Drama bersiri terbaharu berjudul Seoul Cinta bakal menghiasi slot Lestary TV3 dan dijangka menjadi tumpuan peminat drama tempatan pada tahun 2025. Diterbitkan oleh Country & Universal Sdn Bhd di bawah arahan pengarah prolifik Nizam Zakaria, drama ini menampilkan barisan pelakon muda dan berbakat seperti Fitri Farok, Siti Khadijah Halim, Muaz Zabir serta pendatang baharu yang semakin meningkat naik, Cahaya Nilam.
Maklumat Drama Seoul Cinta
- Tajuk: Seoul Cinta
- Episod: 13
- Tarikh Tayangan: Akhir Tahun 2025
- Waktu Siaran: Jumaat & Sabtu, jam 9.00 malam
- Rangkaian: Slot Lestary TV3 / Tonton
- Penulis Skrip: Raja Azidah Raja Jaafar
- Pengarah: Nizam Zakaria
- Produksi: Country & Universal Sdn Bhd
Barisan Pelakon & Watak
Drama Seoul Cinta turut memperlihatkan gandingan pelakon baharu dan lama dalam menghidupkan jalan cerita yang sarat dengan emosi dan konflik.
- Fitri Farok sebagai Daniel Khalil
- Siti Khadijah Halim sebagai Azra Sofea
- Muaz Zabir sebagai Lukman
- Cahaya Nilam sebagai Raisha
- Haidar Hasanudin sebagai Joe
- Nadia Kesumawati sebagai Fatimah
- Marc Syahmie sebagai Adam
- Anne Abdullah
- Zarina Zainuddin
- Ryliana Azizan
- Musyi Mohtar
Lagu Tema (OST)
Drama ini turut diserikan dengan lagu tema berjudul “Masih Cinta”, yang dijangka memberi impak emosi mendalam dan selari dengan jalan cerita penuh romantik.
Sinopsis Drama Seoul Cinta
Daniel Khalil (Fitri Farok) seorang usahawan muda yang tampan, berkarisma dan berprinsip tinggi soal cinta. Di sebalik kejayaannya, Daniel berpegang pada impian untuk mencari pasangan sempurna yang sepadan dengan dirinya. Dalam diam, dia menjadi pengikut setia seorang pempengaruh masakan terkenal bernama Kiki, tanpa menyedari bahawa wanita yang sering menginspirasikannya itu sebenarnya adalah Azra.
Azra (Siti Khadijah Halim), gadis sederhana yang bekerja di sebuah hotel kucing dan juga penjaga kepada kucing kesayangannya. Azra menyembunyikan identitinya sebagai Kiki kerana kurang yakin dengan dirinya sendiri dan takut dianggap tidak cukup sempurna untuk lelaki seperti Daniel.
Namun, ujian sebenar bermula apabila Daniel menjalinkan hubungan bersama Raisha (Cahaya Nilam), seorang selebriti glamor yang penuh dengan sikap diva, sementara Azra ditekan untuk menerima pinangan Lukman (Muaz Zabir), lelaki yang telah lama menyimpan perasaan terhadapnya. Pergolakan hati, rahsia yang tersimpan dan perjalanan mereka ke Seoul membuka lembaran baharu yang penuh liku dan emosi.
Adakah Daniel mampu melihat cinta sejati yang selama ini berada di hadapan matanya, atau dia akan terus terperangkap dalam ilusi kesempurnaan yang diciptanya sendiri?
Cahaya Nilam Sebagai Raisha Dalam Seoul Cinta
Salah satu tarikan utama drama ini adalah kehadiran pelakon baharu Cahaya Nilam yang membawakan watak Raisha, seorang selebriti glamor yang dilihat ‘classy’ dan penuh gaya di mata umum.
Namun, di sebalik dunia mewah dan sorotan kamera, Raisha menyimpan sisi kehidupan yang penuh kesunyian dan tekanan.
“Raisha adalah jenis wanita yang akan kejar apa saja yang dia mahukan. Tapi hakikatnya, dia sangat lonely. Ayah dia seorang ahli perniagaan yang pentingkan nama dan reputasi, sampai sanggup ‘jual’ anak sendiri demi kepentingan peribadi,” jelas Cahaya Nilam.
Cabaran Membawa Watak Raisha
Mengulas mengenai cabaran dalam menjayakan watak ini, Cahaya mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, terutamanya untuk mengekalkan personaliti Raisha dari awal hingga akhir drama.
“Cabaran paling besar? Nak kekalkan posture Raisha dari awal sampai habis!,” katanya berseloroh.
Harapan Buat Penonton
Bagi Cahaya Nilam, drama Seoul Cinta bukan sekadar sebuah kisah cinta biasa. Ia membawa mesej yang lebih mendalam tentang perasaan, pilihan hidup dan harapan.
“Saya harap Seoul Cinta akan sampai ke hati penonton. Jalan ceritanya sangat jujur, tentang cinta dan harapan. Saya juga harap penonton boleh tengok diri mereka dalam watak-watak yang ada, dan mungkin… mereka akan sayang watak saya, walaupun Raisha ni diva dan kadang-kadang annoying,” katanya sambil tersenyum.
Penutup
Drama Seoul Cinta dijangka mencetus fenomena baharu di slot Lestary TV3 dengan gabungan cerita penuh emosi, barisan pelakon berbakat serta sentuhan pengarah berpengalaman. Dengan tema cinta dan harapan yang universal, drama ini pasti akan menjadi salah satu tontonan wajib peminat drama Melayu pada tahun 2025.
Azhan.co Info Semasa, Tepat & Boleh Dipercayai
