Langgan newsletter kami!
Logo Astro

Cara Batalkan Langganan Astro

Astro adalah penyedia televisyen berbayar yang sangat popular di Malaysia. Ia banyak menyediakan program-program menarik seperti drama dan telefilem eksklusif melalui saluran Ria, Citra dan Warna. Bagi peminat sukan pula, langganan Astro tentu sekali kerana Astro merupakan satu-satunya pemegang hak tayangan live liga bola sepak English Premier League (EPL). Hak eksklusif penyiaran ini bermula dari musim 2019/2020 hingga 2021/2022. Kesemua perlawanan ini disiarkan di Astro dalam definisi biasa (SD) dan definisi tinggi (HD). Tetapi tentu sekali perkhidmatan yang premium ini terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi sehinggakan ada yang tidak mampu untuk meneruskan langgan Astro kerana komitmen bulanan yang tinggi. Jadi di sini kami kongsikan panduan dan cara batalkan langganan Astro.

Pembatalan langganan Astro boleh dibuat oleh anda tanpa sebarang bayaran tambahan, namun ia masih tertakluk kepada syarat kontrak yang telah anda tandatangani. Sebagai pengguna, kita sepatutnya memahami setiap terma kontrak yang telah kita tandatangani semasa memasang perkhidmatan siaran TV Astro ini. Ada yang mempunyai kontrak selama setahun, dua tahun dan sebagainya bergantung kepada promosi yang diberikan.

Cara Batalkan Langganan Astro Dengan Mudah

  1. Anda perlu menelefon Astro Service Center di talian +603 9543 3838. Sebelum itu pastikan anda telah sedia dengan maklumat yang bakal ditanya nanti antaranya No. Akaun dan No IC pemilik akaun Astro.
  2. Pilih bahasa untuk berkomunikasi sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
  3. Kemudian anda diberi beberapa pilihan. Pilih no. 3 atau no. 4 dan anda akan disambungkan untuk bercakap dengan operator.
  4. Setelah disambungkan dengan operator, nyatakan kepada pegawai tersebut niat anda untuk batalkan langganan Astro.

Selain dari telefon, anda juga boleh membatalkan langganan dengan cara pergi terus ke Service Centre yang berdekatan.

Proses Serahan Decoder Astro

Selepas confirmation pemotongan akaun Astro dibuat, akan ada ejen yang dilantik oleh pihak Astro datang ke rumah anda untuk mengambil dekoder. Kebiasaannya mereka hanya akan mengambil dekoder dan kad Astro sahaja sementara piring dan remote Astro dibiarkan untuk simpanan anda. Namun ada juga kes di mana pihak Astro memerlukan anda menyerahkan sendiri dekoder ke Service Centre berhampiran.

Alternatif Kepada Astro

Sebenarnya dengan pemotongan Astro tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah anda. Televisyen anda tetap perlukan perkhidmatan untuk membolehkan anda menonton siaran percuma seperti RTM dan TV3. Jadi alternatif yang menarik adalah anda melanggan pakej Astro NJOI yang mana bayaran hanya dikenakan sekali sahaja dan tanpa bayaran bulanan. Dengan cara ini anda tidak perlu risau dengan komitmen bulanan lagi.

Selain itu, anda juga mungkin boleh pertimbangkan membeli peralatan seperti box myFreeView. Ia adalah satu siaran digital percuma di bawah Projek DTT (Televisyen Terestrial Digital). Projek ini adalah di bawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan diselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Ia merupakan satu inisiatif Kerajaan untuk menyediakan khidmat penyiaran TV dan radio terbaik untuk rakyat. Pembaharuan ini memberikan semua siaran yang lebih jelas tanpa sebarang bayaran bulanan.

Bagi pengguna internet di rumah, anda boleh melanggan pakej ‘bundle’ dari Telekom Malaysia (TM) iaitu perkhidmatan Internet beserta siaran TV melalui Unifi TV. Perlu diingatkan, pihak TM tidak menyediakan perkhidmatan TV secara sendiri atau standalone. Buat masa ini, anda tetap perlu melanggan pakej internet daripada mereka.

Setakat ini sahaja sedikit panduan dan perkongsian buat anda. Semoga ianya bermanfaat.

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: