Anggota kumpulan 4U2C, One II atau nama sebenarnya Nirwan Siari meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 1.30 tengah hari tadi.
Pemergian One II dikongsi oleh AC Mizal di laman sosial peribadinya.
“Salam semua, baru dapat berita bahawa sahabat saya, ahli kumpulan saya 4U2C baru jer meninggal dunia, sedih teramat aku bro, dengan pemergian kau, teringat aku zaman kita dulu 4U2C. Allah lebih menyayangi kau semoga kau di tempatkan bersama orang yang beriman”
Dalam entri itu, AC Mizal turut mengajak peminat untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.
“Saya mohon pada semua sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah buat arwah, tenanglah kau disana One II.. sayang kamu sahabat” katanya.
Sementara itu, BH Online melaporkan, adik Allahyarham, Mohd Norezman berkata, One II menghidap penyakit batuk kering dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak dua hari lalu selepas mengadu sesak nafas.
“Dua tahun lalu arwah disahkan menghidap batuk kering dan ia kembali menyerang baru-baru ini. Doktor sahkan jangkitan sudah merebak ke paru-paru, selain masalah jantung membengkak. Tahap kesihatannya semakin menurun hingga terpaksa ditidurkan. Sepanjang dua hari, arwah hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Kami reda kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.
One II masih bujang dan bekerja sebagai jurulatih gimnasium. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat hari ini.
One II menyertai kumpulan rap popular itu pada penghujung 1990-an, selepas empat anggota asal 4U2C iaitu Adik, Yanz, Azam dan Joe mengundurkan diri. One II menganggotai pembentukan barisan baru atas inisiatif AC Mizal, seorang lagi anggota kumpulan itu. Turut serta 4U2C pada ketika itu tiga anggota lain iaitu Adiex, Aren dan Charlie.
Bersama-sama 4U2C, One II sempat merakamkan album Kembalilah Fiona sebelum Allahyarham memilih haluan sendiri selepas dua tahun menganggotai kumpulan berkenaan.
Sementara itu, AC berkata, dia sepatutnya melawat One II sekali lagi, petang ini, namun dikejutkan berita pemergiannya.
“Saya dan isteri sempat menziarahinya di hospital, semalam selepas adik arwah memaklumkan keadaan kesihatannya. Sebelum ini, kami masih berhubung, cuma arwah memang pendiam dan tidak pula bercerita mengenai kesihatannya. Allahyarham sahabat yang baik, malah sepanjang mengenalinya, beliau sangat menyenangkan,” katanya.