Sedikit perkongsian atas pengalaman sendiri ketika berpeluang menunaikan kerja ibadat haji.
Mabrurnya haji kita atau tidak, mungkin juga hanya kerana kerana ini.
Salah satu tempat yang agak ‘padat’ selain tawaf, saie, Arafah, Mudzalifah serta Mina. Pastinya lokasi jemuran (khususnya bagi jemaah Muhasasah).
Sama ada di atas bangunan maktab, mohon berhati-hati jika ingin naik ke atas. Sama ada berteman juga dengan keizinan pihak maktab ataupun juga di ruangan dobi yang disediakan.
Di sini juga antara salah tempat yang ujiannya agak tinggi. Ujian sabar dan sifat amarah.
Alhamdulillah. Kebanyakan maktab kini dilengkapi dengan ‘bilik dobi’ yang dilengkapi dengan mesin basuh semi auto. Maka lebih mudah urusan jemaah untuk mencuci pakaian. Ada juga yang lebih selesa memberus sendiri & hanya ke ruang dobi untuk tujuan ‘spin’ sahaja.
Bagi yang ada peruntukan yang lebih, tiada masalah untuk menggunakan khidmat dobi. Tapi bayangkanlah jika hampir sebulan di Tanah Suci Kota Mekah. Nak tak nak mesti akan ada aktiviti membasuh secara ‘self service’.
Ada sesetengah jemaah yang tidak membawa peralatan jemuran atau terlupa. Hanya berdoa mengharapkan ihsan dari ruang yang ada atau yang ditinggalkan kosong oleh jemaah yang telah selesai aktiviti jemurannya.
Ada juga jemaah yang dari awal telah berniat, sahaja aku ikat tali ampaian ini dan aku wakafkan kepada siapa saja yang mengunakannya. Lebih mulia lagi ada yang pakejkan sekali dengan sepit baju di situ.
Ada juga jemaah yang telah pasakkan niat. Tali ampaian ini khusus hanya untuk kegunaannya dan pasangannya sahaja. Mungkin pada mereka itulah satu-satunya tali yang mereka bawa dari tanah air dan risau kalau hilang tak jumpa nak beli di sana.
Di sini kita boleh lihat pelbagai ragam. Ada yang sangat elok sikapnya sanggup berkongsi, malah melipatkan pakaian yang telah kering dan ketepikan serapinya. Kerana ingin menggunakan pula ruang yang ada.
Ada juga yang tidak mempunya adab atau tingginya sikap penting diri mengalihkan pakaian empunya tali jemuran sesuka hati, hanger, sepit baju kerana hanya ingin menggunakannya tanpa izin. Malah ada yang sanggup mencampakkan pakaian jemaah lain hanya kerana tali ampaiannya digunakan oleh orang lain.
Sedikit pesananan, jika ada terjadi hal sebegini. Istighfar dan ingat cepat-cepat. Kita sekarang berada di mana?!
Sebaik mungkin kita cubalah beralah ataupun melakukan hal yang terbaik sama ada ditinggalkan sekeping nota ‘budi bahasa’ atau pun ucapan terima kasih kepada empunya tali ampaian kerana memberikan izin kepada kita untuk sudi memberikan sedikit ruang yang ada.
Jangan risau, jemuran di sana semuanya sangat cepat kering dengan cuaca yang kita sedia maklum di sana.
Jika kita seorang yang prihatin. Selepas mengangkat jemuran kita. Bagilah laluan kepada pengguna lain agar mereka sama-sama rasa apa yang kita rasa. Iaitu jemuran kering sempurna.
Pesanan terakhir saya, jangan lupa tandakan setiap pasang pakaian dari pakaian besar sehingga sekecil-kecil pakaian termasuk stokin kaki dan tangan, tandakan atau jahitlah apa-apa kiri dan kanan pasangannya. Supaya bertanda dan mudah dicari.
Tandakan nama atau ‘kod’ supaya kita sendiri cam mana satu pakaian kita. Jangan terkejut jika di sana akan jumpa hampir sama atau sememangnya sama!
Jangan tak percaya ada yang bergaduh hanya kerana tertukar telekung yang jenamanya sangat terkenal. (Kisah benar depan mata.)
Sama-samalah kita beringat dan pasakkan niat di hati kita. Aku sampai di sini memang untuk diuji. Aku mohon agar Allah tinggikan sifat sabar serta iman kita.
Semoga sedikit perkongsian dari secebis pengalaman ini dapat membantu anda sebagai bakal jemaah haji tahun ini ataupun kaum keluarga anda yang akan menunaikan Ibadat Haji kali ini. Saya mohon agar perkongsian saya ini hanya di ambil yang jernih dan dibuangkan yang keruh.Demi Mabrurnya Haji kita.Aminn.
Semoga dipermudahkan segala urusan jemaah Haji 1440H.
Senarai Barang Keperluan Mendobi yang Perlu Ada di Ketika Menunaikan Haji
- Tali ampaian
- Sepit baju
- Selendang/kain nipis (bagi melindungi pakaian dalam ketika menjemur dari menjadi tatapan yang tidak sepatutnya)
- Hanger
- Baldi (saya hanya rendam baju dalam plastik, setelah di cuci dan di’spin’ saya masukkan dalam beg pasar sahaja) lebih jimat ruang dalam tandas dan bilik perkongsian bersama jemaah lain.
- Sabun serbuk
- Berus plastik
- Besi penyangkut S
- Cable tight
Kebanyakan peralatan ini boleh didapati di sana cuma harganya mungkin sedikit lebih tinggi. Setelah ingin pulang, wakafkan sahaja pada pekerja atau jemaah di maktab tersebut.
Hidup kita berpesan pesanan.
Pemburu Haji Mabrur.
Kredit: FB Azira Hassim
Ibadah haji benar-benar akan menguji kesabaran umat Islam.