Sebuah drama bersiri menarik berjudul ‘Hati Yang Tersakiti‘ menghiasi Slot Samarinda TV3 bermula 15 Oktober 2020. Ia bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10.00 hingga 11.00 malam. Drama ini dibintangi oleh hero Malaya, Remy Ishak, Nad Zainal dan Mimi Lana. Ia diarahkan oleh Feroz Kader dan diterbitkan di bawah produksi Art Ornament Sdn Bhd.
Info Drama Bersiri
- Episod: 15 episod
- Tarikh Tayangan: 15 Oktober 2020
- Waktu Siaran: Isnin-Khamis, 10:00 malam
- Stesen TV: TV3 (Slot Samarinda)
- Karya: Shida Zali
- Penulis Skrip: Azril Hamzah
- Pengarah: Feroz Kader
- Produksi: Art Ornament Sdn Bhd
- Senarai Pelakon: Remy Ishak, Nad Zainal, Mimi Lana, Riz Amin, Husna Mustaffa, Meor Mohd, Fad Anuar, Ainina Ahmad, Rahim Jailani, Sharifah Anthash
Watak Pelakon
- Remy Ishak sebagai Haris
- Nad Zainal sebagai Mona
- Mimi Lana sebagai Farah Azira
- Riz Amin sebagai Adrian
- Husna Mustaffa sebagai Nina
- Meor Mohd sebagai Ihsan
- Fad Anuar sebagai Latif
- Ainina Ahmad sebagai Puan Aminah
Sinopsis Hati Yang Tersakiti
Kawan.. kau hanya perampas bahagia
Mengisahkan tentang dua gadis iaitu Mona dan Farah yang berkawan baik sejak belajar di kolej lagi. Selepas beberapa tahun, mereka berdua bertemu kembali. Mona kini hidup bahagia dengan suaminya, Haris walaupun belum dikurniakan cahaya mata. Namun begitu, rumah tangga yang dibina berdasarkan kepercayaan mulai tergugat. Mampukah ia diselamatkan dan persahabatan yang terjalin lama dimuliakan? Atau bakal ada hati yang bakal tersakiti?
Haris (Remy Ishak) dahulunya seorang penghantar surat. Berkat usahanya, dia kini berjaya menjadi seorang usahawan maklumat teknologi (IT). Mona (Nad Zainal) pula seorang lepasan kolej yang bekerja sebagai perunding majlis. Pertemuan pertama Haris dan Mona di kolej membibitkan cinta tetapi Farah (Mimi Lana) rasa Haris tidak layak dan tidak setaraf dengan Mona yang berpelajaran tinggi. Farah pernah memperkenalkan Mona kepada anak Datuk malahan dia sendiri memilih anak kepada seorang Tan Sri sebagai suaminya.
Farah tidak menjemput Mona ke majlis perkahwinannya. Dia juga tidak hadir ke majlis perkahwinan Mona dengan alasan bekerja. Selepas berkahwin dengan Adrian (Riz Amin), Farah sudah tidak menghubungi Mona. Masing-masing telah membawa haluan sendiri dan tidak bertanya khabar berita.
Kini, perkahwinan Haris dan Mona sudah masuk tahun kelima dan dipenuhi dengan kasih sayang dan kebahagiaan. Haris tidak pernah melalaikan tanggungjawab sebagai seorang suami cuma mereka belum berpeluang mendapatkan cahaya mata sebagai pelengkap perkahwinan. Farah pula menjadi seorang model terkenal dan masih tidak mempunyai anak, malah dia sekarang di dalam proses penceraian.
Mona dan Farah bertemu kembali. Selepas mengetahui keadaan Farah yang belum mendapatkan tempat tinggal kerana krisis rumah tangga, Mona mempelawa kawan baiknya untuk tinggal di rumahnya buat sementara waktu. Haris tidak senang dengan kehadiran Farah kerana ia akan mengganggu privasi mereka dan mula menetapkan syarat kepada Farah.
Akhirnya, Haris akur kerana Mona rasa kasihan dan mahu membantu sahabatnya. Farah berterima kasih dengan keprihatinan yang diberikan kepadanya. Lama-kelamaan, dalam diam Farah mulai mencemburui kesempurnaan yang dirasai dalam rumah tangga Mona dan semakin lama dia juga ingin memilikinya.