Setiap tahun, ada saja trend diet baharu yang menjadi ikutan seperti juicing dan bebas gluten yang menjadi trend terkini. Setiap trend menjanjikan penurunan berat badan dan ekstra tenaga namun, sejauh mana ia baik untuk organ terpenting manusia iaitu jantung?
Jantung merupakan organ yang paling berisiko terhadap pemakanan. Oleh itu, kajian telah dilakukan oleh para pengkaji dan dapatan kajian tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Kardiologi Kolej Amerika.
Mereka mendapati bahawa diet yang terbaik untuk jantung adalah yang mengandungi minyak zaitun, buah beri, sayuran berdaun hijau, protein daripada sumber tumbuhan, kekacang dan daging tanpa lemak. Diet yang tinggi dengan minyak kelapa sawit pula mesti ditinggalkan kerana menjadi punca pertambahan kolestrol di dalam darah.
Seorang doktor dari Kolej Perubatan Albert Einstein memberitahu bahawa pemakanan seseorang perlu diperhatikan secara menyeluruh kerana ada banyak aspek yang perlu dinilai selain saiz hidangan. Menurut beliau, kesederhanaan dalam pemakanan adalah satu nasihat yang terlalu samar untuk diberikan kepada orang ramai.
Berbalik kepada trend juicing dan bebas gluten, kajian mendapati proses menghasilkan jus daripada buah-buahan dan sayur-sayuran sebenarnya tidak dapat disahkan baik untuk kesihatan jantung. Banyak khasiat daripada buah dan sayur sebenar seperti serat yang tidak dapat dinikmati melalui jus sahaja. Selain itu, sistem pencernaan manusia sebenarnya sudah cukup baik sebagai ‘juicer‘ kepada makanan yang diambil.
Trend bebas gluten pula meskipun bermanfaat untuk mereka yang mengalami alergi terhadap elemen itu, sebenarnya tidak dibuktikan dapat membantu kesihatan seseorang yang tiada alahan pada gluten. Bilangan mereka yang mengalami alahan pada gluten adalah sangat sedikit, oleh itu kebanyakan orang tidak seharusnya mengamalkan diet bebas gluten.
Meskipun kelihatan sangat sihat, janganlah anda mengikut sesuatu trend diet tanpa memastikan keadaan diri terlebih dahulu. Doktor berpesan untuk mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, tetapi untuk mengurangkan pengambilan kumpulan makanan yang lain, sila rujuk pakar pemakanan untuk keputusan yang lebih selamat. Hal ini kerana pemakanan anda mesti dipadankan dengan cara hidup anda yang berbeza dengan orang lain.