantikan pula, madu manuka dapat membersihkan kulit, memperbaiki kelembapannya dan menjadikannya awet muda.

Khasiat Madu Manuka

Pembersih jerawat

Madu manuka sangat berkesan buat kulit yang berjerawat kerana kandungan antibakteria yang tinggi di dalamnya. Ia juga bersifat antiradang, jadi ia dapat melegakan kulit sambil merawatnya. Jumlah pH madu manuka yang asidik dapat mengembalikan kulit yang berjerawat pada tahap pH yang seimbang sekaligus mengelakkan jerawat daripada kembali. Ia juga mengandungi asid amino yang dapat membuang sel kulit mati, menjadikan kulit lebih cerah dan sekata.

Pelembap kulit

Pelembap kulit di sini bukanlah bermaksud anda perlu meletakkan madu ke muka sebelum keluar rumah, sebaliknya madu manuka ini merupakan humectant yang menarik lembapan sama ada daripada udara mahupun daripada bahan kecantikan lain ke permukaan kulit. Kulit yang terjaga kelembapannya akan kekal sihat dan berfungsi dengan optimum.

Awet muda

Asid amino merupakan struktur binaan kolagen yang menjadi kunci untuk melambatkan proses penuaan kulit. Madu manuka kaya dengan asid amino untuk membantu penghasilan dan pengekalan kandungan kolagen di dalam kulit.

Jadi, bagaimana untuk mengamalkan madu manuka untuk menjaga kecantikan dalaman dan luaran? Tentu saja anda boleh memakan madu manuka sama ada dicampurkan ke dalam air ataupun makanan. Untuk kegunaan luaran, anda boleh menggunakan madu manuka sebagai masker selama setengah jam selepas mencuci muka sebelum dibilas. Anda juga boleh menggunakannya sebagai spot treatment pada jerawat sepanjang di rumah.

Selamat mencuba!

About Leen

Graduan Komunikasi dan Media Massa ini pernah menjadi jurukecantikan dan instruktur senaman. Sekarang seorang penulis bebas, harapannya adalah untuk mengajak orang ramai memperbaiki kesejahteraan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: