Aplikasi mobile i-Tegur merupakan satu inovasi baharu yang dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempat (KPKT) dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk memberi kemudahan kepada orang awam bagi membuat sebarang aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merangkumi Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Aplikasi ini merupakan medium mudah alih yang memudahkan pengguna dalam membuat aduan masalah yang dihadapi kepada PBT yang bertanggungjawab mengendalikan kawasan tersebut.
“Aplikasi i-Tegur akan membantu PBT dalam pengurusan aduan yang lebih cekap dan cepat seiring dengan perubahan demografi dan gaya hidup masa kini” – YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri KPKT
Melalui i-Tegur, pengguna boleh menghantar aduan bergambar bersama lokasi tepat melalui telefon pintar bagi membolehkan PBT mengambil tindakan terhadap sebarang aduan yang diterima. Aplikasi i-Tegur seterusnya akan mengenalpasti lokasi pengadu berdasarkan gambar yang dihantar. Aduan tersebut seterusnya akan dimajukan kepada PBT yang berkenaan secara automatik tanpa pengadu perlu mengetahui PBT mana sepatutnya disalurkan aduan tersebut.
Muat Turun Aplikasi
Aplikasi i-Tegur boleh dimuat turun melalui Google Playstore bagi pengguna Android, Apple App Store bagi pengguna iOS dan GAMMA (Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia). Untuk rekod, aplikasi i-Tegur telah dijenamakan semula daripada versi sebelum ini iaitu iKepoh dengan diberi beberapa penambahbaikan.
Objektif i-Tegur
- Menjalin hubungan akrab PBT dan rakyat melalui penyediaan saluran aduan yang mesra pengguna dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat; dan
- Pemantauan dan pengurusan aduan lebih berkesan kepada pengurusan atasan PBT dan KPKT melalui satu sumber sistem yang sama dan mudah dicapai.
Fungsi i-Tegur
- Membenarkan penghantaran aduan bergambar beserta lokasi secara mobile.
- Memberi maklumbalas kepada pengadu dengan lebih responsif.
- Memantau statistik aduan oleh PBT atau JKT melalui dashboard yang disediakan dengan lebih efisien.
Kategori Aduan Melalui i-Tegur
Berikut adalah 10 jenis aduan yang boleh dibuat oleh rakyat menggunakan aplikasi mobile i-Tegur.
- Aduan Kerosakan Jalan
(contoh aduan: jalan berlubang, jalan terhalang) - Aduan Berkaitan Lampu / Lampu Isyarat
(contoh aduan: traffic light rosak, lampu jalan rosak) - Aduan Parkir / Binaan
(contoh aduan: parkir terhalang, bangunan disalahguna) - Aduan Tumbuhan / Rumput
(contoh aduan: rumput panjang, pokok tumbang) - Aduan Sampah Sarap
(contoh aduan: sampah tidak dikutip, sampah berbau busuk) - Aduan Longkang / Parit
(contoh aduan: longkang tersumbat, parit tercemar) - Aduan Pembakaran Terbuka
(contoh aduan: pihak tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka) - Aduan Serangga / Haiwan
(contoh aduan: anjing liar berkeliaran, nyamuk aedes) - Aduan Papan Tanda / Iklan
(contoh aduan: papan tanda rosak, iklan ditampal secara haram) - Aduan Tandas
(contoh aduan: tandas awam rosak atau tidak diselenggara)
Untuk maklumat lanjut berkaitan i-Tegur, boleh lawati laman web rasmi i-Tegur di sini.