Langgan newsletter kami!
Ubat Cacing

Pengambilan Ubat Cacing – Adakah Perlu?

Jangkitan Cacing

Bilakah kali terakhir anda mengambil ubat cacing? Pasti ramai yang mengaku pernah mengambil ubat cacing semasa kanak-kanak. Penggunaan ubat cacing adalah perkara yang lazim dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa. Namun, adakah penyakit cacing hanya menjangkiti kanak-kanak sahaja?

Sebenarnya, penyakit cacing ini boleh menjangkiti kanak-kanak dan juga orang dewasa. Jangkitan cacing boleh berlaku melalui makanan apabila seseorang itu termakan telur cacing yang berada di dalam makanan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak sempurna.

Selain itu, jangkitan cacing juga boleh berlaku melalui kulit kepada mereka yang mengabaikan kebersihan diri dan persekitaran. Amalan tidak membasuh tangan dengan bersih sebelum makan, tidak memakai selipar ketika keluar rumah serta tidak membasuh tangan setelah menyentuh haiwan peliharaan turut menyebabkan jangkitan cacing melalui kulit.

Kanak-kanak yang mengabaikan kebersihan tangan sebelum makan adalah golongan utama yang menjadi mangsa jangkitan parasit cacing. Selain itu cacing juga boleh memasuki tubuh melalui kulit kaki yang terdedah.

Jangkitan cacing yang paling biasa adalah cacing gelang (round worm), cacing kerawit / cangkuk (hook worm), cacing benang (thread worm) dan cacing pita (tape worm). Seseorang pesakit mungkin dijangkiti lebih daripada satu jenis cacing kerana kebanyakan cacing hidup dan membiak dalam keadaan tanah yang sama.

Cacing-cacing yang masuk ke dalam badan manusia akan bersaing untuk mendapatkan nutrien yang diserap daripada makanan. Keadaan ini turut menyebabkan tubuh mengalami kekurangan zat makanan. Perkara ini akan menganggu tumbesaran dan perkembangan fizikal terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti.

Jangkitan cacing yang tidak dirawat dan dibiarkan berada dalam tubuh tanpa disedari akan memberikan kesan yang berbahaya. Dalam keadaan yang serius, jangkitan tersebut boleh merebak ke organ lain seperti otak, hati dan paru-paru. Walau bagaimanapun, bukan semua jangkitan cacing itu berbahaya. Rawatan dan pencegahan awal harus dipertimbangkan demi kesihatan dan kualiti hidup.

Simpton Jangkitan Cacing

Antara simptom-simptom atau tanda kecacingan dalam tubuh ialah:

  • Keluar cacing daripada lubang najis, atau nampak cacing pada najis
  • Pucat akibat anaemia (kekurangan darah merah)
  • Cepat rasa lemah dan letih
  • Kurang selera makan
  • Loya
  • Cirit-birit
  • Sakit perut
  • Abdomen yang kembung
  • Mengetap gigi ketika tidur malam (grinding of the teeth at night)
  • Sensitif terhadap cahaya
  • Gusi dan hidung berdarah
  • Adakalanya terdapat juga tanda-tanda kegatalan di kulit kaki dan lubang dubur

Ubat Cacing di Pasaran

Antara contoh ubat dalam pasaran yang biasa digunakan dalam rawatan jangkitan cacing adalah albendazole, mebendazole dan sebagainya. Kebiasaannya albendazole adalah ubat yang digunakan untuk merawat masalah ini terutamanya di fasiliti kerajaan (hospital dan klinik kerajaan). Ubat ini kurang diserap ke dalam badan dan ianya tinggal di dalam usus. Ia bertindak dengan menghalang penyerapan glukosa oleh cacing dan menyebabkan cacing-cacing tersebut kehilangan tenaga dan mati.

Terdapat dua bentuk dos bagi albendazole dalam pasaran iaitu suspension (cecair) dan tablet. Biasanya tablet tersebut boleh dikunyah atau ditelan bergantung kepada formulasi syarikat pengeluar. Selain itu, bagi membantu memudahkan pesakit terutamanya kanak-kanak untuk mengambil ubat ini, ianya didatangkan dengan pelbagai perisa buah-buahan seperti oren, strawberi, pisang dan juga coklat.

Sila dapatkan ubat cacing di farmasi yang berhampiran dengan anda. Antara jenama ubat cacing yang popular adalah Zentel dan Champ. Kebanyakan ubat cacing ini berharga di bawah RM10.

Ubat Cacing Tablet Kunyah Champs
Ubat Cacing Tablet Kunyah Champs
Ubat Cacing Zentel
Ubat Cacing Zentel

Sukatan / Dos Ubat Cacing

[infobox style=”alert-info”] Dos albendazole yang disyorkan:

  • Bagi orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke atas adalah 400mg dos tunggal.
  • Bagi kanak-kanak yang berumur antara 1 hingga 2 tahun, 200mg dos tunggal (bergantung kepada keadaan pesakit).[/infobox]

Perlu diingatkan bahawa ubat cacing ini tidak boleh diambil oleh wanita yang mengandung dan bayi yang berumur kurang daripada 1 tahun.

Orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor sekiranya keadaan jangkitan cacing adalah luar biasa atau serius supaya rawatan yang berkesan dapat diberikan. Jenis ubat, dos dan tempoh pengambilan ubat akan diberikan oleh doktor bergantung kepada keadaaan pesakit.

Bila Perlu Makan Ubat Cacing?

Secara amnya memberikan kanak-kanak ubat cacing setiap enam bulan sudah memadai, terutama jika anda membela haiwan peliharaan seperti kucing. Jika tidak, memberikan anak-anak anda ubat cacing setahun sekali sudah memadai.

Cara Mencegah Jangkitan Cacing

Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk mencegah jangkitan cacing:

  1. Tingkatkan kebersihan diri dan persekitaran dengan membasuh tangan dengan sempurna terutama di celah dan di bawah kuku sebelum makan dan setiap kali masuk ke dalam rumah. Selain itu, gunakan kasut atau selipar semasa berada di luar rumah.
  2. Tingkatkan kebersihan semasa penyediaan dan pengambilan makanan. Makanan berunsurkan daging dan ikan perlu dimasak dengan sempurna. Basuh sayur dan buah-buahan sebelum dimakan.
  3. Bagi mereka yang mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing, jalankan deworming dan gunakan sarung tangan semasa membersihkan sisa tinja haiwan peliharaan. Basuh tangan setiap kali selepas menyentuh haiwan tersebut.
  4. Elok juga setahun sekali haiwan peliharaan seperti kucing ini diperiksa oleh doktor haiwan. Ini kerana dalam kehidupan di bandar, cacing dapat disebarkan dengan mudah melalui haiwan peliharaan. Selain kanak-kanak, haiwan peliharaan ini juga harus diberikan ubat cacing.
  5. Jika menggunakan tandas awam, pastikan mangkuk tandas dibersihkan terlebih dahulu sebelum duduk di atasnya.
  6. Jika terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan berkaitan penggunaan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi – 5.00 petang) untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Rujukan:

  1. Farah Norashiyqin bt Abdul Halid
    Pegawai Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Perlis.
  2. Dr Zubaidi bin Hj Ahmad

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: