Menghasilkan sebuah filem berlatarkan seni tradisi Mak Yong bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi apabila ia digarap berasaskan kisah benar pada era sebelum kemerdekaan di Kelantan. Risiko besar itulah yang diambil oleh pengarah dan pelakon veteran terkenal, Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar, menerusi karya terbarunya berjudul Denu.
Seperti yang diketahui umum, Mak Yong merupakan salah satu seni warisan budaya Kelantan yang kaya dengan nilai estetika, namun persembahannya pernah diharamkan oleh kerajaan negeri kerana dianggap tidak selari dengan peraturan agama. Justeru, apabila Ahmad Tarmimi tampil dengan filem yang mengangkat budaya Mak Yong serta menyelitkan elemen politik pada zaman pra-kemerdekaan, tidak mustahil Denu bakal mencetuskan perbincangan hangat.
“Filem ini bukanlah memaparkan kisah sebenar sepenuhnya, tetapi hanyalah adaptasi. Budaya Mak Yong kita ambil sebagai latar penceritaan sahaja. Kita ceritakan mengenai budaya Mak Yong yang ketika itu digunakan sebagai saluran menyampaikan mesej mengenai kemerdekaan dan apa peranan kerajaan.”
– Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar
Info Filem Denu
Denu ialah sebuah filem drama yang membawa penonton menyelami kisah seni Mak Yong pada era pra-merdeka tahun 1955. Ia bukan sekadar mengangkat seni tradisi, tetapi turut menyentuh konflik jiwa, cinta, perjuangan dan pengorbanan insan yang hidup dalam masyarakat ketika itu.
- Genre: Drama
- Tarikh Tayangan: 21 Ogos 2025
- Pengarah: Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar
- Penulis Skrip: Nassarudin Ab Rasif
- Produksi: True Legacy Sdn Bhd
Barisan Pelakon
Filem Denu membariskan pelakon hebat tanah air, antaranya:
- Sabri Yunus sebagai Pok Yeh
- Nad Zainal sebagai Asmah
- Hairi Safwan sebagai Amiruddin
- Iman Al Haixal sebagai Meli
- Ima Aleyqa Asri sebagai Khatijah
- Azman Hassan sebagai Pok Do
- Shah Kimin sebagai Jali
- Kamarulzaman Taib sebagai Datuk Nik
Sinopsis Filem Denu
Kisah Denu berpusat pada watak Pak Yeh, seorang penggiat seni yang mahu mengekalkan keaslian Mak Yong. Namun, beliau berdepan cabaran daripada Amiruddin, seorang anak muda yang berpendapat seni Mak Yong perlu berevolusi agar kekal relevan dengan zaman.
Dalam masa yang sama, Pak Yeh turut berdepan tekanan daripada Datuk Nik, tokoh berpengaruh yang mahu seni Mak Yong dijadikan medium untuk menggerakkan semangat kemerdekaan. Konflik semakin rumit apabila hadir Asmah, isteri Pak Yeh, yang bercita-cita menjadi primadona Mak Yong. Kehadiran Amiruddin dalam hidup mereka menimbulkan pergolakan emosi yang mencalar hubungan rumah tangga dan jiwa seni Pak Yeh.
Asmah mula merasakan sokongan Amiruddin membantunya bersinar di pentas Mak Yong, manakala Ramli – seorang anak muda berjiwa besar – melihat dari sisi pahitnya kekecewaan dan perjuangan. Semua watak bertemu di Kota Bharu dalam sebuah persembahan Mak Yong yang menjadi titik klimaks kepada kisah penuh konflik ini.
Denu tidak hanya mengisahkan tentang seni, tetapi juga mengenai kasih sayang, kesetiaan, pengorbanan, pengkhianatan, perjuangan dan impian. Ia menggambarkan bahawa dalam keindahan seni, terselit juga kepahitan hidup yang perlu diharungi.
Denu Naskah Berani
Filem Denu hadir sebagai sebuah naskhah berani yang menggabungkan budaya, sejarah, seni dan politik dalam satu jalan cerita. Dengan sentuhan seni arahan Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar serta lakonan mantap daripada barisan pelakon ternama, filem ini dijangka mampu membuka ruang wacana baharu mengenai warisan Mak Yong dan pengaruhnya pada zaman pra-kemerdekaan.
Bakal ditayangkan di pawagam mulai 21 Ogos 2025, Denu pastinya antara karya yang wajib ditonton oleh pencinta seni dan sejarah tanah air.
View this post on Instagram