Langgan newsletter kami!
Ibu Dan Anak Perempuan

Ibu, Bantu Anak Perempuan Anda Berasa Cantik

Ibu-ibu, pernahkah anda merungut tentang badan anda di hadapan anak perempuan anda? Mungkin anda ada bersembang mengenai diet untuk mengecilkan saiz perut dan paha anda ketika bersama anak anda? Mungkin juga anda terus berdiet tanpa bercakap tentangnya, sebagai contoh “tidak memakan nasi” di hadapan anak-anak?

Anda tidak perasan akan hal ini, tetapi anak anda tanpa sedarnya juga mendapat mesej bahawa ibunya tidak berpuas hati dengan tubuhnya sendiri dan akhirnya anak anda juga akan terikut merasa tidak selesa dengan tubuhnya sendiri. Kajian membuktikan kenyataan ini, apabila didapati kanak-kanak perempuan berusia 5 hingga 8 tahun sudah mula tidak berpuas hati dengan tubuh mereka apabila melihat ibu mereka begitu. Mereka sudah tahu bahawa rupa mereka ‘dinilai’ oleh masyarakat dalam usia yang masih mentah ini.

Fitrah orang perempuan memang sukakan kecantikan sehingga kadang kala anda terlalu obses dengannya dan mula fokus pada kekurangan diri, walhal anda sepatutnya fokus pada kelebihan diri dan bukan sekadar fizikal. Anda mestilah membantu anak perempuan anda untuk fokus pada kelebihan dirinya dan merasakan dirinya sudah cukup cantik tanpa perlu mengubah apa-apa. Anda tidak mahu anak anda menghabiskan masa dan tenaganya membenci dirinya sendiri. Untuk itu, anda perlu melakukan yang berikut:

  • Fikirkan sejenak tentang permulaan kisah bagaimana anda berasa tidak cukup cantik. Apakah puncanya dan bolehkah anda mencari cara untuk mengatasinya?
  • Lihat semula bagaimana anda bercakap tentang diri anda. Adakah anda asyik merungut tentang kekurangan diri anda? Apa yang anda rasakan setiap kali merungut?
  • Hargai semula tubuh badan anda. Kenangkan perjalanan hidup anda, daripada zaman kanak-kanak sehingga alam perkahwinan. Betapa badan anda itu telah melalui pelbagai kenangan.
  • Fokuskan pada kelebihan diri anda. Jika anda tidak dapat mencari kelebihan diri, tanya pada mereka yang anda percayai. Ajak anak perempuan anda untuk sama-sama mengenali potensi diri.

Hari ini, anak-anak perempuan anda terdedah kepada pelbagai pengaruh di internet dalam usia yang masih muda. Anda mestilah menyelamatkan mereka dengan menjadi contoh yang terbaik. Apabila anda berusaha untuk menghargai diri sendiri, anak perempuan anda juga dapat menghargai diri mereka dan lebih mudah untuk berjaya di dalam hidup. Bukankah itu yang anda impikan untuk anak-anak perempuan?

Print Friendly, PDF & Email

About Leen

Graduan Komunikasi dan Media Massa ini pernah menjadi jurukecantikan dan instruktur senaman. Sekarang seorang penulis bebas, harapannya adalah untuk mengajak orang ramai memperbaiki kesejahteraan diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: