Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendaftarkan parti baharu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 Ogos 2016. Dengan nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), keahliannya terbuka kepada golongan bumiputera namun golongan bukan bumiputera boleh mendaftar sebagai ahli bersekutu.
Muhyiddin akan berperanan sebagai presiden parti, manakala bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula akan dilantik sebagai pengerusi. Selain itu, kumpulan ahli pertama yang menyertai parti itu adalah anak Tun Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas pemimpin Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin. Presiden Gabungan ketua Cawangan Malaysia (GKCM), Kamarul Azman Habibur Rahman, pemimpin kumpulan belia Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Ketua Umno Cawangan Bendang Baru, Akhramsyah Sanusi juga antara yang menyokongnya.
Sebab utama penubuhannya adalah kerana ketidak puashatian ramai dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak serta mencari kebenaran susulan peldakwaan skandal 1MDB dan kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Najib.
Facebook Official Parti Pribumi Bersatu Malaysia:Â https://www.facebook.com/pribumibersatuofficial
Tujuan dan Matlamat BERSATU
- Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni.
- Menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
- Mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hak-hak yang sah untuk semua kaum.
- Memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memelihara hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.
- Menegakkan sistem demokrasi berparlimen dan doktrin pemisahan kuasa dengan memperkukuhkan institusi demokrasi menerusi reformasi institusi yang menyeluruh.
- Memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa untuk mewujudkan amalan tadbir urus yang baik dan pemerintahan yang bersih, beramanah dan berintegriti;
- Memelihara hak-hak asasi rakyat sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, menjunjung nilai-nilai keadilan sejagat yang selari dengan agama Islam, serta menjunjung keluhuran perlembagaan, kedaulatan udang-undang serta prinsip keadilan dan kesaksamaan.
- Membentuk masyarakat Malaysia yang inklusif, progresif, dinamik dan saintifik serta menghargai seni, budaya dan tradisi sebagai acuan membina sebuah negara maju yang sejahtera.
- Memperjuangkan keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.
- Mendokong prinsip bahawa setiap rakyat berhak untuk berjaya dengan memperolehi pendidikan yang berkualiti dan sempurna menerusi satu sistem pendidikan yang mementingkan pengembangan bakat, kreativiti, inovasi dan amalan nilai-nilai murni serta melaksanakan dasar dan inisiatif yang konsisten untuk merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
- Memupuk perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara, dan memacu pembangunan ekonomi yang mapan demi kepentingan rakyat dan negara.
- Mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara serta mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri.