Langgan newsletter kami!
Cara Kurangkan Stress

Tips dan Cara Kurangkan Stress Melalui Kaedah 10B

Kadang-kadang kita tidak dapat lari dari tekanan yang berkemungkinan berpunca dari tempat kerja atau rumah, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia menghadapi pandemik COVID-19. Masyarakat boleh menghadapi tekanan atau stres yang boleh mengganggu dari segi emosi, mental dan fizikal. Sesiapa sahaja sama ada orang dewasa, remaja, warga emas malah kanak-kanak boleh mengalami stres. Untuk jangka masa pendek, anda boleh cuba cara kurangkan stress dengan melakukan 10 perkara seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Cara Kurangkan Stress – Penyelesaian Jangka Pendek Kaedah “10B”

1. Bertenang
Ketika anda berasa tertekan, cuba tenangkan minda dan hati. Cuba elakkan memikir tentang perkara yang membuatkan anda stress itu dan lapangkan fikiran anda.

2. Bernafas dengan Dalam
Tariklah nafas dalam-dalam. Cuba buat secara perlahan, panjang dan lebih dalam. Buatlah beberapa minit, ia akan membantu anda bertenang.

3. Berkata Relakslah / Tak Mengapa
Pujuklah diri anda dengan berkata relakslah beberapa kali atau tidak mengapa. Ini dapat memberi perasaan lega kepada hati anda.

4. Beribadat
Tidak kira anda menganuti agama atau kepercayaan apa pun, beribadat dapat memberi ketenangan secara emosi dan meringankan rasa beban di hati anda.

5. Bercakap dengan Seseorang
Berkongsi dengan kawan-kawan atau ahli keluarga yang anda percayai dapat membantu mengurangkan tekanan. Luahkanlah kepada orang yang dipercayai, ia mengurangkan beban di hati, hati akan terasa sedikit ringan.

6. Berurut
Apabila tertekan atau stres, bahagian leher, tengkuk dan bahu akan berasa tegang. Anda boleh cuba mengurut sendiri untuk melegakan otot dan melancarkan darah.

7. Berehat dan Mendengar Muzik
Berehatlah seketika, sambil mendengar muzik kegemaran anda. Muzik yang mempunyai alunan yang lembut boleh membantu mengurangkan stres.

8. Beriadah
Melakukan riadah yang anda minati seperti jogging, mendaki bukit, berjalan di tepi pantai atau berjalan-jalan di sekitar taman membantu menenangkan fikiran.

9. Bersenam
Anda juga boleh bersenam, memfokuskan diri anda kepada kesihatan diri. Bersenam mengurangkan ketegangan otot dan stres. Bersenam ala aerobik adalah senaman santai yang boleh dicuba.

10. Berfikiran Positif
Cuba fokuskan diri anda kepada perkara positif apabila tertekan. Jauhi fikiran negatif. Lihat sesuatu yang dianggap negatif itu dari sudut lain yang baik dan positif.

Begitulah 10 kaedah jangka pendek cara untuk kurangkan stress yang boleh anda lakukan jika perasaan stres melanda anda. Mungkin juga anda boleh menambah cara lain dengan menonton program atau video di Youtube atau TV yang mempunyai unsur lawak jenaka. Apabila anda ketawa, ia sedikit sebanyak dapat menolong mengurangkan tekanan dan membuatkan hati menjadi tenang seketika.

Bermain dengan haiwan peliharaan atau jika anda mempunyai hobi menanam pokok atau berkebun, anda boleh berbual sebentar dengan pokok atau haiwan jagaan anda. Ia juga adalah salah satu terapi dan cara untuk menghilangkan tekanan di samping memberi ketenangan kepada anda.

Print Friendly, PDF & Email

About Azhan

Seseorang yang cuba mempersembahkan sesuatu bermakna buat masyarakat.

One comment

  1. Terima kasih untuk tips ini, sangat membantu! Bagus.

    intisar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: