Sebuah drama Melayu hasil adaptasi novel ‘Romantika 4 Hari 3 Malam‘ karya Wizana Emilia akan ditayangkan melalui Slot Lestary TV3. Namun begitu tarikh tayangan sebenar masih belum dimuktamadkan lagi. Drama bersiri 13 episod ini menampilkan Sean Lee dan Amelia Henderson sebagai teraju utama. Ia diarahkan oleh Nizam Zakaria dan diterbitkan oleh Wiranusa Corporation.
Info Drama Bersiri
- Episod: 13 episod
- Tarikh Tayangan: Belum dimuktamadkan
- Waktu Siaran: Rabu – Jumaat, 9.00 – 10.00 malam
- Stesen TV: TV3 (Slot Lestary)
- Penulis Skrip: Wizana Emilia
- Pengarah: Nizam Zakaria
- Produksi: Wiranusa Corporation Sdn Bhd
- Senarai Pelakon: Amelia Henderson, Sean Lee, Syafi Tee, Oshin Ahmad, Nynaa Harizal, Wafariena, Daniesh Suffian, Dottie, Zila Bakarin, Izzendra, Jesse Lim, Aida Aris, Lisdawati, Sahronizam Noor
Watak Pelakon
- Amelia Henderson sebagai Lana Analia
- Sean Lee sebagai Amar
- Syafi Tee sebagai Hisham
- Oshin Ahmad sebagai Nia Erlina
- Nynaa Harizal sebagai Aida Safia
- Daniesh Suffian sebagai Baim
- Dottie sebagai Zeti
- Wafariena sebagai Raina
- Izzendra sebagai Azlinda
- Jesse Lim sebagai Encik Masri
- Aida Aris sebagai Cik Norsira
- Lisdawati sebagai Mak Salmah
- Sahronizam Noor sebagai Dato’ Zahid
Sinopsis Romantika 4 Hari 3 Malam
Lana Analia sememangnya mengimpikan untuk menjadi seorang wartawan yang hebat. Dia ditugaskan untuk menulis rencana untuk ruangan Blind Date. Janji temu demi janji temu diatur. Setiap kali itu, dia berharap agar dipertemukan dengan lelaki sempurna. Namun di mana silapnya, lelaki yang ditemuinya ada sahaja yang tidak kena. Playboy, cakap besar, anak manja, sombong, selekeh, pengotor dan macam-macam lagi. Psiko pun ada! Menerusi artikelnya disampaikan setiap kekecewaan itu. Terus-terusan pula rencananya mendapat pujian dan semakin diminati sehingga namanya dikenali ramai.
Tanpa diduga, hadiah percutian eksklusif 4 hari 3 malam di Pulau Impian yang dimenanginya mencipta pertemuan tanpa dirancang. Seorang lelaki yang dianggapnya panas baran telah berjaya mencuri hati dan jiwanya. Segala-galanya cukup indah sepanjang 4 hari 3 malam di pulau itu. Namun, kata cinta tidak sempat dilafaz. Salah faham menyebabkan Amar pulang lebih awal. Lana kehairanan kerana ditinggalkan tanpa pesan. Berkali-kali cuba dihubungi lelaki itu, tapi Amar seolah-olah hilang begitu sahaja. Lana putus harap. Dia cuba meneruskan hidupnya seperti biasa, namun percutian itu telah mengubah dirinya. Rindu dan cintanya terlalu dalam buat Amar. Kenangan demi kenangan begitu sukar dilupakan.
Lana penat dan hampir berputus asa. Satu demi satu berlaku. Kisah cinta yang tidak kesampaian, konflik, tragedi serta pembunuhan kejam. Juga kisah tentang lelaki misteri yang menghantar warkah-warkah biru yang cukup menakutkan. Dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Percutian indahnya bersama Amar dijadikan bahan coretan terakhirnya dalam ruangan Blind Date. Sempatkah lafaz cinta yang tertangguh diucapkan? Mampukah kenangan indah di Pulau Impian diulang kembali?
Sinopsis Romantika 4 Hari 3 Malam (Versi Novel)
LANA menggigit bibir. Terasa kesal dalam hatinya. Kesal yang teramat-amat. Apabila kepala didongak, wajah lelaki yang duduk bertentangan dengannya itu cukup merimaskan. Perasaan tidak senang semakin beraja. Dia cukup benci dengan situasi membosankan seperti itu. Perlahan-lahan Lana mengeluh. Jika difikir secara waras, dia pasti menolak. Dia tidak mahu dan sama sekali tidak ingin melaksanakan tugasan yang diberi. Malah pada saat Cik Nor memberikan arahan tersebut, mahu sahaja dia meletak jawatan.
‘Tak nak!’ bentak hati Lana ketika itu. Bibirnya digigit sakit. Hatinya mula susah. ‘Macam mana nak buat? Gila!’ bentak hati Lana lagi.
“Ada apa-apa soalan?” keras nada suara Cik Nor menyoal.
Lana masih terkelu. Bibirnya diketap. Perasaannya bercampur baur, serba salah. Hendak dibantah, ini tugasan pertamanya!
“Hmm…” Lana hanya mampu menggumam.
“Ya? Cakaplah, apa yang awak nak cakap,” gesa Cik Nor.
Dahi Lana berkerut. Berkecamuk fikirannya memikirkan ayat yang tepat.
“Hmm…” teragak-agak Lana memulakan kata-kata.
Cik Nor memandang tepat ke arah Lana. “Hmm… perlu ke saya keluar dengan lelaki yang saya tak kenal?” perlahan kebimbangan itu disuarakan. Tajam pandangan Cik Nor.
“Beginilah, Lana. Awak bukannya lembap ataupun lembam. Jadi, awak boleh fikir dengan logik dan bijaksana. Sekarang saya cuma nak tanya satu saja soalan. Macam mana awak nak tulis artikel Blind Date, kalau tak berdasarkan pengalaman sebenar?” sinis sekali kata-kata yang diluahkan oleh editornya itu.
Lana mengeluh berat. “Ya, saya tahu Cik Nor. Cuma…”
“Cuma apa?” pantas keraguan itu dipotong Cik Nor.
Lana menggigit bibir. “Cuma… saya takut,” ujar Lana, cukup perlahan.
Kata-kata Lana dibalas dengan ketawa bongkak Cik Nor.
“Takut?” Cik Nor ketawa lagi. “Tak sangka, saya pilih seorang wartawan pengecut. Konon dalam profil, nak jadi wartawan yang hebat. Nak jadi penulis besar yang ada nama. Dapat byline dalam majalah-majalah terkemuka; oleh Lana Analia,” tempelak Cik Nor dengan wajah kesal. “Jadi, awak menyerah kalah? Dah tak sanggup?” soal editor muda itu lagi.
‘Kalah? Tidak! Aku tak nak balik kampung! Ini cita-cita aku! Lagipun aku perlukan duit!’ hati Lana membentak, marah dan tercabar. Kepalanya digeleng beberapa kali.
“Tak. Tak, Cik Nor. Okey, saya akan buat,” balas Lana gugup.
“Bagus,” ujar Cik Nor tersenyum puas. “Buktikan dengan sebuah artikel yang bagus. Saya nak tengok siap atas meja saya Rabu depan.”
“Baik,” balas Lana tersenyum pahit. Dipujuk juga hatinya supaya menerima cabaran Cik Nor. Mungkin ada hikmahnya. Mungkin secara kebetulan dia akan diketemukan dengan jodohnya. Bukankah jodoh itu rahsia Allah SWT?
Disebabkan Cik Nor jugalah dia terperangkap dalam situasi yang janggal dan sukar. Di hadapannya, seorang lelaki kurus dan tinggi yang agak tampan perawakan. Lelaki bernama Mikail itu baru sahaja dikenalinya 30 minit yang lalu. Mikail Hakimi. Nama itu menarik perhatiannya sewaktu melayari portal carian jodoh. Biodata Mikail Hakimi meyakinkannya. Lelaki itu kedengaran seperti bukan calang-calang. Eksekutif IT, ada kereta, suka teknologi baharu, baik hati, senyuman yang manis dan tinggal di lokasi berprestij!
Pantas kemudiannya Lana menghantar mesej untuk bertemu dengan Mikail Hakimi. Ya, menerusi portal cintabersemi.com, dia mencari teman janji temunya yang pertama. Semata-mata untuk cabaran yang Cik Nor beri. Untuk artikel sulungnya di majalah Cinta.
“Awak tak nak makan?” soal Lana, berusaha menghidupkan suasana.
“Tak,” balas Mikail ringkas. Lelaki itu langsung tidak mendongak ke arah Lana. Lelaki itu terus tunduk dan tertumpu ke bawah. Pada gadget yang berada di genggaman lelaki itu. Lana mengeluh.
“Kita nak ke mana lepas ni?” soal Lana lagi. Soalan Lana tidak berjawab. Mikail masih tekun dengan gadget di tangan.
“Mikail…” nama itu disebut. Masih tiada respons. “Encik Mikail!” ujar Lana menguatkan suara.
“Ya?” Mikail mendongak sedikit. Namun hanya untuk seketika. Pandangan lelaki itu tertumpu kembali ke bawah. Wajahnya kelihatan resah. “Ada apa?”
Kali ini Lana memang benar-benar bengang. Dari tadi, teman janji temunya itu asyik menghadap telefon bimbit! “Kita nak ke mana lepas ni?” soal Lana, menahan geram.
“Hah? Ikut awaklah,” balas Mikail dengan pandangan yang tertumpu semula pada telefon bimbit di tangan. Lana benar-benar bengang. Dating dengan dia atau dengan telefon tu!
“Boleh tak awak berhenti main telefon tu?” luah Lana, bengang dan marah. Nada suaranya bergetar. Mikail tersentak.
“Maaf, awak. Saya betul-betul tengah sibuk ni,” ujar Mikail dengan wajah serba salah.
Lana merengus. “Kalau sibuk, kenapa setuju nak keluar dengan saya?” soal Lana.
Mikail menghelakan nafas berat. Wajah lelaki itu berkerut. “Saya memang nak keluar. Dah lama saya tak keluar dengan sesiapa pun,” balas Mikail.
“Habis tu?”
“Saya ingat saya tak sibuk,” balas Mikail dengan wajah berkerut.
‘Huh. Apa ni?’ gumam Lana dalam hati. “Apa yang awak sibuk sangat?” soal Lana, hairan.
Lehernya dipanjangkan. “Tak boleh ke awak berhenti main telefon tu dan berbual macam orang lain?” bentak Lana lagi.
Ekspresi wajah Mikail semakin serba salah. Beberapa kali dia mengerling ke arah skrin telefon bimbit di tangan.
“Saya minta maaf. Betul-betul minta maaf. Kampung saya kena serang ni,” ujar Mikail.
Berkerut wajah Lana.
“Kampung apa?”
“Kampung saya.”
“Yalah, kampung apa? Siapa yang serang? Kat mana?”
“Kampung saya dalam The Powerful Warrior ni,” balas Mikail menyeringai, isyarat ditunjukkan ke arah telefon bimbit di genggamannya.
“Permainan?”
“Ya. Permainan dalam talian,” balas Mikail, bersungguh-sungguh.
“Maaf ya, Lina. Saya kena jaga kampung kejap. Nanti kita sambung sembang,” ujar Mikail lagi sebelum menumpukan perhatian kembali ke paparan skrin telefon. Berkerut-kerut wajah lelaki itu menghadap permainan dalam talian tersebut.
Bengkak betul! Bulat mata Lana. Tidak percaya dia dengan kata-kata yang baru didengar. Huh! Saat itu, Lana terasa amat kecewa dan bodoh. Lelaki itu tidak mempedulikannya. Malah, tidak ingat pun namanya! Mikail baru sahaja memanggil dia ‘Lina’!
‘Padanlah kau tak ada awek! Siapa ajelah yang sanggup jadi awek kau!’ hati Lana menyumpah. Geram!
Mungkin tempoh hari Lana tidak faham akan kehendak Cik Nor. Namun, hari ini dia sudah cukup-cukup faham dan berterima kasih kepada editornya itu. Pertemuannya dengan Mikail Hakimi membuatkan dia menyedari sesuatu. Lelaki memang makhluk yang aneh. Pelik! Ya, aneh dan pelik. Pengalaman ini memang harus dikongsi dengan semua orang. Biar semua tahu, kepelikan makhluk bernama lelaki.
‘Sibuk sangat kau main Powerful Warrior. Siaplah kau nanti dengan kutukan dan ketukan keyboard warrior,’ bisik Lana dalam hati. Bibirnya tanpa sengaja tersenyum puas membayangkan tajuk artikel pertamanya.