Langgan newsletter kami!
Gambar Anak Berpuasa

Hukum Puasa Sunat Jumaat Sahaja – Adakah Perlu Diiringi Puasa Khamis Atau Sabtu?

Memandangkan Ramadhan sudah berakhir, pasti ramai di antara kita yang ingin berpuasa sunat iaitu puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Ada juga yang ingin puasa ganti ataupun qada’. Namun, tahukah anda apakah hukumnya jika kita ingin berpuasa sunat pada hari Jumaat? Atau sabtu?

Ada yang menyatakan bahawa jika berpuasa pada hari Jumaat mesti disertakan dengan hari Sabtu atau sebelumnya iaitu hari Khamis. Ada yang kata tidak boleh berpuasa pada hari Jumaat. Ada pula yang kata tidak boleh puasa pada hari Sabtu sahaja. Mari kita teliti permasalahan ini.

Hukum Puasa Sunat di Hari Jumaat

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW berkata yang bermaksud:

“Jangan kamu khaskan malam Jumaat dengan solat yang berbeza daripada malam-malam yang lain dan jangan kamu khaskan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza daripada hari yang lain kecuali jika ia jatuh pada hari yang seseorang kamu berpuasa padanya.”
(Riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bemaksud:

“Janganlah seseorang kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali dengan berpuasa sehari sebelum atau sehari selepasnya.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)

Daripada Abdullah bin Amru, Nabi Muhammad SAW pergi ke rumah Juwairiyah binti Al-Harith dan mendapati dia berpuasa pada Jumaat. Maka Baginda SAW bertanya:

“Adakah engkau berpuasa semalam?” Jawabnya: Tidak.
Baginda SAW bertanya lagi: “Adakah engkau mahu berpuasa esok?” Jawabnya: Tidak.
Baginda SAW pun berkata, “Kalau begitu berbukalah.”
(Riwayat Bukhari)

Al-Nawawi di dalam Minhaj al-Thalibin berkata:

“Dimakruhkan berpuasa hari Jumaat secara bersendirian, dan pada hari Sabtu.”
(Bihamisy Mughnil Muhtaj, vol.1, hal. 447)

Kesimpulan

Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa adalah makruh jika berpuasa yang bukan wajib pada hari Jumaat sahaja atau Sabtu sahaja atau Ahad sahaja. Tidak menjadi makruh jika didahului atau disambung dengan hari yang dahulu atau berikutnya.

Ia juga tidak makruh jika hari Jumaat atau Sabtu atau Ahad itu terjatuh pada hari yang ia biasa berpuasa umpamanya ia berpuas berbilang-bilang sehari puasa dan sehari berbuka (seperti puasa Nabi Daud A.S).

Demikian juga kalau hari-hari tersebut jatuh pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti Hari Arafah, hari yang ke sembilan Muharam dan hari yang kesepuluhnya (Asyura).

Sumber Rujukan: JAKIM dan Jabatan Mufti Perak dan Mughnil Muhtaj, vol. 1

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: