Hakikat Sebenar Insan
“Apabila manusia telah mengenal dirinya, maka ia telah mengenal akan Tuhannya”
Baris kata tersebut menurut Abu al-Muzaffar Ibn al-Sama’ani, datang dari Yahya b. Mu’adh al-Razi, seorang ulama besar Asia Tengah dalam bidang tasawwuf.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘diri’? Persoalan ini sering diutarakan dan masih dibincangkan, tidak kira daripada kalangan ilmuan mahupun mereka yang sedang bertarung bagi mengenal hakikat diri yang sebenar.
‘Diri’ menurut kaca mata dan sarwa pandang Islam, terdiri daripada dua komponen; ruh dan jasad (spirit and body). Dua komponen ini tidak terpisah, malah saling berkait antara kedua-duanya.
Manakalah menurut kaca mata sarjana Barat, sebahagian (serta kebanyakan) daripada mereka menganggap dua komponen tersebut tiada kaitan antara satu sama lain.
Sebagai contoh, dalam konteks ilmu psikologi, Barat hanya mengutarakan permasalahan-permasalahan yang berlaku sehingga mengganggu kesihatan mental seseorang individu merupakan asbab kepada berlakunya ‘chemical imbalance’ iaitu ketidakseimbangan kimia di otak semata-mata.
Tiada langsung disentuh mengenai aspek ruh dalam pertimbangan mengenai saintifik mental seseorang individu.
Dalam pada itu, jika diamati, sebenarnya mereka gagal untuk merungkai permasalahan tersebut dalam aspek ruh kerana hasil kajian empirikal mereka hanya terhad pada aspek zahiriah semata-mata. Mereka tiada sumber rujukan Ilahi (kerana mereka tidak menerima sesuatu yang tanpa bukti).
Akan tetapi, bagi seseorang Muslim, ada beberapa perkara yang kita tidak mampu untuk rungkaikan dengan akal fikiran terhad yang dikurniakan Tuhan kepada kita (sebagai bukti kehambaan dan kekuasaan-Nya), antaranya berkaitan ruh.
Ilmu mengenai hakikat insan adalah ilmu pemberian Allah, bukan ilmu perolehan manusia sendiri semata-mata; iaitu ilmu wahbi, bukan ilmu kasbi.
Perbezaan Antara Faham Seorang Muslim dan Bukan Muslim Akan Agama dan Peraturan
“Manusia itu pada dasarnya binatang yang liar dan ganas. Kita hanya mengenalinya sebagai apa yang telah dijinak dan dilatih oleh tamadun; justeru kita rasa cemas apabila sekali-sekala sifat sebenar kebinatangannya itu terlepas keluar. Tetapi bila saja kunci undang-undang dan belenggu peraturan tertanggal, dan huru-hara terjadi, manusia mempamerkan dirinya yang sebenar (iaitu binatang liar dan ganas.”
(Great Treasury of Western Thought: A Compendium of Importan Statements on Man and His Institutions by the Great Thinkers in Western History)
Menurut falsafah dan ideologi Barat, nasib menjadi seorang yang dikenali sebagai homosapiens ataupun manusia, tidak akan lari daripada kacau-bilau dan bolak-balik.
Barat percaya dan yakin bahawasanya perkara ataupun alat yang akan mententeramkan manusia ialah peraturan dan undang-undang yang direka menurut faham dan logik akal mereka.
Sebagai contoh mudah, saman akan dikenakan terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata. Maka kebersihan alam sekitar akan terjaga dengan hadirnya undang-undang sebegini.
Dalam konteks yang sedikit berbeza, kita dapat melihat peraturan dan polisi yang ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebahagiannya sangat dangkal dan tidak masuk akal (seorang Muslim).
Pengamalan LGBT dikatakan sebagai satu bentuk hak di dalam Human Rights.
Sedangkan, sudah terbukti menurut kajian-kajian saintifik, dan pengamatan sosial, pengamalan LGBT menghasilkan haru-biru. Kecelaruan ini yang menutupi mata mereka yang kononnya menyokong prinsip keadilan dan hak asasi kemanusiaan.
Dalam pada itu, bagi seorang Muslim, agama hadir menjadi sumber rujukan peradaban bagi memimpin diri ke arah keamanan dan kesejahteraan. Jiwa kebinatangan itu dijinakkan oleh syariat yang diturunkan melalui wahyu Ilahi kepada Insan al-Kamil, Nabi Muhammad SAW.
Jika ditelusuri dengan sebaiknya isi syariat yang diturunkan Tuhan, umat Islam sekarang pasti akan jauh kehadapan dan mampu mencipta ketamadunan yang agung seperti zaman Khulafa ar-Rashidin yang lalu.
Perbezaan Insan dan Ciptaan-ciptaan Lain
Manusia, sebagai Khalifah Allah, mempunyai beban tugas dan amanah yang sangat besar bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di muka bumi ini. Allah SWT telah mengurniakan bermacam-macam kelebihan kepada seseorang insan, yang memampukannya menerima tawaran beban dan amanah Tuhan tersebut.
Antaranya ialah:
- Al-ruh (ruh);
- Al-qalb (hati atau jantung-hati);
- Al-nafs (jiwa); atau,
- Al-‘aql (akal).
Ruh seseorang insan telah diiktiraf dan dinaikkan darjat oleh Tuhan. Oleh yang demikian, malaikat telah diarah untuk sujud kepada Adam, kerana adanya “ruh yang luhur” di dalam diri Adam.
Jika ingin membezakan dari segi komponen zahiriah, tidak ada sebab untuk Adam merasa lemah dan Jin untuk merasa tinggi, kerana fitrah penciptaan itu sendiri sudah mengiktiraf Adam sebagai makhluk yang agung melebihi yang lain.
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.”
(Al-Shams: 7-10).
Berhadapan Dengan Masalah Mental dan Jiwa
Ingatkah kita akan satu kisah pada zaman Nabi dahulu? Di sudut pasar bandar Madinah al-Munawwarah, terdapat seorang pengemis tua berbangsa Yahudi. Pada setiap hari, mulutnya pasti tidak lekang dengan mengeluarkan ungkapan…
“Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad! Dia itu orang gila. Dia itu pembohong. Dia itu ahli sihir!”
Dan setiap pagi juga, Rasulullah SAW pasti akan bertemu dengannya dengan membawa makanan. Tanpa berkata sepatah sekalipun, baginda SAW menyuapkan makanan kepada pengemis Yahudi tersebut, walaupun berkali-kali dengar ungkapan yang sangat menyinggung di atas.
Nabi Muhammad SAW memberi makan pengemis tersebut sehinggalah kewafatan baginda. Kisah ini selalu berulang kali kita dengar. Akan tetapi tahukah kita ada ibrah yang agung mahu ditunjuk oleh Nabi kepada kita?
Nabi Muhammad SAW walaupun tahu sikap pengemis tua tersebut sedemikian, baginda tidak menyalahkan malah memarahinya. Baginda hadir dengan sifat rahmat dan kasih saying dengan membawakan makanan padanya pada setiap hari. Kerana Nabi tahu, pengemis tersebut sangat memerlukan makanan untuk terus hidup.
Nabi sesekali tidak memarahi, malahan lebih teruk lagi, mengkafirkan pengemis tersebut akibat tindakan melampaunya.
Maka, kisah ini boleh dikaitkan apabila kita berhadapan dengan individu yang mempunyai apa-apa masalah terutamanya mereka yang ada ciri-ciri masalah mental dan psikologi.
Penting bagi kita yang memahami hakikat diri seseorang insan, untuk menguruskan mereka dengan cara yang baik dan berhemah, iaitu dengan mengisi kelompongan mereka.
Samada duit, makanan, mahupun perhatian.
Jangan sesekali menghukum mereka yang mempunyai masalah mental (depression) akibat terjerumus dengan maksiat dan dosa terlebih dahulu.
Kerana satu hari nanti percayalah, kita juga mungkin akan berada di tempat mereka.
Mahukah kita dilayan seperti sedemikian?
Catatan diskusi oleh:-ABDULLAH RAIHAN BIN SAFFINEE,
Hot Rock Cairo,
25 November 2018