Bahagia sungguh melihat pasangan suami isteri Fila Amir dan Adama Camara menjalani kehidupan berumah tangga. Kisah cinta mereka bukan sekadar menarik perhatian, tetapi juga mencuri hati ramai warganet sejak foto perkahwinan mereka tular di media sosial beberapa tahun lalu.
Fila, atau nama sebenarnya Nur Afilah Amir Rusdi, yang ketika itu berumur 25 tahun, membuat keputusan berani apabila memilih untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka asal Afrika, Guinea, yang berusia 27 tahun.
Cinta Lawan Persepsi Negatif
Bukan rahsia bahawa lelaki Afrika sering kali berdepan dengan stigma dan pandangan serong dalam masyarakat tempatan. Ramai yang mengaitkan mereka dengan pelbagai tanggapan negatif dan kisah penipuan cinta. Namun bagi Fila, rezekinya bertemu lelaki sebaik Adama membuktikan bahawa cinta sejati melangkaui warna kulit dan sempadan budaya.
Video kehidupan seharian pasangan ini yang sering dikongsikan di YouTube dan media sosial membuktikan keharmonian serta rasa hormat mereka antara satu sama lain. Ramai penonton yang akhirnya terinspirasi dengan kasih sayang dan keikhlasan pasangan ini, sekali gus menepis persepsi buruk yang sering dilemparkan terhadap hubungan antara bangsa.
“Jika kita tahu menghargai diri dan bijak mengawal minda, kita takkan mudah terpengaruh dengan pandangan orang atau biarkan mereka ambil kesempatan terhadap kita.
Saya lebih suka observe daripada terus menilai. Awal perkenalan dulu, saya perhatikan setiap tingkah laku, percakapan dan perbuatan suami. Dari situ saya belajar memahami dia,” kata Fila.
Menurutnya lagi, hubungan mereka direstui keluarga sejak awal kerana Fila memilih untuk berterus terang dengan ibunya sebaik sahaja perasaan itu hadir.
Tak Kekok Dengan Adat Melayu
Menariknya, Adama bukanlah asing dengan budaya tempatan. Setelah hampir tujuh tahun menetap di Malaysia, dia sudah terbiasa dengan cara hidup masyarakat Melayu dan Islam.
“Dia dah lama duduk di Malaysia dan berjiran dengan ramai orang Melayu, jadi dia dah biasa dengan adat kita.
Kalau ada perkara yang dia tak faham, saya akan terangkan dan dia cepat belajar. Yang saya suka, budaya di Guinea pun sebenarnya sangat mirip dengan kita — mereka juga pentingkan nilai kekeluargaan dan ziarah saudara,” jelas Fila.
Menurutnya, masyarakat Guinea juga majoritinya beragama Islam, menjadikan proses penyesuaian antara mereka lebih mudah dan harmoni.
Sama-Sama Berpendidikan & Berwawasan
Pasangan ini bukan hanya serasi dari segi emosi, tetapi juga dari segi pendidikan dan pemikiran keusahawanan.
Fila merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, manakala Adama pula memiliki Ijazah Sarjana (Master’s Degree) dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Kedua-duanya kini bergiat aktif dalam dunia perniagaan dengan mengusahakan kedai perabot milik sendiri yang semakin berkembang pesat.
“Sebelum kami ceburi bidang ini, kami banyak berbincang tentang potensi dan risiko. Kami nampak permintaan tinggi untuk perabot hotel, jadi kami fokus di situ.
Syukur, dalam tempoh kurang tiga bulan, kami dah berjaya dapat pulangan berkali ganda daripada modal asal,” kongsinya gembira.
Impian Besar Buka Cawangan Seluruh Negara
Dengan permintaan tinggi dari seluruh Malaysia — termasuk pelanggan dari Kedah, Pulau Pinang, Seremban dan Johor — pasangan ini kini berhasrat untuk membuka cawangan di setiap negeri bagi memudahkan urusan penghantaran dan pelanggan.
“Insya-Allah, dalam masa lima tahun akan datang, kami mahu fokus menjadi pembekal utama pula.
Kami percaya rezeki datang daripada usaha dan kejujuran. Semoga kami terus diberi peluang untuk maju bersama,” ujar Fila penuh semangat.
Cinta, Usaha dan Keberkatan
Kisah Fila dan Adama menjadi inspirasi kepada ramai kerana ia bukan sekadar kisah cinta dua insan berbeza bangsa, tetapi kisah tentang kepercayaan, kesetiaan dan perjuangan bersama membina kehidupan.
Pasangan ini membuktikan bahawa apabila cinta disertai dengan keikhlasan dan usaha, ia mampu menewaskan segala pandangan sinis serta menjadi bukti bahawa “cinta tidak mengenal warna kulit mahupun sempadan negara.”