Langgan newsletter kami!
Wallpaper Selawat Ke Atas Nabi

Bacaan Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW

“Ya Hanana, Ya Hana na.. Ya Hanana”

Tiga orang kanak-kanak lelaki sedang asyik mendendangkan Qasidah Ya Hanana dengan gembiranya berserta alunan suara yang cukup merdu. Qasidah tersebut adalah salah satu daripada qasidah terkenal yang menjadi mainan di bibir kanak-kanak kerana mudah untuk diingati. Yang jelas, ia ditujukan kepada sosok tubuh mulia yang amat dirindukan oleh umat akhir zaman, iaitu Rasulullah SAW.

Sesungguhnya, kehadiran Rasulullah SAW di atas muka bumi ini suatu masa dahulu sangat dinantikan oleh segenap masyarakat. Ini kerana Baginda merupakan rahmat bagi seluruh alam.

Beruntunglah bagi mereka yang hidup pada zaman Baginda, dapat menatap wajah mulia Baginda, bahkan dapat bersoal jawab secara langsung dengan Baginda apabila buntu dengan permasalahan dunia.

Tetapi, kita umat kemudian apakah perkara yang boleh kita lakukan untuk menyatakan rindu dan cintanya kita pada Baginda? Jawabnya ialah dengan berselawat ke atas Baginda.

Cara Bacaan Selawat

Cara selawat amat mudah. Kita selalu berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan juga Nabi Ibrahim AS semasa bacaan tahiyat akhir di dalam solat. Bacaan selawat dalam rumi yang ringkas adalah:

Allahumma solli ‘ala muhammad, wa ‘ala ali muhammad

-atau-

Allahumma solli ‘ala Saiyyidina Muhammad, wa ‘ala ali Saiyyidina Muhammad

(bermaksud: Allah selawatkanlah ke atas Muhammad, dan ahli keluarga Muhammad)

Video Cara Bacaan Selawat Yang Betul

Berikut adalah penerangan cara selawat oleh Ustaz Azhar Idrus.


Terdapat juga selawat dalam versi lagu seperti yang dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kelebihan Selawat

  1. Allah SWT juga turut berselawat ke atas Baginda

Hal ini sepertimana firmanNya yang bermaksud;

“Sesungguhnya, Allah SWT dan malaikatNya berselawat (memberi penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(Surah al-Ahzab: 56)

  1. Beroleh gandaan selawat daripada Allah SWT

Tahukah anda, sesiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW satu kali, Allah SWT akan berselawat ke atas dirinya sebanyak 10 kali. Sesungguhnya, selawat Allah SWT kepada diri kita adalah berupa rahmat dariNya.

  1. Beroleh syafaat Rasulullah SAW

Beruntungnya kita menjadi umat Muhammad SAW. Ini kerana, hanya Baginda sahaja Nabi yang dikurniakan syafaat (pertolongan) untuk umatnya di akhirat kelak. Sesiapa yang banyak berselawat kepada Rasulullah SAW, pasti akan dibantu oleh Baginda kelak.

  1. Amalan berselawat mendekatkan diri kepada Allah SWT

Sesungguhnya, Rasulullah SAW merupakan kekasih Allah SWT, dan apa-apa yang berkait dengan Baginda sudah pasti berkait pula dengan Allah SWT. Bahkan, berselawat juga merupakan jalan bagi beroleh keredhaanNya.

  1. Sebagai wasilah atau perantaraan diri kita dengan Rasulullah SAW

Bagi umat akhir zaman, sudah pasti kita memiliki satu perasaan rindu yang teramat untuk menatap dan bertemu dengan idola atau  ikutan kita dalam kehidupan, iaitu Muhammad SAW. Bagi mereka yang berkemampuan, mereka boleh menziarahi makam Baginda. Namun, cara lain untuk menyatakan kecintaan dan rindu kita adalah dengan berselawat. Ini kerana, setiap selawat yang disampaikan oleh setiap manusia akan sampai kepada Baginda SAW walaupun setelah Baginda wafat.

  1. Sebagai penyembuh dan terapi bagi penyakit jasmani dan rohani

Selawat ke atas Rasulullah SAW juga boleh menjadi ‘ubat’ bagi seseorang yang mengalami penyakit rohani atau penyakit hati seperti hasad dengki, busuk hati, pemarah dan lain-lain. Juga, bagi penyakit jasmani seperti demam, sakit kepala dan sebagainya.

Begitulah antara beberapa kelebihan berselawat ke atas Rasulullah SAW dan ternyata banyak lagi kelebihannya. Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada kita untuk lebih meringankan lidah dan mulut bagi memuji dan mengalunkan selawat ke atas junjungan mulia Muhammad SAW. Mudah-mudahan, selawat tersebut dapat membantu kita di akhirat kelak.

Wallahua’lam.

About Marina

Berpendidikan agama dari UNISZA dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang beliau ada untuk manfaat komuniti.

2 comments

  1. assalamualaikum..
    alhamdulillah terima kasih atas ilmu yang dikongsi.
    semoga kita sama-sama beroleh syafaat baginda kelak.
    Tips Agar Masa Panjang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: