Assalamualaikum. Selamat pagi buat para pembaca sekalian. Salam Sayyidul Ayyam. Alhamdulillah kita masih bernafas di bumi Allah pada hari Jumaat yang mulia ini. Sempena hari Jumaat ini, ingin saya terangkan apakah yang dimaksudkan dengan Sayyidul Ayyam dan apakah pula kelebihan hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain.
Salam Sayyidul Ayyam
Kenapa digelar Sayyidul Ayyam? Ini kerana hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Ucapan “Salam Sayyidul Ayyam” hanya diucapkan pada hari Jumaat sahaja. Ia membawa maksud “Salam Penghulu Segala Hari!”.
Pada hari Jumaat juga adanya Solat Jumaat yang tidak ada pada hari lain. Pada hari inilah umat Islam berkumpul dan bertanya khabar sesama saudara yang lain.
Kelebihan Hari Jumaat
Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah SAW iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Aidiladha dan hari raya Fitrah, pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda diturunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jumaat juga akan terjadinya hari Kiamat”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.”
(Hadis Riwayat Hakim)
Daripada Umar berkata: Nabi SAW telah bersabda:
”Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat.”
(Hadis Riwayat Ibnu Katsir)
Rasulullah SAW bersabda:
“Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah SWT akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ”
(Hadis Riwayat Al Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah SAW menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)”
(Hadis Riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”
(Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW bersabda:
“Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur)”
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Rasulullah SAW bersabda:
“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan, semuanya adalah penghapus dosa-dosa di antara kedua-duanya selagi mana dijauhi dosa-dosa besar”
(Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya begitu banyak sekali kelebihan dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita pada hari Jumaat. Semoga ia menjadi panduan untuk kita terus meningkatkan ibadah sebelum kita pergi mengadap-Nya suatu hari nanti.
Content kat sini sangatlah bagus. Tapi iklan kat bawah gambar2nya tu mashaAllah mmg meruntuhkan iman. Tu je nak tegur sket. Heheh
Maaf tuan, iklan di bawah adalah automatik dan di luar kawalan kami. Tapi Insyaallah kami akan cuba cari jalan penyelesaiannya. Terima kasih atas teguran.