Langgan newsletter kami!

Filem Qifarah (2025)

Dunia perfileman tempatan bakal digegarkan dengan sebuah karya seram yang cukup dinantikan. Pengarah prolifik Ghaz Abu Bakar kembali dengan sebuah filem terbaru berjudul Qifarah, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Oktober 2025.

Filem ini bukan sekadar membawa elemen seram biasa, sebaliknya menggali sisi mistik, dendam silam, serta warisan ilmu hitam yang menghantui sebuah keluarga. Lebih menarik, barisan pelakon hebat tanah air dipertemukan dalam sebuah naskhah penuh emosi, konflik, dan ketegangan. Antara yang membintangi Qifarah ialah Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Rita Nadira, Liyana Jasmay, Vanida Imran, Namron, dan Esma Daniel.


Info Filem Qifarah

  • Tajuk: Qifarah
  • Tarikh Tayangan: 9 Oktober 2025
  • Pengarah: Ghaz Abu Bakar
  • Penulis Skrip: Ghaz Abu Bakar, Hadi M. Nor, Priya Narayanan
  • Produksi: Skop Productions Sdn Bhd

Barisan Pelakon & Watak

  • Remy Ishak sebagai Yusof
  • Sharifah Sakinah sebagai Mawar
  • Rita Nadira sebagai Marissa
  • Liyana Jasmay sebagai Eykha
  • Namron sebagai Pak Mat
  • Vanida Imran sebagai Nur
  • Esma Daniel sebagai Ghazali
  • Rafique Iskandar sebagai Mikhael
Artikel berkaitan:  Senarai Program TV dan Drama Sempena Ramadan 2020

Sinopsis Qifarah

Filem ini mengisahkan tentang Yusof (Remy Ishak), seorang lelaki yang cuba menjauhkan diri daripada legasi ilmu hitam keluarganya. Namun, panggilan telefon yang mengejutkan tentang ayahnya, Ghazali (Esma Daniel) yang sedang tenat, memaksa Yusof kembali dari Cairo ke tanah air.

Kepulangan itu membuka semula luka lama – rahsia gelap, dendam silam, serta bayangan mistik yang cuba dikuburkan bertahun-tahun akhirnya kembali menghantui hidupnya. Yusof bukan sahaja perlu berdepan dengan misteri keluarga, malah terjebak dalam dunia hitam yang diwariskan kepadanya tanpa rela.

Adakah kepulangan Yusof mampu menamatkan sumpahan yang membelit keluarganya, atau sekadar menyeretnya lebih jauh ke lembah kegelapan?


Sharifah Sakinah Cabar Diri Baca Mantera Thai

Salah satu momen paling hangat diperkatakan mengenai filem ini adalah keberanian Sharifah Sakinah melakonkan watak ibu tiri misteri bernama Mawar. Walaupun wataknya digambarkan sudah berusia, Mawar kekal anggun dan penuh rahsia, menjadikan karakter ini antara yang paling menonjol dalam Qifarah.

Apa yang lebih mencabar, Sakinah mendedahkan bahawa dia perlu membaca mantera mistik dalam bahasa Thailand untuk sebuah babak penting.

“Pada awalnya saya menolak kerana bimbang ia menyeru perkara tidak sepatutnya. Tetapi setelah berbincang dengan pengarah, saya akhirnya bersetuju kerana ia sangat penting untuk kesempurnaan jalan cerita,” jelas Sakinah.

Menurutnya lagi, pihak produksi telah mendapatkan mantera tersebut daripada sumber tertentu, namun beliau mengambil pendekatan berhati-hati agar tidak tersalah langkah.

“Sebagai pelakon, saya perlu merasai sendiri apa yang dilakonkan, walaupun tidak tahu sejauh mana kesahihan mantera itu. Alhamdulillah, sepanjang penggambaran, saya tidak berdepan sebarang gangguan mistik,” katanya lagi.


Filem Seram Dengan Sentuhan Berbeza

Qifarah dijangka menjadi antara filem seram tempatan yang menonjol pada tahun 2025 kerana menggabungkan elemen mistik, keluarga, dan dendam dengan lakonan mantap barisan pelakon berpengalaman.

Artikel berkaitan:  Senarai Filem Melayu Oktober-Disember 2019

Selain jalan cerita yang mendebarkan, sentuhan pengarahan Ghaz Abu Bakar yang terkenal dengan visual sinematik dan olahan jalan cerita penuh kejutan pasti membuatkan penonton terpaku hingga ke akhir.

Dengan gabungan skrip kukuh, pengarah berpengalaman, serta barisan pelakon berbakat besar, Qifarah dilihat berpotensi menjadi antara filem seram tempatan paling diingati. Bagi peminat karya seram penuh mistik, 9 Oktober 2025 adalah tarikh yang wajib ditandakan dalam kalendar.

Adakah Qifarah sekadar sebuah kisah seram, atau sebuah peringatan tentang qifarah – balasan di dunia terhadap dosa dan kesilapan manusia? Sama-sama nantikan jawapannya di pawagam.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *