Kemeriahan sambutan Aidilfitri masih terasa, tatkala umat Islam kini sedang berlumba-lumba untuk mengadakan jamuan rumah terbuka di sana sini. Namun, di samping itu janganlah kita lupakan tuntutan ibadah selanjutnya yang harus kita laksanakan, iaitu ibadah haji dan ibadah korban.
Mungkin terlalu awal untuk kita bicarakan hal demikian, tetapi sekadar untuk peringatan dan persiapan awal bagi menyambut kedatangan bulan Zulhijjah. Bagi mereka yang telah terpilih untuk menjadi tetamu Allah (Dhuyuf Ar-Rahman), kita ucapkan tahniah dan selamat berangkat ke tanah suci Mekah. Bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, maka ibadah korbanlah yang menjadi keutamaan bagi mereka untuk dilaksanakannya.
Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Saiyidatina Aisyah R.Anha. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada amalan anak Adam yang lebih dicintai Allah SWT pada hari Aidiladha selain dari menumpahkan darah iaitu menyembelih binatang korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat kelak lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya (sebagai saksi). Dan sesungguhnya darah sembelihan korban itu yang jatuh ia daripada Allah pada suatu tempat kemuliaan sebelum ia jatuh ke bumi. Maka tenanglah jiwamu dengan melaksanakannya.”
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi: 1498)
Berdasarkan hadith ini dapatlah kita fahami bahawa amalan yang lebih utama untuk dilaksanakan pada hari raya Aidiladha ialah dengan menyembelih binatang korban sepertimana yang telah disyariatkan oleh Islam, bahkan hukum melaksanakannya adalah sunat mu’akkad (sunat yang sangat dituntut).
Kelebihan Ibadah Korban
Selain itu, antara hikmah dan keutamaan ibadah korban ialah:
- Syiar: mengagungkan syiar-syiar agama Islam. (Surah Al-Hajj: 36)
- Taqwa: membuktikan ketaqwaan hati kepada Allah SWT. (Surah Al-Hajj: 36)
- Syukur: menzahirkan rasa kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. (Surah Al-Kauthar: 1-2)
Justeru, mengapa kita tidak merebut peluang ini dengan bersungguh-sungguh? Kerana peluang ini hanya datang setahun sekali sahaja. Jika pada tahun ini kita terlepas peluang untuk melaksanakan ibadah korban, ia tidak boleh diganti semula pada tahun akan datang.
Jika kita sanggup dan mampu berbelanja ratusan ringgit demi untuk bergaya merayakan Aidilfitri pada Syawal yang lalu, mengapa kita ‘lokek’ untuk berbelanja ribuan ringgit pada Aidiladha pula, iaitu untuk menyembelih binatang korban. Tepuk dada tanya iman.
Wallahu A’lam.
UST. MOHD AMIRUL BIN KAMARUDIN
Pendakwah Bebas / Penasihat Syariah
EZ QURBAN SDN. BHD.