Tiada Kaitan Dengan Al-Arqam
Kumpulan nasyid tersohor Rabbani dan Hijjaz menolak sebarang tanggapan yang mengaitkan mereka dengan pertubuhan Al-Arqam, yang telah diharamkan kerajaan pada tahun 1994.
Menurut anggota Rabbani, Azadan Abd Aziz, konsert Legenda Nada Murni yang akan berlangsung pada 7 Disember depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya, adalah persembahan istimewa untuk mengimbau semula era kegemilangan Nada Murni, dan tidak ada kaitan dengan Al-Arqam.
“Kami akui memang pernah menjadi pelajar di madrasah kebudayaan dan kesenian Islam milik Al-Arqam. Tetapi sejak pertubuhan itu diharamkan pada 1994, perjalanan seni kami bergerak secara bebas.
Nada Murni ketika itu berpecah, lalu lahirlah Rabbani dan Hijjaz. Sejak itu, kami membina legasi sendiri tanpa lagi ada sebarang kaitan dengan Al-Arqam,” jelas Azadan pada sidang media konsert berkenaan, semalam.
Persepsi Masyarakat Sudah Berubah
Azadan menegaskan, konsert ini bukanlah usaha menghidupkan semula sejarah lama, sebaliknya mempersembahkan Nada Murni dalam wajah baharu yang lebih segar.
“Kami tidak bimbang konsert ini dibayangi masa lalu. Masyarakat hari ini lebih terbuka dan menilai karya secara profesional.
Generasi baharu pula lebih mengenali Rabbani dan Hijjaz berbanding Nada Murni. Justeru, kami percaya konsert ini akan diterima baik,” katanya.
Konsert Imbau Perjalanan Muzik Nada Murni
Mengulas tentang konsep persembahan, Azadan berkata konsert tersebut akan membawa penonton menyelusuri perjalanan muzik Nada Murni sejak awal kemunculannya, termasuk era awal yang hanya berasaskan vokal acapella tanpa iringan muzik.
“Kami akan memilih lagu-lagu terbaik daripada album pertama hingga album ke-44, meliputi tema ketuhanan, keinsafan, perjuangan dan nasihat. Antaranya, Di Pondok Kecil yang pernah membuat penonton menitiskan air mata.
Konsert ini juga akan disusun dalam bentuk medley, menggabungkan sekitar 30 hingga 40 lagu popular Nada Murni termasuk Asma Ul Husna,” tambahnya.
Detik bersejarah gabungkan semula anggota asal
Bagi Azadan, Legenda Nada Murni menjadi momen bersejarah kerana menghimpunkan kembali anggota asal kumpulan tersebut selepas lebih dua dekad membawa haluan masing-masing.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi juga simbol perjalanan panjang kami dalam dunia nasyid,” katanya.
Tiket Mula Dijual 26 September
Konsert Legenda Nada Murni akan berlangsung pada 7 Disember 2025 di Idea Live Arena, Petaling Jaya. Tiket berharga antara RM128 hingga RM258, boleh didapati menerusi Ilasso Tickets bermula 26 September ini.