Langgan newsletter kami!

Panduan Lengkap Solat Sunat Rawatib

Kartun Solat SunatSolat Sunat Rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat-solat fardhu 5 waktu. Solat ini sangat digalakkan oleh Islam dan selalu diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Solat Sunat Rawatib berfungsi sebagai pelengkap bagi menampung apa-apa kekurangan ataupun cela yang berlaku dalam mengerjakan solat-solat fardhu. Solat sunat rawatib umpama dinding yang melengkapi rumah yang telah dibina tiangnya. Solat sunat rawatib lebih afdal dilaksanakan di rumah. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan mengenai kelebihan Sunat Rawatib. Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam sahihnya kitab al jumu’ah no.1180 yang bermaksud:

Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi Muhammad s.a.w tentang 10 rakaat (solat sunat) iaitu 2 rakaan sebelum solat zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat selepas solat maghrib di rumahnya, 2 rakaat selepas solat isyak di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat subuh

Hadis Abdullah bin Mughaffal bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

Antara tiap-tiap dua azan ada solat (Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan Ashabus Sunan)

Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka. (Hadis riwayat Abu Daud & Tirmidzi)

Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka (Hadis riwayat At-Tabrani)

Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi r.a.)

Solat sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua bahagian :

  • Sunat Rawatib yang “Muakkad” (solat sunat yang yang amat dituntut dan digalakkan)
  • Sunat Rawatib yang “Ghaira Muakkad” (solat sunat yang kurang dianjurkan untuk dilaksanakan, kerana Nabi Muhammad saw tidak selalu melaksanakannya)

Senarai Solat Sunat Rawatib yang Mu’akkad

  • Solat 2 rakaat sebelum solat fardhu Subuh
  • Solat 2 rakaat sebelum solat fardhu Zuhur atau Jumaat
  • Solat 2 rakaat selepas solat fardhu Zuhur atau Jumaat
  • Solat 2 rakaat selepas solat fardhu Maghrib
  • Solat 2 rakaat selepas solat fardhu Isyak

Di samping itu Sunat Rawatib juga terbahagi kepada 2 kategori :

  • Qabliyyah (solat sunat yang dikerjakan sebelum solat fardhu)
  • Ba’diyyah (solat sunat yang dikerjakan selepas solat fardhu)

Panduan solat rawatib

Cara Mengerjakan Solat Sunat Rawatib

1. Cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib ini sama seperti dengan cara mengerjakan solat Subuh, hanya niatnya yang berbeza. Kebiasaannya Solat Sunat Rawatib ini didirikan dalam dua rakaat dengan satu salam. Sekiranya ingin mengerjakan solat sunat Rawatib 4 rakaat, maka solat itu didirikan dengan 2 kali salam. Sembahyang sunat rawatib juga mesti dilakukan di dalam waktunya. Jika berjemaah di masjid, sunat qabliyyah dilakukan selepas azan dan sebelum iqamat. Adalah elok untuk melakukan sunat qabliyyah sebelum masuk ke saf sembahyang kita. Setelah selesai berjemaah, berganjaklah dari tempat kita duduk untuk melakukan sunat ba’diyah pula. Jika sembahyang bersendirian di rumah tidaklah perlu bertukar tempat. Boleh juga menjarakkan sembahyang sunat ba’diyah dari sembahyang fardunya (jika sudah terbatal wuduk) selagi belum habis waktunya.

2. Cara Niat Solat Sunat Rawatib:

  • Solat Sunat Rawatib Qabliyyah (sebelum)

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ قَبْلِيَةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja aku menunaikan solat sunat sebelum (Zuhur /Asar/Isyak/Subuh) dua rakaat, kerana Allah Ta’ala

  • Solat Sunat Rawatib Ba’diyyah (selepas)

أصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْرِ / المَغْرِبِ / العِشَاءِ بَعْدِيَّةً رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ

Sahaja aku menunaikan solat sunat selepas (Zuhur/Maghrib/Isyak) dua rakaat, kerana Allah Ta’ala

3. Antara surah-surah yang dianjurkan ulama selepas bacaan al-Fatihah ialah:

  • Rakaat 1: Surah al-Kafirun
  • Rakaat 2: Surah al-Ikhlas

Catatan:

  1. Semasa melakukan takbiratul ihram, wajib diniatkan sama ada solat itu Qabliyyah atau Ba’diyyah
  2. Solat sunat sebelum fardhu Subuh dan sebelum fardhu Asar tidak perlu diniatkan Qabliyyah
  3. Solat-solat sunat Rawatib ini tidak dituntut berjamaah
  4. Solat-solat sunat Rawatib lebih utama dikerjakan di rumah
  5. Jika solat lebih 2 rakaat, lakukan tiap-tiap 2 rakaat dengan satu salam

Solat sunat rawatib ini boleh sahaja dilakukan samada berdiri atau duduk. Kerana ada kelonggaran bagi solat selain solat fardhu untuk mendirikannya secara duduk. Namun tidaklah sama pahalanya dengan orang yang solat secara berdiri. Rasulullah menjelaskan, pahala bagi orang yang solat duduk itu separuh daripada orang yang solat berdiri. Adalah makruh untuk mendirikan solat sunat rawatib ini jika muazzin (bilal) sudah qamat atau bersedia untuk qamat. Haram mendirikannya jika kita sudah kesempitan waktu untuk melakukan solat fardhu sekiranya tidak mendapat satu rakaat dalam waktu.

Qada Solat Sunat Rawatib

Nabi Muhammad s.a.w sangat mementingkan dan menjaga solat-solat sunat, terutama yang mu’akkad. Rasulullah s.a.w bersabda:

Dua rakaat sunat Subuh, lebih aku sukai daripada seisi dunia (Hadis riwayat Muslim)

Masuknya waktu solat sunat qabliyyah adalah ketika masuknya waktu solat tersebut dan ianya berakhir setelah masuknya waktu solat selepasnya. Apabila Rasulullah s.a.w tidak dapat melakukan pada waktunya, Baginda s.a.w pasti akan mengqadakan solat tersebut pada waktu berikutnya. Daripada Aisyah r.a.:

Bahawa jika Rasulullah s.a.w tertinggal solat empat rakaat sebelum Zuhur, maka Baginda s.a.w melakukannya selepas Zuhur (Hadis riwayat Turmizi r.a.)

Semoga panduan ini dapat membantu anda untuk memahami tentang apa itu Solat Sunat Rawatib, moga-moga kita menjadi hamba-Nya yang terbaik, InsyaAllah.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

2 comments

  1. Nur Haslinda Hazarudin

    Thanks a lot diatas rujukan yg disediakan oleh anda..
    Saya amat menghargainya ..

    #alhamdulillah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: