Jejaka yang sering dikaitkan dengan pelakon terkenal Nora Danish, iaitu Mickey Ayo, kembali mencuri perhatian netizen apabila dilihat memandu kereta mewah Lamborghini berwarna hitam.
Momen tersebut dikongsikan oleh rakan-rakan Mickey menerusi InstaStory, yang jelas kagum dengan pencapaian lelaki berusia 35 tahun itu selepas berjaya memiliki kenderaan mewah dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
“Terima kasih belanja sarapan hari ini, baik orangnya… patutlah dapat pakai Lambo.”
“Teruskan beri inspirasi, umur 35 dah pakai Lambo,”
demikian antara ucapan rakan-rakan Mickey yang turut dikongsi semula olehnya di InstaStory.
Difahamkan, Mickey turut menyertai konvoi kereta mewah ke Genting Highlands, Pahang, bersama beberapa kenalannya. Dalam hantaran yang tular itu, Mickey kelihatan ramah dan mesra melayani orang ramai sambil tidak lokek menghadiahkan senyuman.
Sebelum ini, hubungan antara Nora Danish dan Mickey Ayo pernah menjadi topik hangat selepas pelakon itu memuat naik video istimewa sempena ulang tahun Mickey pada 15 Oktober lalu.
Spekulasi semakin hangat apabila Nora berkongsi foto seorang lelaki berkopiah, dipercayai Mickey, diikuti dengan satu lagi gambar dirinya mencium kopiah tersebut. Tidak lama kemudian, Mickey pula muncul dalam sebuah video berbaju Melayu lengkap bersamping, sambil memegang kad undangan bertulis huruf ‘M’ dan ‘N’ berserta tarikh 8 September, yang menimbulkan teka-teki di kalangan peminat.
Namun, selepas timbul pelbagai spekulasi, Nora tampil menjelaskan bahawa tiada majlis perkahwinan yang bakal berlangsung, selain menafikan penglibatan dirinya dalam sebarang kempen pemasaran seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Kini dengan kemunculan Mickey bersama Lamborghini mewahnya, netizen sekali lagi tertarik untuk mengikuti perkembangan jejaka yang disebut-sebut sebagai “teman rapat istimewa” Nora Danish itu.