Langgan newsletter kami!
Islamic Wallpaper Gambar Masjid

Doa Majlis Perkahwinan

Berikut adalah doa majlis perkahwinan yang boleh digunakan bagi mendoakan pasangan suami isteri yang baru sahaja diijabkabulkan. Doa ini dibaca agar rumahtangga yang dibina akan berkekalan sampai bila-bila sehingga ke jannah.

Doa majlis perkahwinan yang ringkas ini biasanya akan dibacakan oleh wakil pihak tuan rumah seperti ayah, abang, saudara mara lelaki terdekat mahupun Imam ketika majlis walimatul urus dan persandingan di pihak perempuan atau lelaki. Walimatul urus bermaksud kenduri bagi meraikan atau merayakan pengantin baru.

Walaupun begitu, doa ini juga sesuai dibacakan sejurus selepas majlis akad nikah dan mengikut kesesuaian majlis.

Doa Majlis Perkahwinan

[infobox style=”alert-success”]


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

(Bismillahir Rahmaanir Rahiim)


اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ اْلعَلَمِْينَ
وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ أَشْرَفِ الأَنْبِيَآءِ وَالمُرْسَلِينَ
وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ

(Alhamdulillahi robbil ‘aalamiin
Wasolaatu wassalaamu ‘alaa asyrafil anbiyaai wal mursaliin
Wa ‘alaaalihi wasohbihi ajma’in)

Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk berada dan menghadiri majlis sempena pernikahan pasangan mempelai [nama pengantin perempuan] dengan pasangan pilihan hati [nama pengantin lelaki] pada hari yang berbahagia dan penuh bermakna ini.

 

Ya Allah Ya Raahimarruhamaa’

Kami merasa sungguh bertuah kerana dikunjungi oleh tetamu yang amat dialukan kehadiran mereka, moga-moga kehadiran mereka akan menambah seri dan menyemarakkan keberkatan majlis ini. Ya Allah, berkatilah tuan majlis ini, kurniakanlah kepadanya seisi keluarga kemurahan rezeki yang halal dan hindarilah mereka daripada sesuatu yang haram.

 

Ya Allah Ya Mu’allafata baina qulubil insan,

Limpahkanlah lembayung rahmat dan rahim-Mu kepada pasangan raja sehari yang kami raikan pada hari ini, sesungguhnya pernikahan ini adalah satu ikatan suci dan luhur, ikatan yang menyatukan dua hati yang berbeza fitrah dan nalurinya, maka Engkau peliharalah ikatan ini dan kurniakanlah kepada pasangan suami isteri ini ketenangan jiwa (sakiinah) sebagaimana Engkau janjikan dalam kitab-Mu, juga kurniakanlah kepada mempelai ini sifat kasih sayang atas dasar keimanan, sifat kesabaran dalam menghadapi cabaran rumahtangga, sifat tolak ansur dan menerima seadanya dalam menerima kekurangan pasangan masing-masing, suburkanlah akhlak mahmudah yang perlu dimiliki oleh sepasang suami dan isteri demi kebahagiaan dan kerukunan sesebuah rumah tangga.

 

Ya Allah, Ya Kariim, Ya Waduud,

Kurniakanlah kepada pasangan suami isteri ini sifat saling kukuh mengukuh antara satu sama lain kerana sesungguhnya mereka berdua akan melalui perjalanan yang tidak lekang dari ujian.

Kurniakanlah kepada suami, sifat tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga, sifat hikmah dalam mendidik isteri dan anak-anak serta melindungi mereka.

Kurniakanlah kepada isteri sifat penyayang kepada suami dan anak-anak, sifat pengorbanan yang unggul demi kebahagiaan suami dan anak-anak serta menjaga amanah suami semasa ketiadaannya.

 

Ya Allah, Ya Razzaq, Ya Fattaah,

Kurniakanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah, sebagai penyejuk hati, sehingga mereka mengecap nikmat perkahwinan yang sempurna yang Engkau telah janjikan. Anak-anak yang sihat, mempunyai sifat mentaati dan memuliakan mereka sebagai ibu bapa.

 

Ya Hayyu Ya Qayyum Ya Zal Jalaliwal’ikram,

Kami memohon kekuatan dari hadhrat-Mu Ya Allah, supaya kami yang hadir pada tika ini, agar kami dapat melaksanakan kebajikan. Dan kami mohon perlindungan dengan Engkau daripada melakukan keburukan.

Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang diberkati dan dirahmati. Dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada mara bahaya dan keburukan.


رَبَّنَا  أَتِنَا فِى الدُّنيَا حَسَنةً
وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّاِر
سُبحَانَ رَبِّكَ  رَبِّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ
وَسَلاَمٌ عَلَى المرُسَلِينَ
وَالحَمدُ للهِ رَبِّ العَلَمِينَ

(Rabbana aatinaa fid dunya hasanah
Wa fil aakhirati hasanah, waqinaa ‘azaaba Nnaar
Subha narabbika rabbi izzati amma yaasifunn
Wasalaa munn alal mursaliin
Walhamdulillahi robbil ‘alamiin)

[/infobox]

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: