Maksud Sujud Sahwi
Sahwi adalah perkataan Arab yang bermaksud lupa. Sujud sahwi pula merupakan dua sujud yang dilakukan oleh orang yang solat untuk menggantikan kesalahan yang terjadi di dalam solatnya kerana lupa.
Hadis yang berkenaan dengan sujud sahwi di antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Apabila salah seorang di antara kalian ragu di dalam solatnya sehingga ia tak tahu lagi apakah ia sudah melakukan solat sebanyak tiga rakaat atau empat rakaat, hendaklah dibuangnya keraguan itu dan yang ia yakini, kemudian hendaknya ia sujud sebanyak dua kali sebelum melakukan salam. Sekiranya ia telah melakukan solat 5 Rakaat, bererti solatnya telah digenapkan dengan sujud sahwinya itu. Dan sekiranya ia solat tepat empat rakaat, dua sujud itu menghinakan bagi syaitan.”
(HR. Ahmad dan Muslim)
Diriwayatkan pula dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,
“Sesungguhnya syaitan itu masuk di antara anak Adam dan nafsunya, sehingga ia tidak tahu sudah berapa rakaat ia melakukan solat. Maka bila seorang di antara kalian mengalami hal demikian, hendaklah ia sujud dua kali sebelum memberi salam.”
(HR. Abu Ahmad dan Ibnu Majah)
Sebab Sujud Sahwi
Sebab-sebab diharuskan untuk seseorang melakukan sujud sahwi terbahagi kepada tiga iaitu:
- Untuk menambahkan sesuatu (az-ziyaadah)
- Untuk menghilangkan sesuatu (an-naqsh)
- Dalam keadaan ragu-garu (asy-syak)
Berikut adalah petikan hadis daripada al-Mughirah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud Sahwi)”
(HR Ahmad)
Cara Melakukan Sujud Sahwi
1) Niat
Lakukan niat sujud sahwi terlebih dahulu pada penghujung rakaat terakhir iaitu sesudah tahiyat akhir dan sebelum salam. Jika kita sudah berniat mahu melakukan sujud sahwi, maka posisi duduk tahiyat akhir seeloknya dalam keadaan duduk antara dua sujud.
2) Sujud
Cara Bacaan Sujud Sahwi. Baca 3X bacaan sujud sahwi ketika sujud seperti di bawah:
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Bacaan Sujud Sahwi Dalam Rumi
Subhana Mal Laa Yanaamu Walaa Yashuu
Maksudnya
Maha suci Allah, zat yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa
3) Duduk Antara 2 Sujud
Selepas sujud dan membaca bacaan sujud sahwi, bangun dari sujud dan duduk dalam posisi di antara dua sujud, sama dalam solat yang biasa. Bacaan semasa duduk di antara dua sujud juga adalah sama.
4) Sujud Sekali Lagi
Sesudah itu lakukan sujud sahwi sekali lagi dengan membaca bacaan sujud sahwi sebanyak tiga kali. Kemudian duduk dalam keadaan tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa (tak perlu mengulang bacaan tahiyat akhir sekali lagi).
Video Cara Sujud Sahwi (Ustaz Azhar Idrus)
Hukum sujud sahwi adalah sunat. Ini bermakna, tidaklah batal solat seseorang jika tidak dilakukan.