Langgan newsletter kami!

Cukai Tanah dan Cukai Pintu

tax-cukai-tanah-cukai-pintuApakah Maksud Cukai Tanah?
Cukai Tanah adalah cukai yang dikenakan bagi tanah hak persendirian. Ia mesti dibayar oleh Tuan Tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Tanah. Cukai Tanah mesti dibayar sepenuhnya mulai 1 Januari setiap tahun dan akan menjadi tunggakan mulai 1 Jun setiap tahun. Bil Cukai Tanah adalah berwarna kuning.

Apakah Maksud Cukai Taksiran atau Cukai Pintu?
Cukai Taksiran juga dikenali sebagai Cukai Pintu perlu dibayar 2 kali setahun. Bayaran ini dikenakan oleh Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1966.  Bil Cukai Taksiran adalah berwarna Biru.

Kenapa Perlu Bayar Cukai Taksiran atau Cukai Pintu?
Ini kerana, cukai yang dikutip akan digunakan untuk membiayai kos penyelengaraan bandar/kawasan seperti kos mengangkut sampah, membersihkan longkang, memperindahkan lanskap, membayar bil lampu jalan, menyelenggara lampu-lampu isyarat dan sebagainya.

Bagaimana Nilai Cukai Taksiran dikira?
Jumlah cukai ini dikira berdasarkan Kadar Peratus ke atas Nilai Tahunan. Nilai Tahunan adalah “Anggaran Kasar Sewa Tahunan” yang diperoleh oleh tuan tanah/tuan rumah.

Apakah Formula Pengiraan Cukai Taksiran?
Nilai Tahunan = Anggaran Sewa Kasar Sebulan x 12 bulan.
(Kadar Peratusan adalah ditetapkan oleh kerajaan negeri)

Jadi, Cukai Taksiran = Nilai Tahunan x Kadar Peratusan

Contoh:
Nilai Tahunan = RM5,000
Kadar Peratusan = 8.8%
Cukai Taksiran = RM 440.00 setahun atau RM 220.00 untuk setiap 6 bulan

Bagaimana kalau hartanah tidak didiami atau tidak menghasilkan keuntungan?
Cukai taksiran tetap juga akan dikenakan walaupun sesebuah hartanah, bangunan atau rumah itu kosong. Walaubagaimanapun, pemilik boleh memohon tuntutan remisi ke atas tempoh kekosongan dengan memberi notis bertulis kepada Majlis dalam tempoh tujuh (7) hari bermula dari tarikh bangunan itu dikosongkan.

Apakah Tindakan Jika Gagal Membayar Cukai Taksiran?
Jika anda masih tidak membuat bayaran selepas menerima Notis (Borang E), waran tahanan akan dikeluarkan kepada anda dan kos waran sebanyak 10% ke atas jumlah tunggakan cukai akan dikenakan.  Waran ini membolehkan pegawai MPM diberi kuasa untuk melaksanakan tindakan-tindakan seperti berikut:
a) Merampas atau menyita harta mudah alih yang ada di dalam bangunan
b) Melelong bangunan atau tanah melalui pendaftar pelelong yang dilantik oleh pihak Majlis

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: