Rambut adalah mahkota kepada semua orang sama ada lelaki mahupun wanita. Fesyen rambut lelaki kini mengalami perubahan drastik daripada gaya yang mudah kepada semakin rumit dan tapi bergaya. Fesyen potongan rambut lelaki terkini ialah gaya pompadour. Gaya potongan rambut seperti ini menjadi kegilaan terutama di kalangan remaja lelaki dan selebriti popular walaupun pada waktu dulu, gaya potongan seperti ini menjadi bahan ejekan.
Gaya potongan rambut ala Elvis Presly ini semakin digemari malahan ramai remaja tidak segan silu berhabis duit demi mendapatkan potongan yang dikehendaki. Kini mereka semakin memerhatikan gaya rambut mereka. Ada kemungkinan juga mereka terpengaruh dengan gaya potongan rambut pemain bolasepak popular seperti Cristiano Ronaldo dan David Beckham.
Artis Malaysia juga tidak kurang menggayakan rambut ala pompadour ini. Ia mula dipopularkan oleh Wak Doyok iaitu ikon fesyen terkenal Malaysia.
Gaya rambut ini jelas menunjukkan gaya lelaki sejati. Tambahan lagi ia digayakan dengan menggunakan Pomade, produk dandanan rambut yang diilhamkan sendiri oleh Wak Doyok.
Sejarah Gaya Rambut Pompadour
Sebenarnya sejarah gaya rambut pompadour ini bermula sejak zaman dahulu lagi. Ia bukan potongan rambut yang baharu di zaman moden. Nama pompadour itu sendiri berasal daripada seorang personaliti abad ke-18! Gaya rambut yang anda banggakan sekarang ini dipelopor oleh Madame de Pompadour yang hidup pada tahun 1721 – 1764.
Istilah pompadour sendiri merupakan singkatan dari Arnac-Pompadour, suatu komuniti di kawasan Correze, Perancis. Jasa besar yang dilakukan oleh wanita tersebut lalu diangkat dan diiktiraf menjadi orang kenamaan oleh pemerintah. Dengan kedudukan dan popularitinya, dia dianugerahi dengan gelaran Madame de Pompadour. Sebagai ikon dan orang kerajaan, dandan rambutnya yang tinggi, dengan berbagai variasi dengan ditiru di kalangan wanita aristokrat. Pompadour zaman dahulu menggunakan berbagai wire frame untuk menahan gaya rambut mereka agar tidak rebah dan sentiasa kelihatan anggun.
Berkembang seiring peredaran masa gaya rambut tersebut menjadi ikutan wanita Eropah seluruh dunia. Fesyen rambut tersebut mula diikuti oleh rakyat jelata dengan meluas. Sehinggalah menjelang abad ke-20 pompadour klasik menjadi lebih biasa serta bervariasi. The Gibson Girl mempopularkan model rambut ini dalam kalangan masyarakat menengah. Pada tahun 1925, perusahaan berkaitan kemasan rambut dan hiasan lelaki seperti Murray’s dan Royal Crown mulai beroperasi sehingga meluaskan pintu bagi kaum lelaki untuk meniru gaya pompadour.
Pada tahun 1950-an bintang rock seperti Elvis Prasley dan Little Richard serta pelakon terkenal seperti James Dean, Marlon Brando dan John Travolta semakin berani dengan gaya rambut pompadour dan menjadi ikutan remaja lelaki Amerika. Sempat menghilang pada tahun 1970-an, pompadour kembali bangkit akhir-akhir ini oleh artis-artis seperti Pink, Miley Cyrus, Alicia Keys, Bruno Mars, David Beckham, Alex Turner dan Justin Bieber dengan berbagai gaya. Sebut saja slickback pomp, undercut pomp, ducktail, quiff dan sebagainya, kini jenama zaman wanita bangsawan abad ke-18 itu kembali lagi.
Gaya Rambut Lambang Personaliti
Gaya rambut pompadour memang kemas dan mempunyai nilai sejarah yang kukuh hampir 300 tahun. Semua orang boleh menggayakan rambut mereka menurut kemahuan dan cita rasa masing-masing. Masyarakat pula berhak menilai dengan gaya rambut yang anda pilih melambangkan jati diri anda dan personaliti anda. Bagi saya, pompadour mencerminkan kerapian, konsistensi, kedewasaan dan sikap menghargai orang lain. Selagi ia tidak menyalahi tata hukum adat dan agama.
Secara keseluruhannya, gaya rambut pompadour memang menarik, kemas, bergaya dan mudah disesuaikan dengan jiwa pantas dan ringkas remaja terkini. Namun apa yang perlu diberi perhatian agar para remaja perlu melihat etika berdandan rambut yang sesuai dengan adab dan agama. Jangan sampai gaya rambut yang anda pilih menyebabkan anda menanggung dosa. Ada gaya rambut yang ditegah dalam agama.
Remaja yang macho adalah remaja beriman.
NOTA: Antara gaya rambut lelaki terkini: Pompadour, Undercut, Mohawk, Fade, Man Bun, Top Knot, Swoop dan Bed-head