Akhir-akhir ini, ramai pembaca yang bertanyakan soalan tentang beza baru dan baharu. Mana satu yang betul? Contoh soalan yang selalu ditanya selepas tsunami politik pada masa kini ialah, Malaysia Baharu atau Malaysia Baru? Jom kita lihat penerangan di bawah.
Perbezaan Antara Baru dan Baharu
Ramai di antara kita menyangka yang semua perkataan ‘baru’ sekarang telah ditukar kepada ‘baharu’. Lebih parah lagi, semua perkataan ‘baru-baru’ ini juga telah ditukar menjadi ‘baharu-baharu’ ini.
Masih ada pihak yang mungkin keliru dengan penggunaan perkataan tersebut termasuk mereka yang berada dalam bidang penerbitan. Walaupun sebenarnya mereka mengikuti perkembangan bahasa, namun mereka tidak benar-benar memahaminya.
Baharu
Baharu bermaksud sesuatu yang tidak buruk, tidak lama, belum pernah atau belum lama terpakai kerana dijaga atau dipelihara dengan baik. Kata ‘baharu’ digunakan untuk menzahirkan sifat atau adjektif. Padanan bahasa Inggerisnya ialah ‘new’.
Berikut adalah contoh ayat yang menggunakan kata ‘baharu’.
- Kereta baharu Alya dihadiahkan oleh suaminya sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-5.
- Di awal musim persekolahan, ayah akan membelikan uniform baharu untuk kami adik beradik.
- Beg galas baharu Haikal berharga RM100.00.
Baru
Baru pula merujuk kepada masa atau waktu, iaitu dalam konteks ‘tidak berapa lama dulu’ atau ‘tidak berapa lama sebelum ini’ dan lain-lain lagi yang bermaksud serupa dengannya. Padanan bahasa Inggerisnya ialah ‘just’ dan baru-baru ini pula ‘recently’.
Berikut adalah contoh ayat dengan penggunaan kata ‘baru’ di dalamnya.
- Puan Aminah baru sahaja tiba dari Mekah awal pagi tadi.
- Kasut yang baru dibeli ayah semalam sudah pun dicuri orang.
- Baru-baru ini, kami sekeluarga pergi bercuti ke Australia.
Betulkan Yang Salah
Walaupun kesalahan bahasa ini nampak sebagai perkara kecil bagi sesetengah pihak, namun kesalahan ini tidak boleh dipandang ringan. Kita sepatutnya memainkan peranan dalam usaha mendaulatkan dan memartabatkan bahasa kebangsaan melalui tulisan.
Sikap ambil tahu atau berusaha memahami penggunaan perkataan yang betul dalam bahasa kebangsaan perlu sentiasa ada bagi setiap individu dan tidak berakhir selepas kita menamatkan alam persekolahan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui laman sesawangnya menyediakan Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang terkandung pelbagai data sebagai rujukan. Pihak DBP melalui Bahagian Penguatkuasaan sentiasa melakukan pemantauan bahasa merangkumi pelbagai media dan membuat teguran jika terdapat penggunaan bahasa kebangsaan yang salah. Usaha yang dilakukan ini sentiasa berterusan demi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang betul, indah dan berkesan merangkumi semua bidang, aspek dan media dapat dilaksanakan.
Diharapkan dengan penjelasan ringkas serta beberapa contoh ayat mudah di atas, akan dapat membantu anda melihat dan memahami beza antara ‘baru’ dan ‘baharu’ dengan lebih baik.
Rujukan: Klikweb DBP